Friday, February 10, 2012

Awasi kata-kata lidah

Lidah tidak bertulang. Ianya lebih tajam daripada mata pedang jika disalahgunakan. Bisa ketajamannya mampu membunuh puluhan atau ribuan nyawa dalam sehari. Ironinya, walau ramai mengetahui hakikat ini masih juga lalai dalam penyediaan lidah mereka (yakni pengeluaran kata-kata). Ah, bukankah manusia seringkali lupa? Lupa yang sengaja atau tidak disengajakan? Hanya hati yang ada jawapannya.

Perjuangan hidup yang kita lalui setiap hari pastinya akan mempertemukan kita dengan ramai manusia yang berbagai ragam mereka. Ada yang begitu ada yang begini. Ada yang sedap mata memandang dan ada juga yang mampu menimbulkan jelingan kita. Manusia, sekali lagi...tidak begitu sempurna.

Dalam setiap pertemuan ini pernahkah kita terfikir sama ada ketika berselisih bahu kita mungkin mencalar sekeping hati asing yang kita tak ketahui pemiliknya? Atau adakah kita pernah bertindak dengan menjaga lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata yang mungkin melukai hati orang yang kita temui dengan atau tanpa niat?

Sebenarnya dalam penyedaran bahawa manusia itu tidak sempurna kita masih menyembunyikan egois di dalam hati. Kita masih berfikir kita yang terbaik sehingga berani mempersendakan kekhilafan orang lain yang berlaku di depan mata dan tanpa malu mempersendakan ketidakmampuan orang lain?

Apakah kemiskinan dan ketidakmampuan orang lain itu alat gurauan? Apakah kamu terlalu sempurna sehingga bertindak sedemikian? Apabila ada yang menegur ketajaman lidah kamu pantas menafi dan berbuat seolah tindakan kamu itu perkara biasa.

Alangkah naifnya. Mungkin di dalam hidup kamu hanya ada kemewahan sehingga bertindak sedemikian. Atau mungkin juga dalam sepanjang hidup kamu belum pernah dimalukan sedemikian. Tapi cuba sesaat beri otak kamu berfikir, sekiranya kamu berada di tempat manusia yang dihina itu apakah perasaan kamu?

Friday, January 6, 2012

Menyedari hikmah

Alhamdulillah...lafaz yang jarang sekali terucap di bibir padahal ia membawa maksud yang mendalam. Rasa terima kasih dan syukur atas setiap kurniaNya.


Hasil kurnia tidak terhingga. Sama ada cepat atau lambat kita pastinya akan menyedari hikam setiap apa yang berlaku ke atas kita. Lalu lafazakanlah pengucapan sebagai tanda syukur dan berterima kasih kita ke atas Ya Rabb. Agar kita lebih tahu duduk mana hak kita sebagai hamaba yang hina.

Duduk bercerita mengungkai semula kisah silam bersama rakan menerusi layar skrin pemisah. Ada tawa yang bertumbuh di hujung bibir. Indahnya saat itu, ketika kenakalan remaja menguasai. Dasar anak kurang matang. Ada-ada saja yang ingin diterokai.

Di ketika itu jugalah heningan wajah menggamit memori lama. Sehingga kini lafaz pengucapan masih tersimpan kemas. Sejarah hebat yang menagih airmata. Syukur ada hikmah diraih setelahnya. Di sebaliknya erti persahabatan, kasih sayang dan kejujuran tertunas dalam diri.

Dan hati melafazkan ikhlas...alhamdulillah, atas kesedaran ini.

Tuesday, November 22, 2011

Benarkah sempurna tutupnya?

pertikaian yang tidak akan pernah tamat..tidak akan pernah habis terutama ketika dunia berada di akhirnya kerana masing-masing cuba mempertahankan apa yang difikir betul (benarkah?)

isu aurat bukan isu yang baru malah semakin ramai yang memperkata..ironinya semakin ramai pula yang tidak sedar..hm...

wanita...antara sedar atau tidak...sebenarnya sedang menjauhkan diri dari akhirat dan melebihkan dunia yang sementara...mungkin ramai yang memberi alasan..dosa masing-masing...kubur masing-masing..jadi tak perlu mengambil tahu hal orang lain...astagfirullhaalazim..mereka itu cuba hendak menyelamatkan tapi dibentak

memang dosa masing-masing...kubur masing-masing..disebabkan itulah ramai yang ingin membantu ketika ini..jika sudah berada di alam barzakh sana siapa lagi yang ingin membantu? menjeritlah sekuat hati tetap akan keseorangan...tiada siapa akan peduli..jiran sebelah kubur pun hanya memikirkan dosa masing-masing..tidak berdaya hendak membantu..

oleh itu renungkan..apakah aurat kita sempurna tutupnya? di sini dibekalkan gambar yang boleh dijadikan panduan untuk semua



alhamdulillah..sempurna tutup zahirnya...apa yang kelihatan disembunyi dengan sempurna...bagaimana dengan sesuatu yang kita lupa akan wujudnya walau diperguna setiap hari?

suara..bagi seorang wanita suara juga adalah sebahagian daripada aurat..tapi apakah suara perlu ditutup??

dalam sesetengah perkara kita sebagai wanita diperlukan untuk bersuara untuk mempertahankan hak yang kita ada...tapi...dalam sesetengah perkara suara itu perlu disembunyikan...

tidak sempurna tutup aurat jika dalam masa yang sama kita menghantar sms, email dan surat kepada lelaki bukan muhrim dengan tujuan menyuarakan rasa hati...atau menghantar/ menerima panggilan daripada yang bukan muhrim bukan untuk tujuan yang penting...lebih-lebih lagi apabila suara dilemah lembutkan dengan tujuan menarik perhatian si lelaki dengan atau tanpa niat...

sama juga kes apabila wanita menjaja suara di hadapan umum...ia sama saja dengan mendedahkan auratnya kepada mereka yang bukan muhrim

p/s ini sekadar perkongsian yang difikirkan sendiri melalui pemerhatian di sekitar. sekiranya ada yang ingin menyuarakan pandangan boleh menyuarakan di ruangan komen.

