Monday, September 12, 2011

Manusia semakin alpa

Indahnya suasana bila mana syiar Islam semakin diterima oleh manusia bukan Islam. Ramai yang menerima tangan terbuka tentang kebenaran bahawa hadirnya Islam bukan untuk memusnah tetapi membina dan membaiki kesilapan serta membimbing manusia menuju ke jalan yang diredhai oleh-Nya. Alhamdulillah, lafaz syukur kepada Allah, Tuhan yang menjadikan bumi dan segala isi di dalamnya.

Jika dulu, bila berkata tentang Islam ramai yang beranggapan bahawa Islam itu adalah agama penjenayah yang ingin memusnahkan kehidupan manusia. Muslim digelar 'terrorist' atau 'pengganas' dan wujudlah 'Islamofobia'. Itu pemikiran yang disalur melalui rangkaian media massa sehingga di sesetengah tempat orang Islam tidak dapat bergerak dengan bebas kerana kecaman dan tindakan ganas yang akhirnya membuktikan siapa pengganas sebenar apabila hati mulai berbicara.


Walaupun begitu ketika kita leka menuding jari ke arah orang bukan Islam tentang fitnah yang dilempar terhadap Islam kita sebenarnya terlupa dan tertinggal sesuatu. Bukan salah mereka jika beranggapan Islam itu agama sebegini dan sebegitu kerana di bandar-bandar moden ketika ini lahir manusia-manusia yang mengaku sebagai Islam tetapi perilaku dan cara hidup yang ditonjolkan bukan seperti Islam.

Di mana salahnya? Pada ibu ayah yang mendidik atau pada zaman moden yang sering dibangga-bangga? Contoh paling jelas sudah berlaku di depan mata. Anak-anak lelaki tidak lagi diajar untuk melangkah ke masjid menunaikan solat jumaat dan anak-anak perempuan dilepas bebas mempamer aurat. Itu belum mengungkai perihal tatacara hidup yang diamalkan sehari-hari. Keluar masuk pusat hiburan bagai perkara biasa dan apabila melakukan kesalahan yang jelas salah di sisi hukum agama hanya maaf kepada masyarakat dipersembah bagi mengusir kesalahan mereka dan hak Allah SWT terus diketepikan.



Cerminan tentang Islam itu sebenarnya lahir daripada sikap, sifat dan cara hidup penganutnya. Bila kita lahir sebagai Islam dalam keluarga Islam manfaatnya lebih besar kerana sejak kecil kita boleh dididik dengan nilai-nilai Islam. Tapi apa yang berlaku pada hari ini Muslim hanya hadir dalam nama. hukum Allah SWT diubah suai untuk kepentingan diri sendiri  lalu wujudlah fatwa-fatwa yang lebih kepada memuaskan diri sendiri. Jadi bagaimana orang bukan Islam hendak melihat rupa Islam sebenar?

Tepuk dada tanya selera.

Wednesday, August 24, 2011

Sekadar Ingatan


Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan orang lain

Hari ini kita bergelak ketawa menghimpunkan segala macam kegembiraan dalam hidup namun siapa sangka esok kita akan menangis seolah seisi alam musnah 

Hari ini kita mulai lupa tujuan utama hidup kerana lalai dalam persembahan dunia namun janji Allah SWT masih utuh untuk kita hamba-hamba Nya

Jadi jangan pernah lupa

Amanah masih terpikul kerana masih ada desah nafas untuk kita atas redhaNya

Al-Fatihah untuk mereka yang telah tiada dan bagi yang masih hidup, perjalanan ini masih jauh jadi kembalilah ke landasan yang sebenar sebelum tersasar jauh.

Thursday, July 28, 2011

Hidupkan Ramadhan

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu dalam lambaian dunia tanpa sempadan. Syukur ke hadratNya kerana kita masih diizinkan untuk bernafas dan hidup sehari lagi di bumiNya.

Tidak lama lagi tabir ramadhan akan bermula dan semua pintu-pintu syurga dibuka bagi umat Islam dan pintu-pintu neraka ditutup, syaitan laknatullah dijerat agar tidak mengganggu kita sepanjang ramdhan ini. Tapi, harus berhati-hati dengan nafsu. Nafsu sukar dileraikan dari dalam diri kerana ia adalah sebahagian dari hati kita. Tahanlah nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Sudahkah kita merancang aktiviti sepanjang ramadhan ini bagi menambahkan impal pahala dan mengurangkan dosa-dosa? Di sini disertakan link bagi memuat turun risalah ramadhan secara percuma. Semoga ada manfaat bagi kita umat Islam.

