Monday, April 28, 2014

Antara Bangsa & Agama...Mana Pilihan Kita?

Hari ini ramai di kalangan kita mulai berjinak dengan agama. Salah. Ayat sepatutnya...mulai mendekatkan diri dengan agama. Ya, syukur alhamdulillah. Allah masih memberi peluang kepada kita, hamba-hambaNya yang hina ini, untuk menggapai rasa iman dan cinta kasih pada agama.

Sungguhpun begitu, dalam kalangan ini...mungkin tidak semua hanya segelintir mulai bingung tentang pegangan hati. Bingung bukan kerana ajaran yang bercanggahan tetapi bingung untuk memilih antara dunia dan akhirat serta bangsa dan agama.

Pernahkah satu hari kita mengambil masa sekejap untuk berfikir tentang kehidupan beragama yang telah kita lalui selama hidup ini? Pagi ini apa yang telah dilakukan untuk agama? Tengahari? Petang? Malam? Untuk setiap waktu itu berapa banyak masa yang kita peruntukkan untuk kehidupan sebagai muslim?


Ada yang mungkin berfikir, cukuplah solat lima waktu sehari semalam. Itu sudah cukup membuktikan bahawa dirinya adalah seorang muslim yang melaksanakan agamanya. Salah. Silap. Pandangan itu silap dan salah. Jangan terikat dengan ketaksuban hati. Solat itu wajib tetapi Islam bukan sekadar pada solat saja. Ia merangkumi banyak perkara.

Kehidupan beragama bermula pada waktu kita melelapkan mata untuk tidur...membuka mata untuk memulakan aktiviti harian...dan melelapkan mata semula untuk rehat dan tidur. Jadi, kehidupan beragama berlaku terus-menerus tanpa berhenti selagi nyawa dikandung badan.

Bagaimana pula dengan hidup berbangsa? Bangsa diangkat menjulang sebagai simbolik bahawa diri mempunyai kaum kerabat yang berbahasa sama, berfikiran hampir sama, berpakaian dan bercitarasa yang hampir serupa. Lantas, apakah kehidupan seharian sebagai manusia berbangsa terkait terus-menerus? Cuba ambil masa untuk fikirkan.

Dunia adalah persinggahan sementara. Tempat kita mengumpul 'bekalan' untuk dibawa ke akhirat sana. Tapi, apa kaitan akhirat dengan pilihan antara bangsa dan agama? Mari kita sama renungkan, apakah 'bekalan' yang bakal kita bawa nanti berkaitan dengan bangsa atau pun ianya berisi dengan agama?



Kita ingin mencipta sejarah. Sejarah yang kononnya untuk bangsa yang disayangi. Tapi, renungilah kembali niat kita..apakah sejarah yang mahu dilakarkan tersebut mampu membantu langkah kita di Padang Mahsyar kelak? Atau apakah ketaksuban terhadap bangsa sendiri akan memelihara kita dari api neraka? Usah santai mengeluarkan bicara, kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita perkata.

Redha dibakar api neraka demi bangsa? Jangan tertipu dengan nafsu yang menjadi tunggangan syaitan laknatullah. Andai kita tahu bagaimana panasnya api neraka pasti tiada yang berani berkat demikian sedangkan Rasulullah SAW yang terpelihara dari api neraka menangis ketakutan kerana diperlihatkan oleh Allah SWT akan tempat itu.

Marilah sama-sama kita bertafakur sebentar...mengingati mati yang kian hampir dan hidup yang belum cukup bekalan untuk ke sana. Bicaralah yang baik, berkelakuanlah yang baik..jika tidak mampu, makan berdiam diri itu lebih baik.

Saturday, February 1, 2014

Sejarah Yg Berulang

Orang bijak pandai ada berkata,
"Mereka yang melupakan sejarah adalah mereka yang akan mengulanginya"

Sekali baca mungkin kita tidak akan terfikir bahawa kita mungkin adalah 'mereka' yang diperkatakan. Benar, impak sejarah tidak terlalu besar bagi generasi yang hanya tahu membaca sisa tinggalan melalui tinta pena cetakan saja. Akhirnya, generasi yang hanya mahu membaca sejarah demi meraih kegemilangan dalam sijil peperiksaan awam mengetahui sejarah tanpa mahu mengambil iktibar daripadanya.

Ada satu video yang terlalu ingin dikongsi bersama. Khutbah yang bisa menggoncangkan dunia. Khutbah yang mengingatkan kita, Muslim, bahawa meskipun zaman jahiliah sudah berlalu lebih seribu tahun yang lalu namun masih ramai yang mengamalkan sifat jahiliah.


