Friday, January 7, 2011

Laskar Pelangi Memberi Keinsafan

Laskar Pelangi, sebuah filem asli Indonesia. Titik permulaan adalah sebuah novel hasil nukilan Andrea Hirata. Di sini bukan ingin mempromosikan filem ini kerana sudah maklum bahawa filem ini sudah lama ditayangkan malah vcd Laskar Pelangi boleh didapati di mana-mana kedai.


Laskar Pelangi mengisahkan tentang kehidupan di sebuah pulau di Indonesia yang kaya dengan hasil kurniaan Allah SWT namun pedih rakyat di tempat itu tidak dapat merasai sendiri hasilnya. Belitong, daerah Indonesia yang mempunyai kependudukan yang rata-rata miskin dan mundur. Darjat dan harta menjadi titik pemisah antara sekolah.

Di sinilah juga lahirnya SD Muhammadiyah yang mementingkan pelajaran agama dan akhlak bukan setakat pelengkap kurikulum tetapi menjadi nadi bagi murid-muridnya. Walaupun hanya mempunyai 10 orang murid yang lahir daripada keluarga miskin namun murid-murid ini mempunyai kelebihan tersendiri.



Di bawah asuhan Ibu Muslimah dan Pak Hartan, kanak-kanak seperti Haikal, Lintang dan Mahar boleh menjadi manusia yang menyanjung ilmu dan usaha mereka untuk menjadi manusia yang berjaya. Bagi mereka kemiskinan bukan penghalangnya demi ilmu.

Satu layar keinsafan dibuka andai kita memberi penghayatan di setiap susur filem ini. Betapa kehidupan dan alam menghimpit sehingga ilmu begitu susah untuk diperolehi. Tapi itu bukan alasan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Miskin bukan alasan terbaik untuk membunuh cita-cita.


Sesekali cuba bandingkan diri kita, kehidupan kita dengan mereka di sana. Hidup kita sejak lahir sudah dilengkapi dengan air, elektrik, makan, minum dengan selesa namun masih juga terdengar rungutan dari bibir. Kita tidak pernah bersyukur dengan setiap apa yang kita perolehi. Malah ada sesetengah mensia-siakan apa yang mereka ada. Cubalah kita renungkan. Andai kita berada di tempat Lintang, mampukah kita berbasikal jauh hanya semata-mata hendak menimba ilmu? Adakah kita sanggup melalui jalan yang dihuni buaya demi ilmu?

Andai kita berada di tempat kanak-kanak ini, adakah kita mahu diperolokkan oleh orang-orang tentang keadaan diri? Keikhlasan dan keluhuran hati demi ilmu menjadi nadi cerita begitu menyentuh hati. Jangan hanya menonton dengan sepasang mata tetapi lihatlah dengan hati.

Keindahan pelangi sering kita usir pergi
Malah memilih warna-warna kerlipan lampu di kelab malam
Manisnya iman selalu digadaikan
Sedang pangkat dan darjat disanjung tinggi
Maruah bukan lagi perkara yang utama
Harta itulah yang penting dari segalanya

Dunia yang sementara kita kejar
Sedang akhirat yang kekal kita biarkan
Hidup hanya pinjaman
Namun ironinya kita persiakan






Friday, December 10, 2010

The letter of death

Maaf tajuk bagi entry kali ini berbahasa inggeris. Sebenarnya tajuk ini sama dengan tajuk filem dari negara Thailand yang sempat ditonton semalam. Apa kaitan filem ini dengan entry ini? Ada. Banyak kaitannya kerana ia melibatkan pemikiran kita sebagai umat Islam.

The Letter of Death menceritakan bagaimana sekumpulan sahabat mati seorang demi seorang selepas menerima sepucuk surat yang meminta mereka untuk mengisi silang kata dan membuat salinan surat tersebut kepada orang ramai. Jika dia tidak berbuat demikian maka dia akan mati.

Itu serba sedikit sinopsis cerita The Letter of Death. Sekarang kaitan cerita filem dengan dunia realiti. Dua hari lepas saya menerima dua sms dari dua orang yang berbeza. Seorang kawan dan seorang lagi  sepupu.
Walau sms tersebut berbeza namun maksudnya tetap sama.