Maaf dihulur kepada pemilik risalah kerana tidak menyertakan url bagi blog tersebut. Semoga dihalalkan penyebaran risalah ini kepada semua.

Muat turun risalah ramadhan di SINI.

Monday, July 25, 2011

Rinduku Ramadhan

Alhamdulillah, syukur kerana usia masih ada dan kembali pada dakapan ramadhan al mubarak. Sungguh tiada bulan lain semulia ramadhan al mubarak. Seribu satu macam lembah keberkatan disingkapkan untuk seluruh umat Islam seluruh dunia.

Keutamaan Ramadhan


Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan:

"Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepada para sahabat dengan bersabda 'Telah datang kepadamu bulan ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka; pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikan maka dia tidak memperoleh apa-apa.' "
(HR Ahmad dan An-Nasai')




Indahnya ramadhan itu. Bulan yang diberkahi, bulan yang dirahmati maka janganlah kita melaluinya dengan sia-sia. 


SALAM RAMADHAN AL MUBARAK UNTUK SEMUA....

Beribu sesalan

Waktu semalam telah berlalu pergi bersama perginya titisan hujan lalu hari ini ketika sinar mentari mula menerangi dan pelangi muncul memberikan senyuman. Tapi entah kenapa ketika hati masih meraba cuba mencari cahaya yang didamba langit kembali mendung.

Adakah ikhlas di jiwa masih belum cukup sempurna sebagai persembahan kepada yang tercinta lalu kemanisan kasihNya tidak dapat dirasakan lagi? Mengapa begitu mudah hati terpaling dari jalan yang telah ditentukan olehNya? Kenapa ada saja yang menghalang derap langkah ini? Lantas larian bertukar menjadi langkah derap perlahan.

Ya Rabb, ampuni kekhilafan hamba Mu ini. Dalam dambaan cinta dan kasih dari Mu, ada kasih dan sayang lain yang menjengah memalingkan wajah dari terus berada dalam pelukan kasih sayang Mu, Ya Allah...


Manusia, hamba yang dicipta sempurna akal dan anugerah perasaan agar sujud taubat padaNya. Tapi sedarkah manusia pada tugas dan tanggungjawab yang terpikul di pundaknya? Kita sedar, kita tahu namun masih lalai, masih mahu menjadi hipokrit demi bahagia sendiri.

Apakah akal tidak menyedari bahawa Dia tidak pernah tidur, tidak lalai dan Maha Mengetahui yang tersurat dan tersirat, luar dan dalam, zahir dan batin setiap makhluknya. Cinta yang terzahir untuk insan lain sering melalaikan dan menjauhkan kita dari jalan kebenaran. Jalan yang diredhaiNya.

Pernah tangan ditadah dalam gelap malam, airmata menitis ikhlas meminta, esak suara merintih, dan janji terluah pada hamparan sejadah. Namun semua seakan dilupa dalam senyum tawa manusia dan pohonlah keampunan ketika pintu taubat masih terbuka.

Jika cinta adalah kerinduan,maka jadikanlah rindu ini dalam zikir pada-Mu. 
Jika cinta adalah perjuangan,maka kobarkanlah semangat di dada kami. 
Jika cinta adalah pengorbanan,maka jadikan pengorbanan ini tidak sia-sia di sisi-Mu. 
Jika cinta adalah air mata, maka jadikan ia air mata taubat pada-Mu, ya Allah....

Wednesday, July 20, 2011

Permintaan ditolak keras

Terkedu membaca tajuk muka depan akhabar tempatan semalam. Istighfar meniti dibibir dan tanpa sedar satu kata cela terzahir di bibir apabila membaca tajuk tersebut.


"Pondan kekal nama Ashraf" mendengar saja sudah bisa membuat bulu roma meremang. Minda pantas cuba merungkai dan memahami apa mahunya seorang manusia bernama ashraf ini?

Lahirnya sebagai seorang lelaki. Zahir dan batin juga seorang lelaki tetapi mengapa mahu mengubah sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan untuk kita sebagai manusia? Apakah ketika dia memikirkan keinginan yang memenuhi nafsu lalu hak Allah SWT diketepikan?

Dia muslim. Tahu hukum hakam tetapi masih mempertikaikan lahirnya sebagai insan bergelar lelaki. Adakah amanah seorang lelaki tidak terpikul di bahunya? Atau sudah bosan menjadi lelaki dan mengambil keputusan untuk mengubah setiap yang telah diciptakan?

Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz dan jantina kepada perempuan pada MyKadnya. Namun, permohonan tersebut ditolak oleh pihak mahkamah kerana beliau tiada hak untuk menukar status jantina lelaki kepada perempuan pada sijil kelahiran mahupun MyKad miliknya.

Ashraf menyatakan kepada pihak wartawan dalam satu pertemuan bahawa dia tidak akan patah semangat untuk memperjuangkan hasrat tersebut. Hasratnya itu bagaimanapun mendapat kritikan dan cemuhan daripada masyarakat sekeliling.

Benar dia salah dan berdosa kerana mengubah sesuatu yang Allah SWT telah ciptakan. Namun, jangan lemparkan kritikan dan cemuhan yang hanya akan membawa kepada kemudaratan kepada dia. Kita tidak dapat melihat masalah yang dihadapi oleh beliau kerana kita tidak berada di tempatnya. Mereka yang dekat dengannya cubalah beri bimbingan dan nasihat. Kesedaran perlu diberikan bukan cemuhan dan kata-kata kritik yang bisa menjatuhkan.

Tuesday, July 19, 2011

Padamkan sekularisme

Sekularisme

Ramai yang tahu berkata tentang sekularisme namun gagal untuk memahami maksud di sebaliknya. Ada yang beranggapan sekularisme itu perlu dan ada juga yang menolak kehadiran sekularisme dalam nadi kehidupan
Sekularisme adalah fahaman yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan social manusia. Ini bermakna sekularisme memisahkan perihal keagamaan dan kehidupan seharian kita. Jika sebagai Islam, adakah kita patut menyetujui perkara ini?

Sekular dalam bahasa arab disebut al-‘ilmaniyyah, diambil daripada perkataan ilmu yang bermaksud mengangkat mertabat ilmu. Namun begitu, menurut tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi, makna tersirat secular ialah al-ladiniyyah (tanpa agama) atau al-la’ aqidah (tanpa akidah).

Sejarah sekularisme

Ianya tercetus ketika pihak gereja Eropah mengongkong masyarakat dan bertindak menyekat perkembangan sains dan ilmu pengetahuan kerana khuatir masyarakat akan memberontak dan menjatuhkan kekuasaan gereja apabila mereka menguasai ilmu pengetahuan.
Selain mengongkong, pihak gereja juga menguasai segala tindak-tanduk pengikutnya dengan meletakkan keputusan penting di tangan pihak gereja dan mengaut keuntungan daripada penganut agama mereka dengan cara yang salah.

Masyarakat Eropah berasa tertekan dan tertindas dengan apa yang dilakukan oleh para pendeta. Bagi mengatasi kezaliman tersebut maka terjadilah pemisahan antara agama (kristian) dan kehidupan kerana doktrin gereja tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan sains sebagai sebahagian cara hidup mereka.
Para pejuang secular akhirnya menyebarkan fahaman secular ini agar masyarakat keluar daripada kepompong gereja yang begitu mengikat serta menindas. Mereka merasakan jika mereka terus-menerus berada di bawah kekuasaan gereja maka kemajuan dalam kehidupan tidak dapat dicapai.

Setelah itu tercetuslah ideology sekularisme, iaitu sebuah fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan, ketuhanan atau gereja tidak harus dicampur dengan urusan Negara, politik dan pentadbiran.

Impak sekularisme pada hari ini

Dalam undang-undang, hukum Islam kini hanya digunapakai untuk skop yang kecil seperti hal nikah kahwin dan tuntutan cerai. Tiada hukum jinayat atau hudud yang mana sepatutnya menjadi teras dalam undang-undang sebuah Negara Islam.

Dalam sistem pendidikan, percampuran di antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) di peringkat institusi pengajian.

Dalam media massa, media menjadi agen penyebaran virus kerosakan akhlak dan moral. Masyarakat menerima bulat-bulat apa yang disampaikan media dan tercetuslah pelbagai gejala social yang diinspirasikan oleh apa yang ditonton dan didengar. Maka tidak hairanlah anak-anak zaman ini sangat cepat belajar mengenal hal-hal yang berhubungan dengan percintaan, hubungan lelaki dan perempuan bahkan sudah hilang perasaan malu dan lain-lain sifat mulia.

Kembalilah umat Islam kepada Islam

Allah SWT berfirman:
“wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi mu.”
(surah al-Baqarah 2:208)

Islam merupakan sebuah agama yang sempurna dan telah mengatur semua hal berkenaan kehidupan. Dalamnya terkandung akidah dan syariah.