Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Sandakan yang selama beberapa waktu ini diselubungi kepanasan dan hawa kering. Walau hujan atau panas mentari ia tetap nikmat Ilahi untuk kita, hamba-hambaNya. Jadi jangan sekali kita mengeluh.
Bukan perihal cuaca yang hendak dikongsikan sebenarnya melainkan kisah bagaimana telinga ini secara tidak sengaja mendengar kuliah ringkas dari sebuah stesen radio. Agaknya itu kuliah harian yang menjadi salah satu program harian stesen radio tersebut. Cuma diri ini tidak pernah mendengarnya.
Tajuknya berbunyi ringkas namun sudah cukup menarik perhatian, 'Indahnya Ketenangan Itu.'
Dalam kita meniti kehidupan seharian, kita terlupa satu nikmat Ilahi yang selalu kita abaikan, ketenangan. Saban waktu kita mengejar masa yang berputar ligat. Entah apa yang diingini. Ke hulu ke hilir menjinjit teknologi mudah alih. Akhirnya terkandas di perhentian sementara dan menggumam,
'Alangkah indahnya jika aku memperolehi ketenangan itu.'
Susahkah hendak mencari hati yang tenang? Tak susah. Kita saja yang selalu leka. Hendak tenang mudah saja. Serahkan diri kepada Allah Taala, tinggalkan dunia yang penuh dengan tipuan dan melangkahlah menuju akhirat.
Rahsianya mudah dan semua orang bisa mendapatkannya tanpa mengira kelulusan, pangkat, rupa paras atau jumlah wang dalam simpanan. Ironinya, meski kita begitu mendambakan nikmat ketenangan tersebut kita masih tetap tidak mahu menggapainya. Pelik kan.
Hati manusia dan sifatnya yang tidak pernah puas terhadap satu perkara memungkinkan kita semakin jauh dari apa yang sebenarnya hati kita mahukan.
Hati perlu diubati terlebih dahulu. Lenyapkanlah ketamakan yang ada dalam hati. Jangan sampai ia bercambah dan bertumbuh dalam jiwa. Masalahnya, sesetengah kita membiarkan hati yang sakit terus menderita sehingga sampai ke tahap yang kronik dan patut dimasukkan ke ICU. Kita sedar dan kita tahu tetapi tetap jua mengabaikan...dan hati terus mati.
Tidak mungkin hati yang sakit bisa memberi ketenangan kepada pemiliknya. Setiap masa saban hari hati yang sakit mencurigai orang lain, mendendami orang lain, menyakiti orang lain lalu hiduplah hati tersebut dalam dunia yang gelap tanpa cahaya.
Semuanya soal hati. Jika hati kita sihat, maka tenanglah ia. Damailah jiwa dan hidup menjadi lebih bahagia. Andai sebaliknya, mintalah hati yang baru dari Allah kerana ia bukan lagi hati kita.
Akhir kalam...segalanya bermula di dalam hati.
Tuesday, December 10, 2013
Friday, August 9, 2013
Kerana Aku Seorang Islam
Demam hiburan dari negara kecil
yang mempersembahkan tarian dan lagu-lagu menyelimuti anak muda termasuk diri
ini sendiri. Mungkin pergaulan dengan mereka yang meminati hiburan jenis itu
sehingga diri tergelumang sama. Tapi, ya, kita tidak boleh menyalahkan diri
sendiri. Setiap kelemahan adalah datang dari dalam diri sendiri.
Disebabkan minat itulah tercetus
inspirasi untuk menulis sesuatu berkenaan dengan diri insan yang diminati
melalui skrin komputer riba. Satu bab...dua bab...dan idea mati. Entah, tak
tahu di mana silapnya padahal keinginan untuk menulis tentang mereka begitu
berkobar.
Setiap kali ingin menaip sesuatu
hati ini akan bertanya. Bagaimana agaknya hendak mencipta watak seorang bukan
Muslim? Tidak tahu. Dari cara bertutur, perwatakan, pakaian, makanan dan
seluruh cara hidup mereka. Begitu sukar hendak menggambarkannya walau sudah
begitu banyak drama dan filem dari negara tersebut ditonton.
Kesimpulannya begini, kerana diri
ini adalah seorang muslim. Mungkin bukan Muslim yang sempurna sifat dan cara
hidup Islamnya tetapi sejak kecil telah dididik dan diteladani dengan kehidupan
Islam maka secara semulajadinya diri tidak tahu bagaimana cara hidup yang bukan
Islam. Secara tidak langsung, walau tetap terdedah dengan budaya asing, diri
ini masih tidak memahami cara hidup mereka. Sukar sekali hendak menggambarkan
melalui lensa kaca mata sendiri.