Ambillah iktibar biar sebesar zarah kerana ia pasti menerbitkan sesuatu yang besar tanpa kita sedar. Agungkanlah kalimah Laa Ilaha Illalha kerana sesungguhnya ia penentu iman di dada.

Sunday, December 29, 2013

Noktah sebuah Penghijrahan



Hijrah satu permulaan..
Hijrah satu pengorbanan..
Hijrah satu perjuangan…

Walaupun lagu ini sudah lama namun setiap kali diputarkan dan dinyanyikan pastinya mengundang airmata kerana teringatkan pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam peristiwa hijrah. Lebih menyedihkan apabila mengenangkan bagaimana umat Islam pada ketika ini semakin lupa pada peristiwa tersebut.

Penghijrahan dalam konteks hidup manusia biasa seperti kita adalah satu frasa di mana kita melakukan perubahan terhadap hidup, diri dan tingkah laku. Ia mungkin boleh dilaksanakan lebih daripada itu. Namun, sering kali kita berpendapat bahawasanya hijrah kita berakhir apabila kita sudah menutup aurat sepenuhnya (jika sebelum ini kita tidak menutup aurat).

Salah. Hijrah adalah satu proses melakukan kebaikan secara berterusan. Mereka yang sebelum ini hidup dengan cara bukan Islam berhijrah ke arah hidup Islamik. Mereka yang sudah hidup secara Islamik memperbaiki lagi cara kehidupan. Dalam erti kata lain, yang jahat berhijrah menjadi baik manakala yang 'sudah baik' menjadi yang lebih baik. Itu konsep hijrah sebenarnya.


Hijrah memerlukan keseragaman daripada setiap sudut kehidupan. Ia tidak berhenti separuh jalan. Andai sudah berjaya berhijrah ke satu tahap, alhamdulillah. Tapi, cubalah untuk meingkatkan penghijrahan setiap hari. Meski kita bertatih namun ia dikira sebagai usaha. Hasilnya mungkin sedikit pada pandangan manusia tetapi kita tidak tahu pada pandangan Ilahi.

Formula sebuah penghijrahan begitu mudah,

kebaikan berkali-kali {Perancangan, sikap} => Hijrah (Infiniti)







Tuesday, December 10, 2013

Indahnya ketenangan itu

Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Sandakan yang selama beberapa waktu ini diselubungi kepanasan dan hawa kering. Walau hujan atau panas mentari ia tetap nikmat Ilahi untuk kita, hamba-hambaNya. Jadi jangan sekali kita mengeluh.

Bukan perihal cuaca yang hendak dikongsikan sebenarnya melainkan kisah bagaimana telinga ini secara tidak sengaja mendengar kuliah ringkas dari sebuah stesen radio. Agaknya itu kuliah harian yang menjadi salah satu program harian stesen radio tersebut. Cuma diri ini tidak pernah mendengarnya.

Tajuknya berbunyi ringkas namun sudah cukup menarik perhatian, 'Indahnya Ketenangan Itu.'

Dalam kita meniti kehidupan seharian, kita terlupa satu nikmat Ilahi yang selalu kita abaikan, ketenangan. Saban waktu kita mengejar masa yang berputar ligat. Entah apa yang diingini. Ke hulu ke hilir menjinjit teknologi mudah alih. Akhirnya terkandas di perhentian sementara dan menggumam,

'Alangkah indahnya jika aku memperolehi ketenangan itu.'

Susahkah hendak mencari hati yang tenang? Tak susah. Kita saja yang selalu leka. Hendak tenang mudah saja. Serahkan diri kepada Allah Taala, tinggalkan dunia yang penuh dengan tipuan dan melangkahlah menuju akhirat.

Rahsianya mudah dan semua orang bisa mendapatkannya tanpa mengira kelulusan, pangkat, rupa paras atau jumlah wang dalam simpanan. Ironinya, meski kita begitu mendambakan nikmat ketenangan tersebut kita masih tetap tidak mahu menggapainya. Pelik kan.

Hati manusia dan sifatnya yang tidak pernah puas terhadap satu perkara memungkinkan kita semakin jauh dari apa yang sebenarnya hati kita mahukan.

Hati perlu diubati terlebih dahulu. Lenyapkanlah ketamakan yang ada dalam hati. Jangan sampai ia bercambah dan bertumbuh dalam jiwa. Masalahnya, sesetengah kita membiarkan hati yang sakit terus menderita sehingga sampai ke tahap yang kronik dan patut dimasukkan ke ICU. Kita sedar dan kita tahu tetapi tetap jua mengabaikan...dan hati terus mati.

