Thursday, October 13, 2011

The beauty of Mecca

Tempat bersejarah bagi umat Islam seluruhnya tidak kira pengikut Syiah, Khawarij dan Sunnah. Di sinilah tempatnya di mana Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW dilahirkan. Di sinilah juga dakwah baginda bermula dan di sinilah juga tempat yang menempatkan kiblat bagi umat Islam, Kaabah.





Keindahan yang tidak dapat digambarkan. Subhanallah...semoga akan ada satu hari kita menjejak kaki ke sana. InsyaAllah..berdoalah...

Monday, October 10, 2011

Pesanan Rasulullah untuk mu wanita


1.   Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.(Riwayat Muslim).

2.   Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3.  Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4.  Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5.   Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suami nya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7.   Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginys selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya.

8.     Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka

9.    Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya(sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10. Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11.  Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.

12.  Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13.  Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14.  Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

kredit : sujud syukur

Friday, October 7, 2011

Solatlah sebelum disolatkan


Dah solat? Soalan yang patut kita tanyakan kepada diri sendiri setiap kali azan berkumandang. Tidak kiralah azan itu dari radio, televisyen atau dari surau dan masjid yang berdekatan. Di zaman yang serba canggih ini agak malu sekiranya rakyat mundur dalam soal agama. Hendak belajar solat pun buku-buku dan video-video sudah berada dipasaran. Hanya perlu kita untuk menghulur tangan membelinya.

Tapi ironinya, walau canggih dan modennya dunia masih tidak dapat menandingi kemajuan dan kemegahan yang dikecapi kerajaan Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat. Sudahnya ramai yang mula memandang enteng hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah SWT. Aneh manusia, sungguh mengerti ketidaksempurnaan mereka tetap juga mahu mempersoalkan perkara yang di luar jangkauan mereka. Hukum hudud misalnya menjadi perdebatan di meja-meja rundingan. Jangan berbicara andai kita tidak tahu hujung pangkalnya. Jangan menghurai jika belum penuh ilmu di dada. Tapi tetap juga mahu menang walau fakta yang dipegang hanya auta semata.

Berbalik soal solat. Hari ini menyinggah ke kedai makanan segera. Ramai pengunjungnya. Penuh sesak sehingga tidak tahu hendak duduk di mana. Ada melayu, cina dan india. Pelbagai kaum. Keunikan Malaysia yang menjadi kebanggan semua. Lalu melabuh punggung di sebelah meja sekumpulan remaja lelaki Melayu.

Hati tertanya sendiri. 'Tidak bersolat jumaatkah mereka? Bukankah hari ini hari jumaat?'

Itu satu cerita. Kisah lain pula di meja yang bertentangan ada tiga orang remaja, dua lelaki dan seorang perempuan. Pelajar sekolah! Dua orang adalah pasangan kekasih dan yang seorang itu mungkin sahabat mereka. Aksi manja-manja yang dipamer menjelikkan mata. Masih di bangku sekolah tapi sudah berani bersikap demikian di hadapan umum. Jika ditanya soal agama pastinya mereka menjawab mereka ISLAM tapi mengapa begitu terang berbuat salah tanpa mengira dosa dan pahala. Bagaimana jika ditanya, sudah solatkah? Entah apa jawapan mereka.

Usia mereka mungkin masih mentah. Masih muda. Tapi ajal tidak mengenal usia. Semuda mana pun jika Allah SWT sudah menetapkan ajal tiada siapa dapat menghalangnya. Walau setua mana pun jika Allah SWT mengizinkan untuk terus hidup masih juga tiada siapa dapat melawan.

Lalu apa yang akan dijawab kepada munkar dan nakir jika soalan solat diajukan? Bolehkah kita menjawab, 'saya masih muda sewaktu dilahirkan jadi masa untuk solat itu tiada.' Maaf, kita bukan bayi baru lahir yang Allah SWT tarik nyawanya yang boleh menjawab '...tiada masa.'

Kita boleh memberikan pelbagai alasan kepada manusia lain sekiranya ingin melepaskan diri tetapi tidak di hadapan Allah SWT kerana Dia mempunyai saksi yang kuat dan sentiasa bercakap benar. Mata, hidung, telinga, tangan, kaki dan setiap anggota kita menjadi saksi amal kebaikan dan dosa keburukan. 

Lantas mampukah kita melepaskan diri lagi? Tidak! Jangan seksa diri dengan perkara yang bakal kita tinggalkan satu hari nanti tetapi berusahalah mengumpul bekal yang perlu kita bawa di akhirat sana. Jangan menunggu tibanya waktu petang jika berada di waktu pagi dan jangan pula menunggu gelapnya malam andai sudah ada terang kesiangan.

Waktu mengalir tanpa menunggu kita. Jadi solatlah sebelum disolatkan!

Thursday, September 29, 2011

Berhentilah sebelum kenyang

Sebenarnya setiap perkara bergantung kepada pemakanan seseorang itu. Apa yang menjadi makanan sehari-hari akan membentuk hatinya pada hari ini kerana setiap darah dan daging pada hari ini adalah hasil makanan kita pada hari kelmarin.

Jika baik makanannya maka baiklah daging di dalam tubuhnya lalu membentuk seorang yang baik pada hari ini. Maka pilihlah makanan yang sihat dan halal bagi diri kita bermula saat ini.

Diriwayatkan bahawa Nabi Yahya a.s pernah didatangi iblis yang membawa beberapa benda bergantungan pada badannya. Lalu Nabi Yahya bertanya: "Apakah benda yang bergantungan itu?" 

Jawab iblis; "Inilah syahwat yang aku pergunakan untuk menguasai dan menggoda manusia."

Nabi Yahya kemudian bertanya: "Apakah yang ada pada syahwat itu?" 

Jawab iblis: "Kadang- kadang dengan syahwat ini engkau kekenyangan lantas aku beratkan engkau daripada mengerjakan solat dan zikir." 

Nabi Yahya terus menjawab; "Demi Allah, selama- lamanya aku tidak akan memenuhi perut dengan makan hingga terlalu kenyang."

Terlalu banyak makan boleh menyebabkan pekerti tercela. Contohnya:-

1.Menghilangkan rasa takut kepada Allah daripada hati manusia.

2.Menghilangkan kasih sayang kepada makhluk daripada hati orang yang kenyang kerana menganggap orang lain kenyang seperti dia.

3.Kenyang boleh menyebabkan seseorang itu berat untuk taat beribadat.

4.Sewaktu mendengar kata-kata hikmah; orang yang terlalu kenyang tidak dapat menangkap dan merasakan kehalusannya.

5.Jika orang yang kenyang itu memberikan nasihat dan hikmah, maka apa yang dikatakan itu tidak dapat meresap ke dalam hati orang yang mendengarnya.

6.Terlalu kenyang boleh menimbulkan pelbagai penyakit.

Friday, September 23, 2011

Bukti Keimanan

Iman, sesuatu yang tidak dapat diukur sejauh mana tahapnya. Ini adalah kerana kita sendiri tidak pasti sama ada orang yang baik itu benar-benar baik tanpa menyelindungkan perkara terlarang atau jahatkah seseorang itu sehingga tiada langsung kebaikan di dalam hatinya? Allahualam. Tiada manusia yang benar-benar baik selepas kewafatan Rasulullah SAW dan tiada orang yang benar-benar jahat di dunia ini.

Hanya Allah SWT yang dapat menilai setebal mana keimanan seseorang kerana di hadapanNya tiada manusia yang dapat berpura-pura, tiada yang dapat disembunyikan, tiada yang dapat dihilangkan tanpa pengetahuanNya. Allah SWT maha melihat lagi maha berkuasa. Allahuakbar.

Al-Hakim meriwayatkan Alqamah bin Haris r.a berkata, aku datang kepada Rasulullah s.a.w dengan tujuh orang dari kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya, "Siapakah kamu ini ?"

Jawab kami, "Kami adalah orang beriman." 

Kemudian baginda bertanya, "Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu ?" 

Jawab kami, "Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliyah ?"

Tanya Nabi s.a.w, "Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu ?"

Jawab mereka, "Kamu telah perintahkan kami untuk beriman kepada Allah, percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah yang baik mahupun yang buruk."

Selanjutnya tanya Nabi s.a.w, "Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu ?"

Jawab mereka, "Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu."

Tanya Nabi s.a.w selanjutnya, "Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?" 

Jawab mereka, "Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, redha pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh." 

Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Nabi s.a.w berkata, "Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara, hampir sahaja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi."

Kemudian Nabi s.a.w selanjutnya, "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai? Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan. Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu duduki, janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan, berusahalah untuk mencari bekalan ke dalam akhirat."

Thursday, September 22, 2011

Kata-Kata Hikmah Tiga Khalifah

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, negara Islam diperintah oleh empat khalifah yang dikenali sebagai Khulafah Ar-Rasyidin. Mereka ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Umar Al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib. Berikut adalah kata-kata hikmah daripada khalifah ini yang boleh kita jadikan panduan.


SAYIDINA ABU BAKAR:

1. Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, niscaya Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu.

2. Semoga aku menjadi pohon yang ditebang kemudian digunakan.

3. Dia berkata kepada para sahabat,"Sesungguhnya aku telah mengatur urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu maka berilah pertolongan kepadaku. Kalau aku bertindak lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng maka perbetulkan aku!"



SAYIDINA UMAR BIN KHATTAB:

l. Jika tidak kerana takut dihisab, sesungguhnya aku akan perintahkan membawa seekor kambing, kemudian dipanggang untuk kami di depan pembakar roti.

2. Barangsiapa takut kepada Allah SWT nescaya tidak akan dapat dilihat kemarahannya. Dan barangsiapa takut pada Allah, tidak sia-sia apa yang dia kehendaki.

3. Wahai Tuhan, janganlah Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di atas tanganku. Wahai Tuhanku, umurku telah lanjut dan kekuatanku telah lemah. Maka genggamkan (matikan) aku untukMu bukan untuk manusia.



SAYIDINA ALI KARAMALLAHU WAJHAH:

1. Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahwa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai.

2. Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima?

3. Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya.

4. Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.

Tuesday, September 20, 2011

Perkara Biasa & Luar Biasa

Banyak perkara yang berlaku dan kita lakukan pada hari ini adalah perkara yang luar biasa bagi kita tapi perkara yang biasa bagi para sahabat ketika di zaman Rasulullah SAW.  


1. Sembahyang




Yang biasa
Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih Better late than never menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.

Luar biasa
Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 15 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa .

2. Sedekah





Biasa
Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.

Luarbiasa
Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Tuhan.

3. Berjaga malam





Biasa
Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau melayan VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.

Luarbiasa
Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.

4. Kerja





Biasa
Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya kuasa.

Luarbiasa
Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan . Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.



Iktibarnya, ramai daripada kita mula menyempitkan pemikiran dengan kata-kata yang hanya hadir untuk menyedapkan hati sendiri. Cuba letakkan diri kita suatu persoalan sama ada mahu menjadi mereka yang biasa atau mereka yang luar biasa?


kredit : Portal Mukmin