Oleh sebab itu, kadang hati
bertanya, bagaimana dengan insan lain di luar sana yang mempunyai minat yang
sama terhadap hiburan boleh mamahami artis kegemaran mereka? Sehinggakan ada
yang sanggup beratur berjam-jam hanya untuk melihat persembahan artis bukan
Islam atau menghabiskan duit beratus-ratus hanya disebabkan keinginan terhadap
hiburan bergenre sedemikian. Ironinya, manusia yang sama akan menolak dengan
hadis atau ayat al-Quran yang diketahui jika diajak untuk melangkah ke masjid
atau menderma demi Islam (padahal mereka seorang muslim sejak lahir).
Bukan budaya Islam menjerit-jerit
di khalayak ramai. Bukan juga budaya Islam
percampuran antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Terlonjak-lonjak bagai
kera terpijak bara api sehingga pagi menjelang dengan meninggalkan setiap
amalan wajib dan sunat. Anehnya, mereka dengan rasa tidak tahu malu kepada
Allah meminta itu ini kepada-Nya.
Ada seorang fanatik yang melihat,
mendengar dan mencari setiap maklumat berkenaan artis asing yang diminati.
Minatnya menimbulkan cinta dan kegilaan sampaikan dia mengatakan yang dirinya
lebih sanggup menikahi lelaki (artis yang diminatinya itu) daripada seorang
ustaz atau tahfiz. Menurutnya (ini adalah perspektif dirinya kerana pernah
melalui peristiwa yang bagi dirinya pahit untuk ditelan) ustaz atau tahfiz
adalah insan yang tidak boleh dipercayai. Dia menolak andai sang ibu ingin
menjodohkan dirinya dengan seorang ustaz. Dia tidak rela. Lebih suka memilih artis lelaki (bukan Islam)
tersebut kerana minat dan kecintaannya.
Islam adalah satu cara hidup.
Muslim menyetujui realiti ini namun mengapa masih jua memisahkan Islam dengan
cara hidup kita? Berhibur tidak salah. Dalam Islam juga ada hiburan.
Walaubagaimanapun perlu ada limitasi bagi segalanya. Letakkan Islam di depan
setiap langkah kita. Fikirkanlah pandangan Allah sebelum kita membuat apa-apa
percaturan dalam kehidupan kita. Meski kita meminati atau menyintai sesuatu itu
letakkanlah hak Allah terlebih dulu kerana Dia-lah yang lebih berhak mendapat
perhatian manusia kerdil seperti kita.
Allah mengurniakan kita akal untuk
befikir bukan sebagai hiasan diri. Akal kita memainkan peranan penting dalam
pembentukan jati diri Muslim. Berfikir sebelum bertindak. Berfikir sebelum
berkata. Setiapnya melibatkan akal kita. Jadi, gunakanlah akal untuk
mempertimbangkan semula langkah yang pernah kita atur pada hari semalam. Bukan
mengenangkan perkara lampau untuk mengutuk diri tetapi bagi memperbaiki diri.
Kesilapan lalu masih boleh diperbetulkan andai kita masih mahu membaiki setiap
kelemahan. Jangan nyawa sudah berada di tenggorokan baru kita mahu mula
berfikir dan memperbetulkan diri. Ianya sudah terlambat kerana Malaikat Maut
tidak menunggu walau sesaat untuk mencabut nyawa kita.
“Kerana aku seorang Islam.”
Jadikanlah ayat ini sebagai benteng untuk kita agar tidak terus terjerumus
dalam lembah hiburan yang melalaikan. Semoga kita beroleh rahmat daripada-Nya.
InsyaAllah.
Wednesday, November 7, 2012
Tazkirah untuk diri
Alhamdulillah, syukran kepada Allah SWT dengan izinNya masih ada
masa untuk bernafas di muka bumi dan mentadbir segala isi alam.
Tenaga yang diberiNya juga membolehkan diri untuk kuat melangkah
meneruskan kehidupan yang semakin mencabar dan penuh onak duri.
Alhamdulillah atas kurniaan peluang untuk menadah tangan bermohon doa
mengharap belas simpatiNya. Sungguh Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan
Maha Pemurah.