Sms 1:
" *Kalimah Allah yang ditaip mengunakan simbol2* sebarkan kalimah Allah ini kepada 10 orang Islam. InsyaAllah dalam masa 2 hari anda akan menerima khabar baik dan rezeki anda sentiasa masuk, tetapi jika anda ingkar dan tidak menghiraukan sms ini anda akan mendapat musibah besar selama 5 tahun. Demi Allah ini amanah. Allahuma inni as aluka rahmatan min indika tahdi biha qalbi, watajma' u biha shamli, wataruddu bihal fitnata anni...Doa Nabi Muhammad SAW.
  Kirim ke 10 orang, insyaAllah 2 jam kemudian kamu akan mendengar khabar baik dan dan mendapat kebahagiaan. Demi Allah ini amanah dan jangan dihapus sebelum disebarkan!! "

Sms 2:
"Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Malik Ya Qudus Ya Salam Ya Mu'min Ya Muhain Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakkabbir...kirimlah kepada 9 orang asma Allah ini. InsyaAllah kamu akan mendapat berita baik. Esok siapa yang tidak menghiraukan akan mendapat nasib buruk selama 6 tahun. Dalam waktu 1 jam anda akan mendapat rezeki yang tiada tara jumlahnya. Jangan dipadamkan. Demi Allah ini amanah dan jangan dihapuskan sebelum dikirimkan kepada 9 orang."

Dua sms yang berbeza tapi punya maksud yang sama. KHURAFAT! Ya itu jawapan yang tepat bagi menggambarkan dua sms ini. Entah di mana silapnya masyarakat Islam suka membiarkan pemikiran mereka dipenuhi perkara-perkara tahyul. Mempercayai bahawa sekiranya mereka tidak memenuhi permintaan sms tersebut maka mereka akan ditimpa musibah tanpa memikirkan sekiranya mereka memenuhi permintaan tersebut maka mereka telah membuat dua dosa. Pertama, mempercayai kuasa lain selain kuasa Allah dan kedua menarik orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Khurafat (Arab: خرافة‎) ialah kepercayaan karut atau tahyul yang diada-adakan berpandukan kepada perbuatan-perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku. Amalan khurafat biasanya melibatkan perbuatan, cerita atau ungkapan yang boleh membawa kepada kepercayaan terhadap suatu kuasa selain Allah SWT.

Sms ini adalah salah satu contoh perbuatan khurafat. Menakutkan orang dengan kalimat kematian sekiranya permintaan tidak dipenuhi dan memberi kata manis sekirnya permintaan dikabulkan. Bagi yang lemah pegangannya sudah tentu mudah terpengaruh dengan perkara tersebut.

Berdoalah semoga kita dijauhkan dari perkara ini. Ingatlah bahawa tiada kuasa yang mampu memberi nasib baik dan buruk kepada manusia melainkan Allah. Setiap yang menimpa kita adalah ujian tidak kira perkara baik atau buruk. Jadi mohonlah petunjuk Allah. Sesungguhnya kita hanya hamba Allah yang lemah.

Sunday, December 5, 2010

Pesanan Imam Ghazali

* seperti yang di emailkan oleh seorang kawan. Syukran di atas perkongsian ini ya.

Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?


Murid 1: Orang tua
Murid 2: Guru
Murid 3: Teman
Murid 4: Kaum kerabat

Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).



Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?

Murid 1: Negeri Cina
Murid 2: Bulan
Murid 3: Matahari
Murid 4: Bintang-bintang

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari2 yg akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


Imam Ghazali: Apa yang paling besar di dunia ini ?


Murid 1: Gunung
Murid 2: Matahari
Murid 3: Bumi

Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al Araf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.


Imam Ghazali: Apa yang paling berat di dunia?

Murid 1: Baja
Murid 2: Besi
Murid 3: Gajah

Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling be! rat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.



Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun

Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat


Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ! ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri

Friday, November 26, 2010

Dilema oleh Hijjaz

Lagu ini dipost oleh seorang kawan di dalam facebook. Saat mendengarkannya hati jadi tersentuh kerana ia khusus untuk wanita.

Wanita adalah hiasan dunia dan sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Semoga kita menjadi sebahagian daripadanya. InsyaAllah. Dengarlah dan hayati lirik lagu ini.

Betulkan pemikiran kita

Assalamualaikum wbt, salam pagi penuh barakah. Pagi ini selepas membaca sebuah blog yang sememangnya diikut selama ini minda mula berputar berfikir tentang sikap dan corak pemikiran yang selama ini didukung dibawa ke mana saja.

Hendak tahu blog tersebut boleh klik link ini http://keretamayat.blogspot.com/2010/11/fatwa-kaum-beruk.html

Mungkin ayatnya agak kasar tetapi siapa kita untuk pertikaikan kerana ia hak masing-masing. Tak perlu mengulas tentang penulis dan juga cara penulisannya tapi buka hati buka minda kita memikirkan isi penulisan yang disampaikan.

Fatwa beruk? Ya, memang ramai umat manusia yang di luar sana suka mengeluarkan fatwa jenis itu. Tak perlu mencari jauh. Renung cermin dan lihat orang di hadapan itu juga selalu mengeluarkan 'fatwa beruk' sendiri. Kenapa? kerana mahu menyedapkan hati masing-masing.

