Tuesday, March 15, 2011

Kiamat Sudah Dekat


Pagi ini, usai mengemaskan rumah seadanya laptop dicapai ingin melihat dunia melalui kacamata skrinnya. Dan ternyata ada sesuatu yang perlu dikongsikan bersama di sini. Semoga apa yang dikongsi berjaya membuka mata kita agar sedar bahawasanya kita hanyalah hambaNya yang lemah. Tiada suatu apa pun yang mampu mengubah kehendakNya dan janji Allah SWT sentiasa benar.


Bila matahari tidak lagi terbit dari timur itulah tandanya kiamat semakin hampir dan ianya merupakan tanda besar hari kiamat. Hari ini sudah banyak tanda-tanda kecil kiamat. Diantara kiamat kecil ialah:

1. Zina bermaharajalela
2. Pemimpin yang terdiri dari orang yang jahil dan fasik.
3. Bermaharajalela alat muzik.
4. Menghias masjid dan membanggakannya.
5. Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang
6. Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
7. Banyaknya sifat bohong dan ia menjadi perkata biasa.
8. Manusia mewarnai rambut di kepalanya dengan warna hitam supaya kelihatan muda.
9. Jarak-jarak antara pasar menjadi dekat (menunjukkan banyaknya kegiatan perdagangan)
10. Kekayaan umum dikuasai segelintir orang tanpa kebenaran dan tanpa rasa takut, termasuk rasuah dan mengambil harta secara tersembunyi.
11. Akan terdapat banya pengkritik, pembawa-cerita, penikam-belakang dan pengejek dalam masyarakat.
12. Orang akan melakukan homoseksual.
13. Akan terdapat ramai anak luar nikah.
14. Pemimpin suatu kaum adalah keji dan pemimpin suatu suku adalah fasik
15. Anggota polis semakin ramai yang menunjukkan semakin banyak kerosakan
16. Banyaknya berlaku gempa bumi.



sekadar hiasan

 Dan apabila melihat pada tanda-tanda kecil berlaku kiamat, maka jelas, diantara 1-16 itu jelas menunjukkan bahawa kiamat semakin hampir. Namun yang paling mengejutkan, tanda-tanda besar kiamat juga sudah ada. Yang paling ketara ialah matahari semakin menaik ke arah barat dan semakin meninggalkan timur.

Jepun,11 Mac 2011 negara matahari terbit telah dilanda tragedi tsunami Jepun dan kali ini ia merupakan paling dahsyat dalam sejarah negara mereka untuk tempoh 140 tahun. Kekuatan kali ini bukan calang-calang iaitu 8.9 skala Richter. Kejadian berlaku di timur laut Tokyo. Dan fenomena itu turut mengubah menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter.

Ini menunjukkan negara matahari terbit itu sedang mengubah kedudukannya. Maka fenomena ’Retrograde Motion’ yang pernah diperkatakan sejak 1400 tahun dahulu semakin hampir.

Dan ALLAH swt pernah berjanji bahawa hari kiamat akan tiba dan sesungguhnya ALLAH swt tidak pernah memungkiri janjiNYA.

Semoga kisah Tsunami di Jepun tidak lagi menjadi bahan kelakar. Jadikanlah kisah Tsunami di Jepun sebagai pengajaran buat kita. ALLAH swt baru menyampaikan IKLAN KECIL KIAMAT. Dan sesungguhnya, hari kiamat semakin tiba. Semoga kita tidak merasai hari kiamat dan kita dimatikan sebagai orang yang taat, dan tidak diaibkan pada Hari Kiamat.

credit : jeming hasan (http://www.facebook.com/notes/jeming-hasan/tsunami-di-jepun-bukti-kiamat-semakin-hampir/10150120762093350)

Friday, March 4, 2011

Tegurlah dengan berhemah

Dalam kita melalui hari-hari di dalam kehidupan, berbagai ragam manusia yang ditemui. Ada kalanya sikap manusia itu sukar untuk dimengerti sehingga timbulnya perasaan tidak senang dan benci. Ada masa juga kita menjadi seorang yang penyabar dan mampu bersikap optimis terhadap manusia lainnya.

Teringat kata-kata Dato' Dr Fadzilah Kamsah dalam rencana penulisannya di Majalah SOLUSI. Beliau menyentuh perihal marah dan pemarah. Tidak ada satu manusia pun di dunia ini yang tidak mempunyai perasaan marah. Kita bukan pemarah kita cuma manusia yang tidak mampu menahan perasan marah.

Sedang Rasulullah SAW sendiri mempunyai perasaan marah namun baginda adalah contoh manusia yang mampu mengawal perasaan marah. Itulah kelebihan Nabi tercinta kita. Sifat sabar yang dimiliki harus menjadi contoh kepada kita umatnya.



Baru-baru ini terdapat beberapa perkara yang melanda sehingga mencatuskan kemarahan dan perasaan sakit hati. Sebagai manusia biasa yang penuh dengan cacat celanya perasaan itu disalurkan melalui penulisan di dalam blog dan blog ini memang tujuan sebagai pengganti diari. Tidak terniat sedikit pun untuk mengaibkan sesiapa waima diri sendiri. Apakah salah untuk menceritakan sesuatu yang berlaku sedang nama orang itu tidak disebut? Mungkin ada yang mengatakan tidak salah dan mungkin ada juga berfikir sebaliknya. Manusia, tidak pernah mengetahui kebenaran melainkan Allah SWT menyingkapnya untuk kita.