Cuba renung kembali perjalanan yang dilalui semalam. Penuh derita,
tangisan mengiringi langkah yang dihayun. Alam dirasakan gelap tanpa
cahaya. Sunyi di hati tetapi jiwa masih menekan agar terus berdoa.
Keyakinan dan suluhan harapan mewarnai jiwa yang kusam, semoga doa
ini dimakbulkan Ilahi. Namun, nafsu mendesak bertanya, ‘sampai bila
harus ditadah tangan meminta? Sehingga sekarang belum nampak
hasilnya.’ Jiwa semakin tidak sabar menolak derita lalu diganti
dengan bahagia.
Setiap sujud kita berdoa...meminta dan memohon terus-menerus. Tiada
kata putus asa. Tapi, setelah beberapa lama berlalu mengapa belum
dimakbulkan doa kita? Hati sudah letih bersabar. Jiwa sudah tidak
mampu menanggung siksa. Lantas, syaitan mulai membisik halus.
Tergoyahlah iman dan hancurlah keyakinan yang akhirnya menjadi
butir-butir pasir halus ditiup angin.
Ketika doa dimakbulkan Ilahi kita lupa dan lalai. Kita alpa dari
mentadbir syukur melalui hati, lidah dan perbuatan. Syukur hati
dengan niat ibadah kerana Allah SWT. Syukur lidah dengan lafaz dan
syukur perbuatan dengan solat. Apakah kita sudah melaksanakannya?
Apabila doa tidak dimakbulkan kita menyalahkan Allah SWT. Rasa hampa
dan kecewa akhirnya menenggelamkan keyakinan yang kita bina
terhadapNya. Tanpa kita tahu sebenarnya diri kita sendirilah yang
membuat Allah SWT memperlambatkan perkenan doa yang dipohonkan.
Adakah pernah dalam masa seminit kita duduk bermuhasabah diri,
mencari dan merenung kesucian hati dan diri?


Kita abaikan solat demi kerja dan tugas. Kita tinggalkan puasa dengan
memberi pelbagai alasan. Kita lupa membayar zakat apatah lagi hendak
bersedekah. Kita rela berhibur ke luar negara daripada mengumpul duit
untuk haji. Tapi, kita masih mahu berdoa tanpa secebis pun rasa malu
terhadap Allah SWT. Betapa hinanya kita sebagai manusia dan hamba.
Bayangkan jika situasi tersebut berlaku dalam hidup yang kita lalui.
Kita mahu melalui lebuhraya tetapi tidak mahu membayar tol. Adakah
kita akan dibenar untuk memandu pergi begitu saja? Di pasaraya, kita mengambil begitu banyak jenis barangan
hingga penuh satu troli tetapi enggan membayar harga barang jualan.
Apakah kita akan dibiar pergi begitu saja?
Begitulah halnya situasi kita dengan Allah SWT. Dia suka kita
perbanyakkan sujud dan meminta kepadaNYa kerana Dialah Tuhan Yang
Maha Kaya dan Memilik Segalanya. Ayuh, sama-sama kita merenung
kembali perjalanan hidup yang telah kita lalui. Perbaikilah kesilapan
sementara masa masih ada.
Wednesday, October 31, 2012
Jangan perolokkan Islam
Hujan turun membasahai bumi bawah bayu yang kering kekontangan di
sepanjang Ramadhan dan di awal Syawal lalu. Alhamdulillah, nikmat
Ilahi yang tiada ternilai harganya. Hanya syukur dan sujud sebagai
tanda terima kasih sebagai hamba.
Ketika inilah fikiran terimbas memikirkan perihal perkara yang telah
menggegarkan dunia Islam ibarat ledakan atom di bumi Hiroshima dan
Nagasaki suatu waktu dulu. Filem ‘Innocence of Islam’ yang
dihasilkan oleh seorang yahudi laknatullah dan karikatur yang jelas
menghina rasul junjungan benar-benar membangkitkan kemarahan. Sana
sini demonstrasi bantahan diadakan sebagai bukti kecintaan kepada
Islam. Namun, apakah kita sedar tanpa filem dan karikatur ini pun
Islam sudah lama ‘dihina’? Bukan oleh yahudi saja tetapi juga
oleh umat Islam sendiri!