Marilah kita sama-sama betulkan pemikiran yang selama ini kita bawa ke hulu hilir. Pemikiran yang bukan saja merosakkan hati dan akal tetapi juga menjauhkan kita dari rahmat Allah SWT.

'Tak semua yang bertudung itu baik.' Pernah dengar ucapan seumpama ini? Tiada salahnya ucapan ini. Betul, tak semua yang bertudung itu baik. Namun jika dibandingkan mereka yang bertudung dengan yang tidak bertudung mereka yang bertudung itu jauh lebih baik bukan. Mereka cuba menutup aurat dan kenapa perlunya ucapan sinis yang hendak menjatuhkan orang lain semata-mata mahu menutup kesalahan sendiri? Sesungguhnya manusia hanyalah hamba Allah SWT yang lemah tidak sempurna.

Niat untuk menutup aurat. Perlukah wujud perkara seperti ini? Menutup aurat itu WAJIB! Tiada kompromi dengan undang-undang yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita. Kita tahu tapi kita abaikan dan mengeluarkan kata-kata penyedap untuk menutup kesalahan yang dibuat. Begitukah? Jangan jadi si bodoh yang bercakap tanpa berfikir.

Menutup aurat atau menutup rambut semata? Teringat satu blog yang pernah dibaca dulu. Maaf tidak dapat menyertakan link di sini. Blog yang ditulis oleh seorang lelaki yang mempersoalkan niat seorang perempuan bertudung. Bertudung untuk menutup aurat atau rambut semata? Bentangkan pandangan ke sekitaran. Ramai yang bertudung. Syukur alhamdulillah. Tapi mengapa dada terdedah? Tudung disingkatkan untuk menutup rambut saja tetapi dada dibentang luas sebagai santapan mata lelaki. Cuba baca syarat-syarat menutup aurat http://dielasunan.blogspot.com/2010/11/syarat-pakaian-muslimah.html dan fikirlah di mana pemikiran kita sebenarnya.

Fikirlah. Jangan hanya kerana berlandaskan alasan 'arus moden dunia' kita meninggalkan apa yang sepatutnya kita miliki. Jangan hanya kerana mahu menutup kesilapan diri kita menutup kebenaran yang tidak dapat disangkal oleh hati kita. Sedarlah bahawa sesungguhnya 'arus moden dunia' yang kita fikirkan sebenarnya adalah zaman jahiliah yang pihak kafir cuba untuk tanam dalam hati kita.

Masih banyak sebenarnya yang boleh dijadikan tajuk perbincangan dan dibetulkan kerana manusia penuh dengan 'fatwa beruk'. Tapi cukuplah setakat ini. Allah SWT kurniakan kita dengan akal. Maka berfikirlah berlandaskan agama bukan nafsu.

Wednesday, November 24, 2010

Syarat pakaian muslimah

Bagi semua muslimah tentunya syarat berpakaian diketahui. Betullah apa yang kamu fikirkan pakaian yang dipakai haruslah menutup aurat seperti mana yang disarankan oleh agama kita. Namun begitu molek sekiranya kita merenung kembali diri kita lewat pantulan cermin dan bertanya, apakah begini pakaian yang seharusnya dipakai sebagai wanita muslim ketika berada di khalayak ramai?


Firman Allah SWT:
"Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangNya (dan bersyukur)"
(surah Al-A'Raf : 26)

Syarat berpakaian bagi seorang muslimah umum telah mengetahui namun molek juga jika kita renungkan kembali garis panduan sebenar yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita sebagai hambaNya.

1) Pakaian yang dipakai itu haruslah menutup seluruh aurat

    Aurat bagi seorang perempuan merangkumi seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Jika berada bersama mahram aurat perempuan hanya sebatas dari pusat hingga ke lutut namun kita dituntut agar berpakain sopan walau dengan siapa pun kita bersama.

2) Pakaian tersebut hendaklah tebal yakni tidak jarang sehingga boleh menampakkan warna kulit
   
Sabda Rasulullah SAW :
    "Ada dua golongan ahli neraka yang daku belum pernah lihat sebelum ini. (Pertama) Lelaki yang mempunyai cemeti seumpama ekor lembu (yang digunakan untuk) memukul orang secara zalim. (Kedua) Segolongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang seleweng serta menyelewengkan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta. Mereke tidak akan dapat masuk syurga dan menghidu baunya, sesungguhnya bau syurga itu benar-benar dapat dihidu dari jarak begini dan begini (amat jauh)."
(Riwayat Imam Muslim)

3) Pakaian itu mestilah longgar, lapang atau luas yakni tidak terlalu ketat
   
 Usamah bin Zaid RA telah berkata: Baginda Rasulullah SAW telah memakaikan aku sejenis pakaian yang tebal di mana pakaian itu ialah hadiah daripada Dihyah Al-Kalbi RA kepada baginda. Kemudian aku pakaikan pakaian itu kepada isteriku. Baginda lantas bersabda: "Suruhlah isterimu mengenakan pakaian lain di sebelah dalam kerana khuatir pakaian tersebut menonjolkan bentuk rangka atau tubuhnya."
(HR Imam Ahmad)

4) Pakaian itu tidak dikenakan wangi-wangian

   Ini adalah kerana wangi-wangian boleh menarik perhatian dan menimbulkan fitnah atau godaan kepada lelaki.

