Wednesday, November 24, 2010

Syarat pakaian muslimah

Bagi semua muslimah tentunya syarat berpakaian diketahui. Betullah apa yang kamu fikirkan pakaian yang dipakai haruslah menutup aurat seperti mana yang disarankan oleh agama kita. Namun begitu molek sekiranya kita merenung kembali diri kita lewat pantulan cermin dan bertanya, apakah begini pakaian yang seharusnya dipakai sebagai wanita muslim ketika berada di khalayak ramai?


Firman Allah SWT:
"Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangNya (dan bersyukur)"
(surah Al-A'Raf : 26)

Syarat berpakaian bagi seorang muslimah umum telah mengetahui namun molek juga jika kita renungkan kembali garis panduan sebenar yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita sebagai hambaNya.

1) Pakaian yang dipakai itu haruslah menutup seluruh aurat

    Aurat bagi seorang perempuan merangkumi seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Jika berada bersama mahram aurat perempuan hanya sebatas dari pusat hingga ke lutut namun kita dituntut agar berpakain sopan walau dengan siapa pun kita bersama.

2) Pakaian tersebut hendaklah tebal yakni tidak jarang sehingga boleh menampakkan warna kulit
   
Sabda Rasulullah SAW :
    "Ada dua golongan ahli neraka yang daku belum pernah lihat sebelum ini. (Pertama) Lelaki yang mempunyai cemeti seumpama ekor lembu (yang digunakan untuk) memukul orang secara zalim. (Kedua) Segolongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang seleweng serta menyelewengkan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta. Mereke tidak akan dapat masuk syurga dan menghidu baunya, sesungguhnya bau syurga itu benar-benar dapat dihidu dari jarak begini dan begini (amat jauh)."
(Riwayat Imam Muslim)

3) Pakaian itu mestilah longgar, lapang atau luas yakni tidak terlalu ketat
   
 Usamah bin Zaid RA telah berkata: Baginda Rasulullah SAW telah memakaikan aku sejenis pakaian yang tebal di mana pakaian itu ialah hadiah daripada Dihyah Al-Kalbi RA kepada baginda. Kemudian aku pakaikan pakaian itu kepada isteriku. Baginda lantas bersabda: "Suruhlah isterimu mengenakan pakaian lain di sebelah dalam kerana khuatir pakaian tersebut menonjolkan bentuk rangka atau tubuhnya."
(HR Imam Ahmad)

4) Pakaian itu tidak dikenakan wangi-wangian

   Ini adalah kerana wangi-wangian boleh menarik perhatian dan menimbulkan fitnah atau godaan kepada lelaki.

Sabda Rasulullah SAW :
  "Seseorang perempuan yang memakai minyak wangi kemudian melalui (melintasi) di hadapan suatu kaum (lelaki) agar mereka menghidu baunya maka ia dianggap umpama berzina. Begitu juga setiap mata yang melihatnya dianggap umpama berzina."
(Riwayat Al-Nasai, Ibn Khuzaimah dan Ibn Habban)
 
5) Pakaian itu bukanlah pakain untuk kemahsyuran dan menarik perhatian (menjolok mata) serta untuk sombong dan takabbur
 
Sabda Rasulullah SAW :
   "Barangsiapa yang memakai pakaian kemahsyuran (untuk mahsyur) di dunia maka Allah SWT memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian Allah SWT membakarnya dengan api neraka."
(Riwayat Imam Ibn Majah)
 
6) Jangan sesuatu yang digunakan untuk menutup aurat itu sendiri merupakan perhiasan
 
   Contohnya, mahkota yang diletakkan di atas kepala dan membuat rambut palsu. Ini adalah kerana kedua-dua pakaian tersebut membawa kepada fitnah atau tergoda oleh pemakainya.
   Rasulullah SAW melarang mengenakan perhiasan kecuali untuk suami di samping memberi amaran kepada perempuan muslimah agar tidak meniru perempuan Yahudi yang berhias untu menarik perhatian lelaki.
 
7) Pakaian tidak menyerupai perempuan kafir
 
  Sabda Rasulullah SAW:
    "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam golongan mereka."
 (Riwayat Abu daud dan Ahmad)
 
    "Tidak termasuk dalam golonganku orang yang menyerupai (meniru) umat lain."
(Riwayat Al-Tarmizi)
 
  Sheikh Atiyyah Saqr berkata : "Saya rasakan syarat ini sudah tidak dihiraukan oleh sebahagian wanita Islam kerana mereka berusaha sedaya upaya untuk memakai pakaian ala barat walaupun harganya mahal. Golongan kafir khususnya telah mencipta fesyen-fesyen pakaian yang menggiurkan agar dibeli dan dipakai oleh perempuan Islam walaupun pakaian itu menampakkan bahagian-bahagian sensitif."
 
8) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian yang khusus untuk lelaki
 
   Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai kaum lelaki. (Riwayat Al-Bukhari)
 

2 comments:

  1. Salam Diela, peringatan yg cukup baik untuk diri saya.. Thanks yer..

    ReplyDelete
  2. salam penuh rahmat, kita sma2 mmperingati satu sma lain krn kita hya hambaNya yg lemah. sering tlupa dan lalai...yg baik itu milik Allah swt dan yg bruk dr diri sy juga

    ReplyDelete