Kita mengaku kasih dan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Pengakuan
kasih dan cinta ini diluah di laman sosial. Ramai yang berkongsi rasa
turut sama menyumbang fikiran melalui komen-komen. Tapi, apakah cara
ini udah cukup membuktikan kasih dan cinta terhadap Allah dan
Rasul-Nya? Luahan pengakuan dipost ke laman sosial dan
duduklah berhadapan dengan skrin komputer untuk menunggu respons dari
rakan-rakan di alam maya. Sehinggakan solat fardhu yang wajib dan
menjadi tiang agama ditinggalkan tanpa secubit rasa bersalah. Jika
perkara wajib yang dituntut udah ditinggalkan apatah lagi perkara
sunat yang digalakkan. Inikah bukti kasih dan cinta terhadap Allah
dan Rasulullah SAW?
Itu satu perkara yang dianggap biasa oleh umat Islam zaman sekarang.
Ini satu lagi kisah yang patut diketahui oleh sekian umat Islam. Isu
Lesbian Gay Bisexual dan Transgender atau ringkas LGBT yang dulunya
timbul tenggelam kian senyap. Tapi senyap mereka jangan disangka tiada berbunyi. Entah dimana silapnya mereka yang dikurnia
akal dan fikiran sanggup melakukan perkara yang dikutuk malah
dilaknat oleh Rasulullah SAW. Lupakah mereka pada kaum Nabi Lut AS
yang diazab Allah SWT dengan menterbalikkan bumi tempat dipijak
sehingga tiada seorang pun dari mereka yang terselamat kecuali
orang-orang yang beriman? Mengapa mesti menentang arus manusiawi dan
menentang perintah Allah SWT?
Bagaimana pula kisah di bulan Ramadhan yang telah dilalui? Ramai umat
Islam mencuba untuk menutup kelemahan dengan menggunakan keberkatan
di bulan yang penuh rahmat ini. Perubahan dilakukan ke arah sesuatu
yang lebih baik. Wanita yang dulunya keluar dengan mendedahkan aurat
mengambil langkah memperbaiki diri. Lelaki pula jika sebelum Ramadhan
suka berpeleseran dan duduk bersembang hingga berjam-jam di kedai
mamak mulai bertindak positif dengan mendekatkan diri dengan masjid.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka edar dan tahu bahawa
Ramadhan adalah bulan mulia dan dipenuhi kemuliaan. Di dalamnya
terkandung eribu satu keberkatan yang tidak mungkin terungkai oleh
manusia.
Tapi, mengapa perkara yang baik ini berlaku di bulan Ramadhan saja?
Mengapa tidak diteruskan ke bulan-bulan yang seterusnya? Tiba Syawal
wanita kembali membuka aurat. Lelaki tidak lagi kelihatan memenuhi
ruangan masjid. Tindakan dan perilaku ini memberi gambaran bahawa
mereka seolah berfikir segala amal kebaikan hanya dikira pada bulan
Ramadhan dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Subhanallah, Maha Suci
Allah Yang Tidak Tidur dan Maha Melihat.
Masih banyak perkara yang menjadi bukti tentang sikap segelintir umat
Islam yang terus hidup dalam dakyah pemikiran yang salah. Jangan
jadikan kemodenan sebagai tiket untuk kita mengubah dan mempraktikkan
Islam dalam kehidupan dengan cara yang salah. Islam memang mudah
tetapi bukan untuk dipermudahkan. Ayuh, sama-sama kita keluar dari
kepompong jahil agama dan membentuk muslim yang baru di dalam diri.
Wednesday, October 17, 2012
Cinta yang sempurna
Cinta itu buta, bak kata madah pujangga yang sering meniti di bibir
setiap insan yang sedang dilamun cinta apabila ditanya tentang
sikapnya apabila dilamun cinta. Gambaran umum tentang cinta hasil
pemerhatian terhadap golongan yang sedang mabuk bercinta. Cinta tidka
buta tetapi manusialah yang menjadi buta kerana penangan cinta. Apa
saja sanggup dilakukan demi cinta. Sebutlah lautan mana akan sanggup direnangi
demi cinta. Katalah gunung yang mana akan sanggup didaki demi cinta
dalam hati. Kentut yang busuk boleh jadi harum kerana cinta. Wah,
hebatnya penangan cinta manusia.
Berbicara tentang soal cinta tidak akan ada noktahnya. Setiap manusia
ada kisah cinta masing-masing. Walau kisah hampir sama namun mereka
akan berkata kisah cinta mereka ada uniknya dan lain dari yang lain.
Bermakna jika ada berbillion umat manusia yang hidup di muka bumi
maka akan wujud berbillion kisah cinta! Itu belum ditanya kepada
mereka yang telah meninggalkan dunia.
