Demam hiburan dari negara kecil
yang mempersembahkan tarian dan lagu-lagu menyelimuti anak muda termasuk diri
ini sendiri. Mungkin pergaulan dengan mereka yang meminati hiburan jenis itu
sehingga diri tergelumang sama. Tapi, ya, kita tidak boleh menyalahkan diri
sendiri. Setiap kelemahan adalah datang dari dalam diri sendiri.
Disebabkan minat itulah tercetus
inspirasi untuk menulis sesuatu berkenaan dengan diri insan yang diminati
melalui skrin komputer riba. Satu bab...dua bab...dan idea mati. Entah, tak
tahu di mana silapnya padahal keinginan untuk menulis tentang mereka begitu
berkobar.
Setiap kali ingin menaip sesuatu
hati ini akan bertanya. Bagaimana agaknya hendak mencipta watak seorang bukan
Muslim? Tidak tahu. Dari cara bertutur, perwatakan, pakaian, makanan dan
seluruh cara hidup mereka. Begitu sukar hendak menggambarkannya walau sudah
begitu banyak drama dan filem dari negara tersebut ditonton.
Kesimpulannya begini, kerana diri
ini adalah seorang muslim. Mungkin bukan Muslim yang sempurna sifat dan cara
hidup Islamnya tetapi sejak kecil telah dididik dan diteladani dengan kehidupan
Islam maka secara semulajadinya diri tidak tahu bagaimana cara hidup yang bukan
Islam. Secara tidak langsung, walau tetap terdedah dengan budaya asing, diri
ini masih tidak memahami cara hidup mereka. Sukar sekali hendak menggambarkan
melalui lensa kaca mata sendiri.
Oleh sebab itu, kadang hati
bertanya, bagaimana dengan insan lain di luar sana yang mempunyai minat yang
sama terhadap hiburan boleh mamahami artis kegemaran mereka? Sehinggakan ada
yang sanggup beratur berjam-jam hanya untuk melihat persembahan artis bukan
Islam atau menghabiskan duit beratus-ratus hanya disebabkan keinginan terhadap
hiburan bergenre sedemikian. Ironinya, manusia yang sama akan menolak dengan
hadis atau ayat al-Quran yang diketahui jika diajak untuk melangkah ke masjid
atau menderma demi Islam (padahal mereka seorang muslim sejak lahir).
Bukan budaya Islam menjerit-jerit
di khalayak ramai. Bukan juga budaya Islam
percampuran antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Terlonjak-lonjak bagai
kera terpijak bara api sehingga pagi menjelang dengan meninggalkan setiap
amalan wajib dan sunat. Anehnya, mereka dengan rasa tidak tahu malu kepada
Allah meminta itu ini kepada-Nya.
Ada seorang fanatik yang melihat,
mendengar dan mencari setiap maklumat berkenaan artis asing yang diminati.
Minatnya menimbulkan cinta dan kegilaan sampaikan dia mengatakan yang dirinya
lebih sanggup menikahi lelaki (artis yang diminatinya itu) daripada seorang
ustaz atau tahfiz. Menurutnya (ini adalah perspektif dirinya kerana pernah
melalui peristiwa yang bagi dirinya pahit untuk ditelan) ustaz atau tahfiz
adalah insan yang tidak boleh dipercayai. Dia menolak andai sang ibu ingin
menjodohkan dirinya dengan seorang ustaz. Dia tidak rela. Lebih suka memilih artis lelaki (bukan Islam)
tersebut kerana minat dan kecintaannya.
Islam adalah satu cara hidup.
Muslim menyetujui realiti ini namun mengapa masih jua memisahkan Islam dengan
cara hidup kita? Berhibur tidak salah. Dalam Islam juga ada hiburan.
Walaubagaimanapun perlu ada limitasi bagi segalanya. Letakkan Islam di depan
setiap langkah kita. Fikirkanlah pandangan Allah sebelum kita membuat apa-apa
percaturan dalam kehidupan kita. Meski kita meminati atau menyintai sesuatu itu
letakkanlah hak Allah terlebih dulu kerana Dia-lah yang lebih berhak mendapat
perhatian manusia kerdil seperti kita.
Allah mengurniakan kita akal untuk
befikir bukan sebagai hiasan diri. Akal kita memainkan peranan penting dalam
pembentukan jati diri Muslim. Berfikir sebelum bertindak. Berfikir sebelum
berkata. Setiapnya melibatkan akal kita. Jadi, gunakanlah akal untuk
mempertimbangkan semula langkah yang pernah kita atur pada hari semalam. Bukan
mengenangkan perkara lampau untuk mengutuk diri tetapi bagi memperbaiki diri.
Kesilapan lalu masih boleh diperbetulkan andai kita masih mahu membaiki setiap
kelemahan. Jangan nyawa sudah berada di tenggorokan baru kita mahu mula
berfikir dan memperbetulkan diri. Ianya sudah terlambat kerana Malaikat Maut
tidak menunggu walau sesaat untuk mencabut nyawa kita.
“Kerana aku seorang Islam.”
Jadikanlah ayat ini sebagai benteng untuk kita agar tidak terus terjerumus
dalam lembah hiburan yang melalaikan. Semoga kita beroleh rahmat daripada-Nya.
InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment