Wednesday, October 27, 2010

Tinggal atau ditinggalkan

Salam muhasabah. Agak lama membiarkan blog ini kosong tanpa sebarang pengisian langsung dari tinta penulisan. Kesibukan dan ketiadaan waktu untuk berfikir mungkin menjadi antara penyebabnya namun paling utama penulisan di sini tertunda kerana ketiadaan sumber untuk bermeditasi.

Begitulah hidup manusia masih mengharap dan terus mengharap keizinan Allah SWT untuk melangkah ke arah sesuatu. Betapa lemahnya diri dirasakan. Namun pengharapan itulah yang dituntut oleh Allah SWT daripada kita agar kita tidak lupa bahawasanya kita ini adalah HAMBA yang tidak sempurna.

Seiring beralihnya waktu dunia juga semakin lelah melihat ulah manusia yang semakin lama semakin lupa pada tanggungjawab serta amanah yang dititipkan seusai nyawa ditiupkan ke dalam jasad. Adakah arus kemodenan telah melenyapkan rasa penghambaan yang telah dititipkan oleh Allah SWT melalui utusan para rasulNya? Atau manusia sememangnya hamba yang tidak tahu bersyukur?

Dunia kini melihat mereka yang masih berpegang kepada sunah adalah mereka yang ketinggalan zaman atau masih hidup di zaman kemunduran. Benarkah? Siapakah yang ketinggalan sebenarnya? Muslim yang masih berpegang pada sunah dan syariat atau muslim yang hanya berpegang kepada nama Islamnya sahaja?

Bagaimana sekiranya kita membawa akal kita untuk berfikir melewati jaringan masa. Berfikir dan melihat perbezaan hidup di zaman dahulu dan merungkai persoalan isu kemodenan yang dibanggakan oleh masyarakat pada hari ini.

Sebelum kedatangan Islam bagaimana corak kehidupan masyarakat jahiliah? Mereka hidup dalam kemaksiatan. Darjat dan harta menjadi ukuran untuk setiap langkah. Wanita pula berada di kedudukan yang paling bawah. Bagi mereka tiada tempatnya wanita di kalangan masyarakat dan wanita hanya layak dijadikan tempat untuk memuaskan nafsu. Begitu rendahnya martabat seorang wanita itu di sisi masyarat Arab Jahiliah.

Setelah kedatangan Islam corak kehidupan mulai berubah. Islam mengharamkan penghambaan, meningkatkan maruah dan kedudukan seorang wanita di kalangan masyarakat dan menolak kasta yang terbina kerana harta dan darjat. Begitu indahnya Islam.

Namun, bagaimana kehidupan masyarakat pada hari ini? Harta dan pangkat menjadi kayu ukuran di mana-mana saja, maksiat dilakukan tanpa perasaan segan dan silu dan martabat wanita pula wanita sendirilah yang menjatuhkannya. Lalu apakah ini yang dinamakan kemodenan sedangkan corak kehidupan ini sama dengan corak kehidupan arab jahiliah di zaman dulu? Siapakah yang ketinggalan zaman sebenarnya?

Rasulullah SAW bersabda,

"Akan muncul di akhir umat ku wanita-wanita yang berpakaian namun hakikatnya bertelanjang. Di atas kepala mereka terdapat sesuatu (mirip) punuk (bonggol) unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak juga akan mencium aroma syurga. Padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak sekian dan sekian"
                                                                                        
                                                                                                                                   (HR. Muslim)

Lihatlah wahai kaum wanita, Islam telah membantu kita dan sekarang kita jugalah yang menghancurkannya. Kenapa? Mengapa begitu rendah maruah dipertaruhkan?

Apakah perlu membuka aurat untuk mendapatkan perhatian ramai? Apakah perlu mengenakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh untuk memberitahu bahwa kamu mengikut arus modennya dunia? Di mana letaknya maruah mu sebagai wanita? Adakah hidup mu di dunia hanya ingin menjadi santapan mata lelaki lalu di akhirat menjadi kayu pembakar api neraka?

Sabda Rasulullah SAW,

"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah"
                                                                                                   
  (HR. Muslim) 
Sekarang bwalah minda kita untuk berfikir sejanak. Siapakah yang tertinggal dan siapa pula yang meninggalkan? Jangan biar bumi menangisi gerak sumbang kita. Hayunlah langkah mengikut irama indah Islam kerana tiada sesautu yang Allah SWT ciptakan melainkan untuk kebaikan hambaNya. InsyaAllah.

Kita hanya boleh menasihati dan selebihnya adalah hak Allah SWT. Sekiranya ada yang terasa hati ampun dan maaf dihulurkan. Kita hanya hamba yang lemah dan tidak sempurna penuh dengan silap dan khilaf.

Wednesday, September 29, 2010

Choices

Choices adalah pilihan dan pilihan adalah choices. Ramai yang tahu maksudnya tetapi tahukah makna disebaliknya? Pilihan adalah hak kita sebagai manusia dan semenjak lahir kita dikemukakan dengan pelbagai pilihan di mana sebagai manusia kita harus memilih sama ada hendak memilih jalan di kiri atau jalan di kanan.

Pilihan jugalah yang menentukan kitar hidup seseorang. Segalanya di tangan kita. Sebagai hamba Allah kita hanya mampu merancang tetapi Allah SWT juga yang menentukan. Begitulah yang sepatutnya. Pilihan mampu membentuk siapa kita pada hari ini.

Hendak menjadi seorang yang berjaya atau tidak terletak di tangan kita. Hendak menjadi seorang yang dihormati atau dibenci juga adalah pilihan kita. Baik atau buruk mulanya dari diri kita sendiri. Tidak perlu menuding jari menyalahkan ibu, bapa atau mereka yang ada di sekeliling kita. Cermin dahulu diri kita sebelum berani meluruskan jari telunjuk ke arah orang lain.

Setiap pilihan sebenarnya datang dengan risiko yang harus kita pikul. Tiada apa di dunia ini yang datang tanpa dengan sendiri. Jika ada sebab pasti wujud musababnya dan risiko adalah 'isteri' kepada pilihan yang kita buat dan risiko adalah perkara hak yang akan kita tanggung di kemudian hari sebagai impak hasil daripada pilihan yang kita buat. Oleh itu buatla pilihan yang terbaik di dalam hidup ini.

Friday, August 20, 2010

My Love Letter


Salam ramadhan al mubarak buat semua. Sepanjang bulan keberkatan ini sudah pasti ramai antara kita yang mula berjinak-jinak dengan masjid, mula berhias mengikut aturan Islam dan mula mencari amal kebaikan. Tidak mengapalah kerana sesungguhnya bulan ramadahn kita sememangnya digalakkan untuk berbuat kebaikan tetapi jangan pula berbuat kebaikan di bulan ini saja. Harus diteruskan sehingga di akhir hayat kita, insyaAllah aminn.

Surat cinta ku


Allah SWT mengurniakan manusia dengan seberkas kasih sayang dan perasaan cinta kepada sesama manusia tidak kira sama atau berlainan jantina. Namun begitu, pernahkah kita terfikir tentang rasa cinta yang kita alami itu berdasarkan syariat Islam atau menurut nafsu semata-mata. Jangan lupa, walaupun syaitan dirantai di bulan ramadhan yang mulia ini namun anak didiknya yakni nafsu masih tetap mendampingi kita.

Apabila sudah dilamun cinta mulalah menghantar kata-kata berbaur rasa kasih dan sayang kepada si dia. Biasanya menggunakan ayat-ayat lewat taipan sistem mesej singkat (sms) atau ada yang lebih advance dengan meluahkan melalui kata-kata.

Surat cinta biasanya dilakukan ditulis oleh lelaki kepada si perempuan. Surat itu tak kiralah ayat-ayat singkat atau apa jua bentuk tulisan. Itu boleh kita kategorikan sebagai surat cinta kerana si penerima pasti akan memanggil ayat-ayat contengan mesra sang kekaksih di buku notanya sebagai surat cinta waima hanya serangkap pantun.

Bila sudah terima surat cinta hati mulai berbunga ria. Senyum simpul sampai ke telinga. Hendak tidur pun masih terkenang surat tadi. Begitu hebat sekali penangan surat cinta sang kekasih. Tahukah bahawa hanya dengan berperasaan sedemikian kita sebenarnya sudah melakukan dosa? Meletakkan cinta utama kepada manusia yang belum tentu menjadi pasangan kita padahal cinta utama itu adalah hak Allah SWT.


Surat cinta Allah SWT


Itu tentang kisah surat cinta seorang manusia kepada manusia yang lainnya. Ini kisah surat cinta Allah SWT kepada hamba-hamba Nya. Surat cinta inilah yang sepatutnya kita baca. Kita hayati isi kandungannya malah kita fahami maksud tersirat yang Allah SWT sampaikan untuk umat manusia.

Al-Quran Nur Karem diturunkan di bulan ramadhan yang penuh keberkatan. Mengingatinya saja kita sebenarnya sedang menghantar isyarat cinta kepada Ya Rabb apatah lagi membaca dan memahaminya. Ditambah lagi jika kita mempraktikkan di dalam kehidupan seharian.

Manusia semakin lama semakin lupa akan hakikat ini. Mereka tahu tetapi buat-buat tidak tahu. Sedarkah bahawa sekiranya kita semakin jauh dari Al-Quran kita akan semakin dekat dengan syaitan, semakin jauh dari syurga dan semakin dekat dengan neraka? Mahukah kita menjadi kayu api pembakar neraka Jahannam? Mari sama-sama kita fikirkan.

Cuba kita renungkan kembali umat yang hidup di zaman Rasulullah dan para sahabat. Medan jihad menjadi ladang mencari redha Allah SWT dan masjid-masjid mereka bersinar oleh pancaran sujud-sujud mereka. Ini adalah kerana mereka sedar dan yakin bahawa Al-Quran adalah sumber peradaban yang dapat mengubah mereka melebihi peradaban dunia bila pun dan di mana pun. 

Jadikanlah Al-Quran Love Letter yang dikenang, diingat, diamal dan dibaca setiap hari kerana insyaAllah Love Letter yang ini mampu menjadi pembela kita di akhirat kelak. 

Monday, August 9, 2010

Tangisan dan perubatan


Setiap manusia sudah pasti mempunyai pengalaman menangis seawal dilahirkan lagi. Tangisan adalah anugerah Allah swt kepada hamba-hambaNya.

Namun begitu ramai antara kita yang malu untuk menangis. Kenapa? Adakah dengan menangis ego kita akan jatuh? Adakah dengan menangis maruah kita akan tercalar? TIDAK!

Menangislah ketika hati menginginkannya kerana tangisan merupakan penawar bagi mengurangkan tekanan jiwa dan menangis tidak bererti kita lemah tetapi ia adalah kehendak hati yang mahu berkata-kata tanpa pengucapan suara.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

"Dan mereka menyungkur di atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk."
(surah al-Isra' 17 : 109)




Menangis sebagai penawar jiwa

Sebuah kajian telah dibuat oleh Dr. William Frey dari Pusat Kajian Mata dan Air Mata di Sant Pholl Rams Medical Centre menjelaskan bahawa menangis amat berguna bagi kesihatan jiwa dan emosi seseorang itu. Air mata berperanan dalam mengubati tekanan jiwa yang disebabkan oleh masalah kesihatan fizikal.

Dr. Frey turut mendapati bahawa air mata yang disebabkan oleh ketegangan jiwa mengandungi pelbagai hormon dan cas yang tidak stabil yang dihasilkan oleh badan ketika itu.

Pakar-pakar psiakiatri berpendapat bahawa menangis sangat berguna dalam merawat tekanan saraf yang yang kerap dialami oleh manusia zaman modan. Air mata boleh menyucikan mata dan membunag kandungan racun yang yang terkumpul akibat adanya ketegangan jiwa, ketegangan urat saraf dan ketegangan emosi.


Galakan menangis utuk umat Islam

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya menangis melulu seperti meratapi kematian dan sebagainya. Kita sememangnya digalakkan untuk menangis tetapi dalam keadaan yang tertentu seperti :

a) menangis kerana mengenangkan dosa-dosa yang lalu dalam taubat memohon keampunan dari Allah swt
b) mengalir air mata kerana takutkan azab-azab Allah swt pada hari akhirat
c) mengalir air mata ketika khusyuk dan sujud kepada Allah swt
d) mengalir air mata ketika berdoa dengan khusyuk dengan mengharapkan Allah swt sebagai tempat bergantung
e) mengalir air mata ketika bertemu sahabat atau saudara yang lama terpisah
f) mengalir air mata ketika melihat kemenangan tentera Islam melawan tentera kuffar
g) mengalir airmata ketika mendapat reda daripada kedua orang tua

Menangis dari sudut perubatan

- menyahkan zat berbahaya dari tubuh badan
- meningkatkan kadar degupan jantung
- menghalang penyakit
- membebaskan racun dari badan
- kandungan protein di dalam air mata = 25 %

*sumber rujukan : Majalan SOLUSI isu No.17

Monday, July 26, 2010

Nisfu syaaban

Esok sudah sampai tarikhnya. Ya, tarikh penting bagi sesiapa yang mengingati dan masih mengharapkan keredhaan daripadaNya. Semoga kita tergolong di dalam golongan itu. InsyaAllah.


Sebenarnya saya sendiri menghitung hari menanti hari ini tetapi ketiadaan kalendar Islam di dalam simpanan menjadikan perkara itu begitu sukar. Tarikh yang tercatat di dalam kalendar sudah tentu ramadhan pertama dan syawal pertama. Itu yang menjadi keutamaan umat Islam walhal masih banyak bulan-bulan Islam yang menuntut kita untuk beribadah melainkan bulan ramadhan semata.

Ramadhan itu bulan bagi umat Islam dan bulan syaaban adalah bulan Rasulullah saw.



Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr.

Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:

Rasulullah saw telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)


Puasa sunat di bulan syaaban


Pada bulan ini, digalakkan bagi kita untuk memperbanyak Puasa Sunat. Rasulullah s.a.w sendiri lebih gemar berpuasa sunat pada bulan Syaaban.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban, 3 hari pertengahannya dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah swt mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti beribadat tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka matinya seperti orang mati syahid.”
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

“Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban” (Al-Hadis)
1 hari berpuasa di bulan Syaaban akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan nabi Yusof di dalam syurga, dan diberi pahala seperti pahala nabi Ayub dan Nabi Daud.

Sesiapa yang berpuasa sebulan pada bulan Syaaban, dipermudahkan Allah kepadanya Sakaratulmaut, dilepaskan kegelapan dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nangkir, ditutup keaibannya di akhirat nanti dan diwajibkan syurga baginya.

Sesiapa yang berpuasa pada awal Khamis di bulan Syaaban dan akhir Khamis di dalam Syaaban, dimasukkannya dalam syurga. (Hadis Rasulullah yang dipetik dari kitab al-Barokah)


Bertaubat



Sangat digalakkan untuk mempernyak bertaubat pada bulan ini. Ini bagi memperbaiki diri dari segala cela, agar bersedia untuk bulan Ramadhan yang menyuci dan membersihkan jiwa kita.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata:

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

“Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu.”
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Syaaban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani) (Al-Hadis)
Oleh itu, diharapkan agar kita dapat bersama-sama memperbanyakkan amalan yang baik ini di bulan Syaaban. Banyak fadhilat dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah kepada kita, insyaAllah :)


Rujukan

1 – http://e-malabari.net/ugama/nisfusyaaban.htm

2 – http://www.darulkautsar.com

3 - http://almizan.wordpress.com/2009/05/23/nisfu-syaaban-dan-fatwa-tentangnya/

4 - http://secretwhisper.net/2010/07/fadhilat-bulan-syaaban/

Sunday, July 25, 2010

Nak selawat macam nenek

* seperti yang di emailkan oleh seorang sahabat. Mudah-mudahan kita beroleh manfaat dari pembacaan ini... InsayAllah



Seorang nenek harus berjalan jauh ke pasar di kota untuk menjual bunga cempaka. Itulah kerja hariannya.
Selepas berjualan, beliau singgah dahulu ke masjid di kota untuk bersolat zuhur.

Selepas berdoa dan berwirid sekadarnya, nenek itu akan terlebih dahulu membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid. Ini dilakukannya setiap hari di bawah terik matahari. Setelah semua dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke desanya.

Jemaah dan pengelola masjid kasihan melihat rutin nenek yang demikian.

Suatu hari, pengurus masjid memutuskan untuk membersihkan dedaun yang berselerakan di halaman masjid sebelum nenek itu datang. Fikirnya, usaha itu akan membantu nenek tadi agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid itu.

Rupanya, niat baik itu telah membuat nenek tersebut menangis sedih.

Dia bermohon supaya dia terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti biasa.

Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya nenek itu tidak lagi hiba.



Satu ketika apabila ditanyakan seorang kiai mengapa nenek tersebut perlu melakukan hal itu, nenek tersebut menjawab:

"Saya ini perempuan bodoh, kiai. Saya tahu amal-amal saya yang kecil ini mungkin juga tidak benar dijalankan. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat tanpa syafaat Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam.
"Setiap kali saya mengambil selembar daun, saya ucapkan satu selawat kepada Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Kelak jika saya mati, saya ingin Rasulullah menjemput saya.
"Biarlah semua dedaun ini bersaksi bahawa saya telah membacakan selawat kepadanya."


Allah SWT berfirman :

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيما

"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya bershalawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman bershalawat salamlah kepadanya. (QS Al-Ahzab 33: 56)

Rasulullah SAW bersabda :
"Tidak seorang pun yang memberi salam kepadaku kecuali Allah akan menyampaikan kepada ruhku sehingga aku bisa menjawab salam itu. (HR Abu Dawud dari Abu Hurairah. Ada di kitab Imam an-Nawawi, dan sanadnya shahih).

Mudah-mudahan kita dapat sama-sama menghayati keikhlasan sifat nenek yang mulia itu. 
Amin!

Thursday, July 15, 2010

Niat tercapai akhirnya

Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat izinNya jiwa ini menjadi sedikit tenang. Entah sudah berapa banyak airmata yang tumpah setiap kali terkenangkan masa lalu. Hidup yang penuh kepura-puraan dan lebih memandang kepada dunia walaupun jauh di sudut hati mengetahui betapa pentingnya akhirat itu.


Syukur diri ini dipertemukan dengan dia. Seorang kawan yang membantu diri agar berani melakukan perubahan. Nasihatnya, jangan hanya tahu berdoa kerana Allah tidak akan memperkenankan doa jika tiada iringan usaha. Mungkin sebab takut dengan kata-kata yang bakal diterima maka langkah menuju ke arah perubahan terbatas.

Dia mengembalikan diri ke jalan yang selama ini hanya mampu dilihat dari jauh tapi kini kaki ini melangkah di atas jalan yang sama bersamanya. Alangkah bersyukurnya kerana mempunyai seorang sahabat yang mampu memimpin kita bukan merosakkan kita.

Dulu, selalu jugak membaca buku seperti kisah-kisah para anbiya dan kisah wanita-wanita Islam serta perjuangan mereka. Tapi tabiat itu terhapus bersama detikan waktu kedewasaan. Entah mengapa ya. Ianya semakin dilupai sehingga merasa ada sesuatu yang hilang di dalam hati ini.


Hati menangis kerana tandus sesuatu yang amat bermakna. Sesuatu yang dihapuskan tanpa sedar...sesuatu yang bernilai tetapi dipandang enteng. Konon hendak menjadi moden dengan mengikut arus kebandaran. Ironinya, kemodenan yang dikejar semakin meghimpit lantas menikam cita-cita dan impian sehingga diri malu untuk bersujud di hamparan iman.

Ya Allah Ya Tuhan ku, ampuni hamba Mu ini. Ampuni diri yang sentiasa leka menikmati kurnia Mu tanpa rasa syukur. Ampuni hamba Mu ini kerana bangga dengan setiap yang dimiliki sehingga lupa ianya hanya pinjaman semata-mata.