Alhamdulillah, syukran kepada Allah SWT dengan izinNya masih ada
masa untuk bernafas di muka bumi dan mentadbir segala isi alam.
Tenaga yang diberiNya juga membolehkan diri untuk kuat melangkah
meneruskan kehidupan yang semakin mencabar dan penuh onak duri.
Alhamdulillah atas kurniaan peluang untuk menadah tangan bermohon doa
mengharap belas simpatiNya. Sungguh Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan
Maha Pemurah.
Cuba renung kembali perjalanan yang dilalui semalam. Penuh derita,
tangisan mengiringi langkah yang dihayun. Alam dirasakan gelap tanpa
cahaya. Sunyi di hati tetapi jiwa masih menekan agar terus berdoa.
Keyakinan dan suluhan harapan mewarnai jiwa yang kusam, semoga doa
ini dimakbulkan Ilahi. Namun, nafsu mendesak bertanya, ‘sampai bila
harus ditadah tangan meminta? Sehingga sekarang belum nampak
hasilnya.’ Jiwa semakin tidak sabar menolak derita lalu diganti
dengan bahagia.
Setiap sujud kita berdoa...meminta dan memohon terus-menerus. Tiada
kata putus asa. Tapi, setelah beberapa lama berlalu mengapa belum
dimakbulkan doa kita? Hati sudah letih bersabar. Jiwa sudah tidak
mampu menanggung siksa. Lantas, syaitan mulai membisik halus.
Tergoyahlah iman dan hancurlah keyakinan yang akhirnya menjadi
butir-butir pasir halus ditiup angin.
Ketika doa dimakbulkan Ilahi kita lupa dan lalai. Kita alpa dari
mentadbir syukur melalui hati, lidah dan perbuatan. Syukur hati
dengan niat ibadah kerana Allah SWT. Syukur lidah dengan lafaz dan
syukur perbuatan dengan solat. Apakah kita sudah melaksanakannya?
Apabila doa tidak dimakbulkan kita menyalahkan Allah SWT. Rasa hampa
dan kecewa akhirnya menenggelamkan keyakinan yang kita bina
terhadapNya. Tanpa kita tahu sebenarnya diri kita sendirilah yang
membuat Allah SWT memperlambatkan perkenan doa yang dipohonkan.
Adakah pernah dalam masa seminit kita duduk bermuhasabah diri,
mencari dan merenung kesucian hati dan diri?
Kita abaikan solat demi kerja dan tugas. Kita tinggalkan puasa dengan
memberi pelbagai alasan. Kita lupa membayar zakat apatah lagi hendak
bersedekah. Kita rela berhibur ke luar negara daripada mengumpul duit
untuk haji. Tapi, kita masih mahu berdoa tanpa secebis pun rasa malu
terhadap Allah SWT. Betapa hinanya kita sebagai manusia dan hamba.
Bayangkan jika situasi tersebut berlaku dalam hidup yang kita lalui.
Kita mahu melalui lebuhraya tetapi tidak mahu membayar tol. Adakah
kita akan dibenar untuk memandu pergi begitu saja? Di pasaraya, kita mengambil begitu banyak jenis barangan
hingga penuh satu troli tetapi enggan membayar harga barang jualan.
Apakah kita akan dibiar pergi begitu saja?
Begitulah halnya situasi kita dengan Allah SWT. Dia suka kita
perbanyakkan sujud dan meminta kepadaNYa kerana Dialah Tuhan Yang
Maha Kaya dan Memilik Segalanya. Ayuh, sama-sama kita merenung
kembali perjalanan hidup yang telah kita lalui. Perbaikilah kesilapan
sementara masa masih ada.
No comments:
Post a Comment