Tidak mungkin hati yang sakit bisa memberi ketenangan kepada pemiliknya. Setiap masa saban hari hati yang sakit mencurigai orang lain, mendendami orang lain, menyakiti orang lain lalu hiduplah hati tersebut dalam dunia yang gelap tanpa cahaya.

Semuanya soal hati. Jika hati kita sihat, maka tenanglah ia. Damailah jiwa dan hidup menjadi lebih bahagia. Andai sebaliknya, mintalah hati yang baru dari Allah kerana ia bukan lagi hati kita.

Akhir kalam...segalanya bermula di dalam hati.

Friday, August 9, 2013

Kerana Aku Seorang Islam


Demam hiburan dari negara kecil yang mempersembahkan tarian dan lagu-lagu menyelimuti anak muda termasuk diri ini sendiri. Mungkin pergaulan dengan mereka yang meminati hiburan jenis itu sehingga diri tergelumang sama. Tapi, ya, kita tidak boleh menyalahkan diri sendiri. Setiap kelemahan adalah datang dari dalam diri sendiri.

Disebabkan minat itulah tercetus inspirasi untuk menulis sesuatu berkenaan dengan diri insan yang diminati melalui skrin komputer riba. Satu bab...dua bab...dan idea mati. Entah, tak tahu di mana silapnya padahal keinginan untuk menulis tentang mereka begitu berkobar.

Setiap kali ingin menaip sesuatu hati ini akan bertanya. Bagaimana agaknya hendak mencipta watak seorang bukan Muslim? Tidak tahu. Dari cara bertutur, perwatakan, pakaian, makanan dan seluruh cara hidup mereka. Begitu sukar hendak menggambarkannya walau sudah begitu banyak drama dan filem dari negara tersebut ditonton.

Kesimpulannya begini, kerana diri ini adalah seorang muslim. Mungkin bukan Muslim yang sempurna sifat dan cara hidup Islamnya tetapi sejak kecil telah dididik dan diteladani dengan kehidupan Islam maka secara semulajadinya diri tidak tahu bagaimana cara hidup yang bukan Islam. Secara tidak langsung, walau tetap terdedah dengan budaya asing, diri ini masih tidak memahami cara hidup mereka. Sukar sekali hendak menggambarkan melalui lensa kaca mata sendiri.

Oleh sebab itu, kadang hati bertanya, bagaimana dengan insan lain di luar sana yang mempunyai minat yang sama terhadap hiburan boleh mamahami artis kegemaran mereka? Sehinggakan ada yang sanggup beratur berjam-jam hanya untuk melihat persembahan artis bukan Islam atau menghabiskan duit beratus-ratus hanya disebabkan keinginan terhadap hiburan bergenre sedemikian. Ironinya, manusia yang sama akan menolak dengan hadis atau ayat al-Quran yang diketahui jika diajak untuk melangkah ke masjid atau menderma demi Islam (padahal mereka seorang muslim sejak lahir).

Bukan budaya Islam menjerit-jerit di khalayak ramai. Bukan juga budaya Islam  percampuran antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Terlonjak-lonjak bagai kera terpijak bara api sehingga pagi menjelang dengan meninggalkan setiap amalan wajib dan sunat. Anehnya, mereka dengan rasa tidak tahu malu kepada Allah meminta itu ini kepada-Nya.

Ada seorang fanatik yang melihat, mendengar dan mencari setiap maklumat berkenaan artis asing yang diminati. Minatnya menimbulkan cinta dan kegilaan sampaikan dia mengatakan yang dirinya lebih sanggup menikahi lelaki (artis yang diminatinya itu) daripada seorang ustaz atau tahfiz. Menurutnya (ini adalah perspektif dirinya kerana pernah melalui peristiwa yang bagi dirinya pahit untuk ditelan) ustaz atau tahfiz adalah insan yang tidak boleh dipercayai. Dia menolak andai sang ibu ingin menjodohkan dirinya dengan seorang ustaz. Dia tidak rela.  Lebih suka memilih artis lelaki (bukan Islam) tersebut kerana minat dan kecintaannya.

Islam adalah satu cara hidup. Muslim menyetujui realiti ini namun mengapa masih jua memisahkan Islam dengan cara hidup kita? Berhibur tidak salah. Dalam Islam juga ada hiburan. Walaubagaimanapun perlu ada limitasi bagi segalanya. Letakkan Islam di depan setiap langkah kita. Fikirkanlah pandangan Allah sebelum kita membuat apa-apa percaturan dalam kehidupan kita. Meski kita meminati atau menyintai sesuatu itu letakkanlah hak Allah terlebih dulu kerana Dia-lah yang lebih berhak mendapat perhatian manusia kerdil seperti kita.

Allah mengurniakan kita akal untuk befikir bukan sebagai hiasan diri. Akal kita memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri Muslim. Berfikir sebelum bertindak. Berfikir sebelum berkata. Setiapnya melibatkan akal kita. Jadi, gunakanlah akal untuk mempertimbangkan semula langkah yang pernah kita atur pada hari semalam. Bukan mengenangkan perkara lampau untuk mengutuk diri tetapi bagi memperbaiki diri. Kesilapan lalu masih boleh diperbetulkan andai kita masih mahu membaiki setiap kelemahan. Jangan nyawa sudah berada di tenggorokan baru kita mahu mula berfikir dan memperbetulkan diri. Ianya sudah terlambat kerana Malaikat Maut tidak menunggu walau sesaat untuk mencabut nyawa kita.

“Kerana aku seorang Islam.” Jadikanlah ayat ini sebagai benteng untuk kita agar tidak terus terjerumus dalam lembah hiburan yang melalaikan. Semoga kita beroleh rahmat daripada-Nya. InsyaAllah.

Wednesday, November 7, 2012

Tazkirah untuk diri

Alhamdulillah, syukran kepada Allah SWT dengan izinNya masih ada masa untuk bernafas di muka bumi dan mentadbir segala isi alam. Tenaga yang diberiNya juga membolehkan diri untuk kuat melangkah meneruskan kehidupan yang semakin mencabar dan penuh onak duri. Alhamdulillah atas kurniaan peluang untuk menadah tangan bermohon doa mengharap belas simpatiNya. Sungguh Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Pemurah.

                                         
Cuba renung kembali perjalanan yang dilalui semalam. Penuh derita, tangisan mengiringi langkah yang dihayun. Alam dirasakan gelap tanpa cahaya. Sunyi di hati tetapi jiwa masih menekan agar terus berdoa. Keyakinan dan suluhan harapan mewarnai jiwa yang kusam, semoga doa ini dimakbulkan Ilahi. Namun, nafsu mendesak bertanya, ‘sampai bila harus ditadah tangan meminta? Sehingga sekarang belum nampak hasilnya.’ Jiwa semakin tidak sabar menolak derita lalu diganti dengan bahagia.
Setiap sujud kita berdoa...meminta dan memohon terus-menerus. Tiada kata putus asa. Tapi, setelah beberapa lama berlalu mengapa belum dimakbulkan doa kita? Hati sudah letih bersabar. Jiwa sudah tidak mampu menanggung siksa. Lantas, syaitan mulai membisik halus. Tergoyahlah iman dan hancurlah keyakinan yang akhirnya menjadi butir-butir pasir halus ditiup angin.
Ketika doa dimakbulkan Ilahi kita lupa dan lalai. Kita alpa dari mentadbir syukur melalui hati, lidah dan perbuatan. Syukur hati dengan niat ibadah kerana Allah SWT. Syukur lidah dengan lafaz dan syukur perbuatan dengan solat. Apakah kita sudah melaksanakannya?
Apabila doa tidak dimakbulkan kita menyalahkan Allah SWT. Rasa hampa dan kecewa akhirnya menenggelamkan keyakinan yang kita bina terhadapNya. Tanpa kita tahu sebenarnya diri kita sendirilah yang membuat Allah SWT memperlambatkan perkenan doa yang dipohonkan. Adakah pernah dalam masa seminit kita duduk bermuhasabah diri, mencari dan merenung kesucian hati dan diri?

                                         
Kita abaikan solat demi kerja dan tugas. Kita tinggalkan puasa dengan memberi pelbagai alasan. Kita lupa membayar zakat apatah lagi hendak bersedekah. Kita rela berhibur ke luar negara daripada mengumpul duit untuk haji. Tapi, kita masih mahu berdoa tanpa secebis pun rasa malu terhadap Allah SWT. Betapa hinanya kita sebagai manusia dan hamba.
Bayangkan jika situasi tersebut berlaku dalam hidup yang kita lalui. Kita mahu melalui lebuhraya tetapi tidak mahu membayar tol. Adakah kita akan dibenar untuk memandu pergi begitu saja? Di pasaraya, kita mengambil begitu banyak jenis barangan hingga penuh satu troli tetapi enggan membayar harga barang jualan. Apakah kita akan dibiar pergi begitu saja?
Begitulah halnya situasi kita dengan Allah SWT. Dia suka kita perbanyakkan sujud dan meminta kepadaNYa kerana Dialah Tuhan Yang Maha Kaya dan Memilik Segalanya. Ayuh, sama-sama kita merenung kembali perjalanan hidup yang telah kita lalui. Perbaikilah kesilapan sementara masa masih ada.

Wednesday, October 31, 2012

Jangan perolokkan Islam

Hujan turun membasahai bumi bawah bayu yang kering kekontangan di sepanjang Ramadhan dan di awal Syawal lalu. Alhamdulillah, nikmat Ilahi yang tiada ternilai harganya. Hanya syukur dan sujud sebagai tanda terima kasih sebagai hamba.
Ketika inilah fikiran terimbas memikirkan perihal perkara yang telah menggegarkan dunia Islam ibarat ledakan atom di bumi Hiroshima dan Nagasaki suatu waktu dulu. Filem ‘Innocence of Islam’ yang dihasilkan oleh seorang yahudi laknatullah dan karikatur yang jelas menghina rasul junjungan benar-benar membangkitkan kemarahan. Sana sini demonstrasi bantahan diadakan sebagai bukti kecintaan kepada Islam. Namun, apakah kita sedar tanpa filem dan karikatur ini pun Islam sudah lama ‘dihina’? Bukan oleh yahudi saja tetapi juga oleh umat Islam sendiri!
Kita mengaku kasih dan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Pengakuan kasih dan cinta ini diluah di laman sosial. Ramai yang berkongsi rasa turut sama menyumbang fikiran melalui komen-komen. Tapi, apakah cara ini udah cukup membuktikan kasih dan cinta terhadap Allah dan Rasul-Nya? Luahan pengakuan dipost ke laman sosial dan duduklah berhadapan dengan skrin komputer untuk menunggu respons dari rakan-rakan di alam maya. Sehinggakan solat fardhu yang wajib dan menjadi tiang agama ditinggalkan tanpa secubit rasa bersalah. Jika perkara wajib yang dituntut udah ditinggalkan apatah lagi perkara sunat yang digalakkan. Inikah bukti kasih dan cinta terhadap Allah dan Rasulullah SAW?
Itu satu perkara yang dianggap biasa oleh umat Islam zaman sekarang. Ini satu lagi kisah yang patut diketahui oleh sekian umat Islam. Isu Lesbian Gay Bisexual dan Transgender atau ringkas LGBT yang dulunya timbul tenggelam kian senyap. Tapi senyap mereka jangan disangka tiada berbunyi. Entah dimana silapnya mereka yang dikurnia akal dan fikiran sanggup melakukan perkara yang dikutuk malah dilaknat oleh Rasulullah SAW. Lupakah mereka pada kaum Nabi Lut AS yang diazab Allah SWT dengan menterbalikkan bumi tempat dipijak sehingga tiada seorang pun dari mereka yang terselamat kecuali orang-orang yang beriman? Mengapa mesti menentang arus manusiawi dan menentang perintah Allah SWT?
Bagaimana pula kisah di bulan Ramadhan yang telah dilalui? Ramai umat Islam mencuba untuk menutup kelemahan dengan menggunakan keberkatan di bulan yang penuh rahmat ini. Perubahan dilakukan ke arah sesuatu yang lebih baik. Wanita yang dulunya keluar dengan mendedahkan aurat mengambil langkah memperbaiki diri. Lelaki pula jika sebelum Ramadhan suka berpeleseran dan duduk bersembang hingga berjam-jam di kedai mamak mulai bertindak positif dengan mendekatkan diri dengan masjid. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka edar dan tahu bahawa Ramadhan adalah bulan mulia dan dipenuhi kemuliaan. Di dalamnya terkandung eribu satu keberkatan yang tidak mungkin terungkai oleh manusia.
Tapi, mengapa perkara yang baik ini berlaku di bulan Ramadhan saja? Mengapa tidak diteruskan ke bulan-bulan yang seterusnya? Tiba Syawal wanita kembali membuka aurat. Lelaki tidak lagi kelihatan memenuhi ruangan masjid. Tindakan dan perilaku ini memberi gambaran bahawa mereka seolah berfikir segala amal kebaikan hanya dikira pada bulan Ramadhan dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Subhanallah, Maha Suci Allah Yang Tidak Tidur dan Maha Melihat.
Masih banyak perkara yang menjadi bukti tentang sikap segelintir umat Islam yang terus hidup dalam dakyah pemikiran yang salah. Jangan jadikan kemodenan sebagai tiket untuk kita mengubah dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan dengan cara yang salah. Islam memang mudah tetapi bukan untuk dipermudahkan. Ayuh, sama-sama kita keluar dari kepompong jahil agama dan membentuk muslim yang baru di dalam diri.