Namun begitu, dari sejumlah kisah cinta yang dihimpunkan manakah
cinta yang benar dan manakah cinta yang palsu? Usah terburu-buru
membuat kesimpulan. Jangan menilai cinta melalui permukaannnya kerana
apa yang terlihat tidak semestinya benar. Ada cinta yang kelihatan
bersih dan suci namun diselaputi kepalsuan sehingga pemujanya
terkulai hampa.
Cinta adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai. Lahir dari lubuk
hati manusia yang paling dalam. Sejahat-jahat manusia pun pasti akan
wujud cinta di hatinya. Juteru itu, cinta menjadi fitrah dalam
kehidupan. Dikehendaki dan diingini oleh setiap insan.
Walaubagaimanapun, cinta yang tak dilapisi iman bakal menjadi fitnah
terbesar yang mampu meruntuhkan sebuah kehidupan.
Cuba imbas kembali kisah Firaun yang hidup di zaman Nabi Musa AS.
Firaun mencintai dunia sehingga mengangkat dirinya sendiri sebagai
Tuhan. Dia mahu memiliki dunia kerana cintanya. Cinta yang terlalu
tebal, padat dan teguh itu membuatkan mata dan hatinya menjadi buta
sehingga sanggup menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Musa AS.
Al-hasil dia mati dalam keadaan kufur di Laut Merah.
Begitu juga halnya dengan manusia yang menjadikan cinta sebagai Tuhan
mereka. Rela melakukan apa saja demi cinta meski meninggalkan seruan
agamanya. Cinta sebegini hanyalah cinta dusta yang patut dan perlu
dijauhi.
Bagaimana dengan cinta yang benar? Cinta yang didasari iman?
Pernahkah kita membaca atau mendengar kisah tentang kisah Rabiatul
Adawiyah? Beliau adalah satu-satunya wanita yang diangkat menjadi
wali Allah SWT. Wanita hebat ini sanggup menolak cinta manusia demi
memlihara rasa kasih dan cintanya kepada Tuhan Yang Satu. Beliau
terlalu takut andai menerima cinta manusia cintanya terhadap Yang
Khalik tergoyah dan berbagi dua. Hidup matinya hanya untuk Allah SWT.
Rindu kasihnya hanya pada Yang Satu. Itulah nilai cinta yang didasari
dengan iman dan takwa.
Imam Al-Ghazali ada berkata;
“Pertama telah ku pandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur. Setelah itu keemuanya pulang dan meninggalkan dia terbaring seorang diri. Tak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak ku dapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka ku ambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kubur ku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Imam Al-Ghazali ada berkata;
“Pertama telah ku pandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur. Setelah itu keemuanya pulang dan meninggalkan dia terbaring seorang diri. Tak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak ku dapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka ku ambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kubur ku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Daripada kata-kata ini dapat disimpulkan bahawasanya cinta Ilahi
yang menuntut amal ibadah kerana-Nya adalah cinta tulus yang benar.
Bilamana kita menyintai Allah SWT nescaya akan dibalas dengan nikmat
cinta daripada-Nya. Ramai yang mengakui hakikat ini. Ironinya, mereka
yang mengakui tidak mengamalkannya di dalam kehidupan. Mereka masih
mahu memburu cinta palsu yang diperdagang manusia walaupun Allah SWT
sudah membentang cintanya bagi mereka.
“Cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan nafsu semata
sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan.”
-Al-Farabi-
Wednesday, October 3, 2012
Sempurnakan Rukuk & Sujud kita
Solat adalah perkara yang
wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. solat merupakan tiang agama.
Tanpanya runtuhlah agama yang terpasak di dalam hati. Solat
mendekatkan kita kepada Pencipta dan antara tanda cinta kita kepada
Ya Rabb. Di dalam solat ada rukuk dan sujud yang perlu dilakukan.
Persoalannya, adakah sempurna rukuk dan sujud kita?
Seorang sahabat,
Huzaifah, ada melihat seorang lelaki bersolat tetapi tidak sempurna
rukuk dan sujudnya. Lantas, beliau pun menegur :
“Kamu sebenarnya tidak
solat. Seandainya kamu meninggal dunia, kematian kamu bukan dalam
agama fitrah.”
(Riwayat Al-Bukhari)
Wah, begitu penting
sekali rukuk dan sujud di dalam solat. Mengapa? Salah satu sebabnya
adalah kerana ketika rukuk dan sujud lafaz puji-pujian ditujukan
untuk Allah SWT.
Maksud bacaan ketika
rukuk:
“Maha Suci Allah Yang
Maha Besar, serta puji-pujianNya.”