Thursday, October 13, 2011

The beauty of Mecca

Tempat bersejarah bagi umat Islam seluruhnya tidak kira pengikut Syiah, Khawarij dan Sunnah. Di sinilah tempatnya di mana Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW dilahirkan. Di sinilah juga dakwah baginda bermula dan di sinilah juga tempat yang menempatkan kiblat bagi umat Islam, Kaabah.





Keindahan yang tidak dapat digambarkan. Subhanallah...semoga akan ada satu hari kita menjejak kaki ke sana. InsyaAllah..berdoalah...

Monday, October 10, 2011

Pesanan Rasulullah untuk mu wanita


1.   Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.(Riwayat Muslim).

2.   Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3.  Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4.  Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5.   Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suami nya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7.   Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginys selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya.

8.     Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka

9.    Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya(sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10. Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11.  Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.

12.  Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13.  Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14.  Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

kredit : sujud syukur

Friday, October 7, 2011

Solatlah sebelum disolatkan


Dah solat? Soalan yang patut kita tanyakan kepada diri sendiri setiap kali azan berkumandang. Tidak kiralah azan itu dari radio, televisyen atau dari surau dan masjid yang berdekatan. Di zaman yang serba canggih ini agak malu sekiranya rakyat mundur dalam soal agama. Hendak belajar solat pun buku-buku dan video-video sudah berada dipasaran. Hanya perlu kita untuk menghulur tangan membelinya.

Tapi ironinya, walau canggih dan modennya dunia masih tidak dapat menandingi kemajuan dan kemegahan yang dikecapi kerajaan Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat. Sudahnya ramai yang mula memandang enteng hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah SWT. Aneh manusia, sungguh mengerti ketidaksempurnaan mereka tetap juga mahu mempersoalkan perkara yang di luar jangkauan mereka. Hukum hudud misalnya menjadi perdebatan di meja-meja rundingan. Jangan berbicara andai kita tidak tahu hujung pangkalnya. Jangan menghurai jika belum penuh ilmu di dada. Tapi tetap juga mahu menang walau fakta yang dipegang hanya auta semata.

Berbalik soal solat. Hari ini menyinggah ke kedai makanan segera. Ramai pengunjungnya. Penuh sesak sehingga tidak tahu hendak duduk di mana. Ada melayu, cina dan india. Pelbagai kaum. Keunikan Malaysia yang menjadi kebanggan semua. Lalu melabuh punggung di sebelah meja sekumpulan remaja lelaki Melayu.

Hati tertanya sendiri. 'Tidak bersolat jumaatkah mereka? Bukankah hari ini hari jumaat?'

Itu satu cerita. Kisah lain pula di meja yang bertentangan ada tiga orang remaja, dua lelaki dan seorang perempuan. Pelajar sekolah! Dua orang adalah pasangan kekasih dan yang seorang itu mungkin sahabat mereka. Aksi manja-manja yang dipamer menjelikkan mata. Masih di bangku sekolah tapi sudah berani bersikap demikian di hadapan umum. Jika ditanya soal agama pastinya mereka menjawab mereka ISLAM tapi mengapa begitu terang berbuat salah tanpa mengira dosa dan pahala. Bagaimana jika ditanya, sudah solatkah? Entah apa jawapan mereka.

Usia mereka mungkin masih mentah. Masih muda. Tapi ajal tidak mengenal usia. Semuda mana pun jika Allah SWT sudah menetapkan ajal tiada siapa dapat menghalangnya. Walau setua mana pun jika Allah SWT mengizinkan untuk terus hidup masih juga tiada siapa dapat melawan.

Lalu apa yang akan dijawab kepada munkar dan nakir jika soalan solat diajukan? Bolehkah kita menjawab, 'saya masih muda sewaktu dilahirkan jadi masa untuk solat itu tiada.' Maaf, kita bukan bayi baru lahir yang Allah SWT tarik nyawanya yang boleh menjawab '...tiada masa.'

Kita boleh memberikan pelbagai alasan kepada manusia lain sekiranya ingin melepaskan diri tetapi tidak di hadapan Allah SWT kerana Dia mempunyai saksi yang kuat dan sentiasa bercakap benar. Mata, hidung, telinga, tangan, kaki dan setiap anggota kita menjadi saksi amal kebaikan dan dosa keburukan. 

Lantas mampukah kita melepaskan diri lagi? Tidak! Jangan seksa diri dengan perkara yang bakal kita tinggalkan satu hari nanti tetapi berusahalah mengumpul bekal yang perlu kita bawa di akhirat sana. Jangan menunggu tibanya waktu petang jika berada di waktu pagi dan jangan pula menunggu gelapnya malam andai sudah ada terang kesiangan.

Waktu mengalir tanpa menunggu kita. Jadi solatlah sebelum disolatkan!