Sabda Rasulullah SAW :
  "Seseorang perempuan yang memakai minyak wangi kemudian melalui (melintasi) di hadapan suatu kaum (lelaki) agar mereka menghidu baunya maka ia dianggap umpama berzina. Begitu juga setiap mata yang melihatnya dianggap umpama berzina."
(Riwayat Al-Nasai, Ibn Khuzaimah dan Ibn Habban)
 
5) Pakaian itu bukanlah pakain untuk kemahsyuran dan menarik perhatian (menjolok mata) serta untuk sombong dan takabbur
 
Sabda Rasulullah SAW :
   "Barangsiapa yang memakai pakaian kemahsyuran (untuk mahsyur) di dunia maka Allah SWT memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian Allah SWT membakarnya dengan api neraka."
(Riwayat Imam Ibn Majah)
 
6) Jangan sesuatu yang digunakan untuk menutup aurat itu sendiri merupakan perhiasan
 
   Contohnya, mahkota yang diletakkan di atas kepala dan membuat rambut palsu. Ini adalah kerana kedua-dua pakaian tersebut membawa kepada fitnah atau tergoda oleh pemakainya.
   Rasulullah SAW melarang mengenakan perhiasan kecuali untuk suami di samping memberi amaran kepada perempuan muslimah agar tidak meniru perempuan Yahudi yang berhias untu menarik perhatian lelaki.
 
7) Pakaian tidak menyerupai perempuan kafir
 
  Sabda Rasulullah SAW:
    "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam golongan mereka."
 (Riwayat Abu daud dan Ahmad)
 
    "Tidak termasuk dalam golonganku orang yang menyerupai (meniru) umat lain."
(Riwayat Al-Tarmizi)
 
  Sheikh Atiyyah Saqr berkata : "Saya rasakan syarat ini sudah tidak dihiraukan oleh sebahagian wanita Islam kerana mereka berusaha sedaya upaya untuk memakai pakaian ala barat walaupun harganya mahal. Golongan kafir khususnya telah mencipta fesyen-fesyen pakaian yang menggiurkan agar dibeli dan dipakai oleh perempuan Islam walaupun pakaian itu menampakkan bahagian-bahagian sensitif."
 
8) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian yang khusus untuk lelaki
 
   Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai kaum lelaki. (Riwayat Al-Bukhari)
 

Tuesday, November 23, 2010

Kata-kata hikmah Sheikh Abdul Kadir Jailani

kata2 hikmah Sheikh Abdul Kadir Jailani. Semoga menjadi pedoman untuk kita semua, insyaAllah.
1. Apabila kamu bertemu dengan seseorang,maka lihatlah kelebihan yang ada padanya.Dan engkau katakanlah kepada dirimu sendiri,"Mudah-mudahan jadilah dia di sisi Allah lebih baik daripada aku dan semoga Allah mengangkat darjatnya."

2. Sekiranya dia adalah orang yang lebih muda daripada engkau, katakanlah," Dia belum menderhaka kepada Allah.Maka tidak ragu lagi dia lebih baik daripada aku."

3. Sekiranya dia adalah seorang yang lebih tua daripada engkau,maka katakanlah," Dia adalah orang yang lebih dahulu menyembah dan berbakti kepada Allah daripada aku."

4. Sekiranya dia adalah orang alim,maka katakanlah," Dia telah diberikan oleh Allah apa yang aku tidak perolehi dan dia mengetahui apa yang aku tidak tahu."

5. Sekiranya dia adalah seorang yang jahil,maka katakanlah," Dia adalah orang yang menderhaka kepada Allah kerana kejahilannya. Sedangkan aku menderhaka kepada Allah dalam keadaan aku
mengetahui bagaimanakah kesudahanku dan kesudahannya. "

6. Sekiranya dia adalah seorang yang kafir,maka katakanlah," Aku tidak tahu,mungkin akhirnya dia dia memeluk Islam dan mati dalam keadaan Husnul Khatimah dan mungkin aku jadi kafir dan mati dalam keadaan Suul Khatimah."