Maksud bacaan ketika
sujud:
“Maha Suci Allah Yang
Maha Tinggi (Luhur), serta puji-pujianNya.”
Ayat-ayat ini diulang
sebanyak tiga kali. Bagaimana pula yang dikatakan sebagai rukuk dan
sujud yang tidak sempurna? Pertama, jika ia dilakukan tanpa
tamakninah. Kedua, jika cara melakukannya tidak betul, tidak sama
seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Ciri rukuk yang sempurna
sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah:
- Tangan diletakkan ke lutut sambil jari-jari terbuka (seolah-olah menggenggam lutut).
Seorang sahabat Nabi meriwayatkan; ‘ketika rukuk, Baginda
menetapkan kedua-dua tapak tangannya di atas lutut sambil membuka
jari-jemari Baginda.’
(Riwayat Abu Daud)
- Belakang badan diluruskan ke depan.
Sahabat
Nabi bernama Wabisah bin Ma’bad berkongsi cerita; ‘aku pernah
memerhatikan Rasulullah solat. Ketika rukuk, belakang Baginda sama
rata saja. Seolah-olahnya jika diletakkan seberkas air pasti tidak
tumpah.’
(Riwayat Ibnu Majah)
- Kepala diluruskan sejajar dengan kelurusan badan.
Aisyah
RA menceritakan; ‘apabila Nabi rukuk, kepala Baginda tidak
mendongak ke atas dan tidak juga terperosok ke dalam, tetapi
sedang-sedang saja.’
(Riwayat Abu Daud)
Kemudian, ciri sujud yang
sempurna adalah seperti berikut:
- Tujuh anggota meti dicecahkan ke lantai; muka (dahi dan hidung), kedua-dua tapak tangan, lutut dan tapak kaki (dengan jari-jari kaki dibengkokkan sedikit)
- Siku mesti terangkat dan renggang daripada badan. Jangan dicecahkan lengan ke lantai.
Sabda Rasulullah SAW yang
bermakud: “Apabila seorang hamba itu ujud, sujudlah bersamanya
tujuh anggotanya; wajah, dua tapak tangan, dua lutut dan dua-dua
kakinya (dengan jari-jari dibengkokkan sedikit).”
(Hadis Riwayat
Muslim)
Rasulullah SAW turut
memperincikan lagi, mafhumnya: “Sempurnakanlah sujudmu. Jangan kamu
menghamparkan kedua-dua lengan dan sikumu seperti anjing.”
Tambah Baginda lagi,
mafhumnya: “Apabila hendak sujud, tekapkan kedua-dua tanganmu (ke
lantai) sambil mengangkat kedua-dua sikumu.”
(Hadis Riwayat
Muslim)
Kita perlu memastikan
sujud yang dilakukan sempurna kerana anggota sujud tidak akan dijilat
oleh api neraka ketika di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“Setelah beberapa ketika penghuni neraka diseksa, Allah
mengarahkan malaikat-Nya supaya mengeluarkan ahli neraka yang pernah
menyembah Allah. Maka malaikat pun mengeluarkan mereka. Mereka
dikenalpasti dengan kesan sujud. Sesungguhnya Allah telah
mengharamkan api menjamah kesan sujud pada badan seorang ahli
neraka.”
(Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Thursday, August 9, 2012
Ramadhan ini
Ramadhan kali ini..betapa besar dugaan yg diterima sehingga tidak sanggup hendak berpijak di atas paksi bumi yang berputar...
kita cuba hendak memperbetulkan orang lain tapi kita gagal untuk mentarbiah keluarga sendiri
Dia yang disayangi dijaga sedari kecil..setiap tatihnya diperhati dan didoakan semoga tidak terjebak ke lembah..tapi apa sudah terjadi??
Ya Allah, ampuni hamba Mu yang hina ini kerana tidak dapat memikul tanggungjawab yang Kau amanahkan...ampuni aku Ya Tuhan Ku
kita cuba hendak memperbetulkan orang lain tapi kita gagal untuk mentarbiah keluarga sendiri
Dia yang disayangi dijaga sedari kecil..setiap tatihnya diperhati dan didoakan semoga tidak terjebak ke lembah..tapi apa sudah terjadi??
Ya Allah, ampuni hamba Mu yang hina ini kerana tidak dapat memikul tanggungjawab yang Kau amanahkan...ampuni aku Ya Tuhan Ku
Subscribe to:
Posts (Atom)