Terpost saja entry penuh kemarahan itu wujud dua entry dari blogger yang difollow blog penulisannya. Satu menegur tentang manusia yang suka mengaibkan diri sendri dan satu lagi tentang sikap sabar (agaknya..sudah lupa tajuk entry tersebut..)


Mungkin keduanya menujukan entry pada orang yang sama dan mungkin juga tidak. Entah apa tujuan Allah SWT saja yang tahu. Tapi walaubagaimanapun seharusnya ucapan terima kasih diberikan kerana berjaya membuat seorang hamba Allah sedar bahawa tidak ada yang lebih sempurna melainkan Allah SWT.

Kita menegur tentang kesilapan organg lain. Namun ketika Allah SWT menguji kita dengan perkara yang sama kita tidak mampu melakukan seperti mana yang kita nasihatkan. Berkata itu lebih mudah daripada melakukannya. Kita mampu menasihatkan puluhan atau ratusan orang tapi belum tentu kita mampu nasihatkan diri sendiri sekiranya perkara yang sama berlaku ke atas kita. Betul tidak?

Dan untuk sesiapa di luar sana, tegurlah seseorang itu denag berhemah, Tidak kira melalui penulisan atau luahan suara. Kita hanya manusia biasa. Tidak lari dari melakukan kesilapan. 

Wednesday, February 23, 2011

Malu itu sebahagian Iman

Malu merupakan sifat semulajadi manusia dan ekspresi di sebalik malu itu adalah berbeza bagi setiap orang. Ada yang menutupnya dengan berdiam diri atau ada yang lebih suka bercakap tidak berhenti hanya semata-mata untuk menutup malu.

Ada yang malu kerana suatu kejadian, ada yang malu bila berlakunya peristiwa dan ada juga yang malu kerana manusia lainnya. Walauapapun tutuplah malu itu dengan iman kerana malu juga sebahagian daripada iman.


Imam al-Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin membicarakan soal malu dalam bab 'Malu, kelebihannya dan anjuran untuk berakhlak dengannya' (bab no.80). Bab ini menyebut tentang empat hadis yang utama berkaitan sifat malu dan kelebihannya. Malah Imam al-Nawawi membuat kesimpulan bahawa, 

"Berkata para ulama, 'Hakikat malu itu ialan suatu akhlak yang membawa kepada sikap meninggalkan yang buruk dan menghalang diri daripada mengabaikan hak kepada yang sepatutnya.'"

Hadis pertama :

Daripada Ibn Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW sedang menasihati suadaranya kerana pemalu, kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Biarkanlah ia begitu, sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis kedua :

Daripada 'Imran bin Hushain RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Malu itu mendatangkan kebaikan semata-mata." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Hadis ketiga :

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Iman itu mempunyai enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih cabang. Yang utama ialah ucapan "La ilaha illallah" dan yang paling rendah adalah membuang sesuatu gangguan dar jalan. Dan malu adalah sebahagian daripada iman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Hadis keempat :

Daripada Abu Said al-Khudri, beliau berkata, "Rasulullah SAW adalah orang yang sangat pemalu melebihi pemalunya gadis pingitan. Apabila baginda melihat sesuatu yang tidka disukainya maka kami dapat mengetahui melalui wajahnya."



Lihatlah bagaimana perasaan malu yang Allah SWT tiupkan ke dalam hati begitu penting. Namun begitu pada zaman ini malu terkadang dianggap orang yang tidak maju atau tidak moden.

Jika begitu, mengapa ramai yang malu bila keluar dengan menutup aurat, malu bila membuat kebaikan, malu bila belajar ilmu agama dan malu bila tidak berpangkat dan berharta sedangkan rasa malu yang sepatut ada dalam diri dalam malu bila tidak mengikut sunah Rasulullah SAW, malu bila membuat dosa, malu bila terdedahnya aurat dan malu bila membuat kemungkaran.

Memang kita patut punyai rasa malu terhadap manusia lainnya. Tapi malu paling utama adalah malu kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat segala perbuatan kita. 


Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul

12 Rabiulawal 
Isnin hari tahun Gajah
Lahirlah seorang insan yang diutus oleh Allah

Nabi Muhammad namanya
Siti Aminah ibunya
Abdullah nama bapanya
Kota Mekah tempat lahirnya

Terbayang di ruang mata sekumpulan anak-anak sedang mendendangkan nasyid pada hari Maulidur Rasul semasa zaman persekolahan dulu. Suasana sangat meriah dengan suara-suara mengingati rasul junjungan kita, Muhammad SAW.

Baginda adalah seorang lelaki mulia yang Allah SWT angkat menjadi rasul bagi seluruh umat manusia di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit. Ajaran yang disampaikan yakni Islam tersebar ke mana-mana dan namanya begitu mulia meniti dari bibir ke bibir.

                                       

Muhammad, ya Rasulullah, hati mu yang ikhlas tidak pernah membanding beza antara umat. Kasih sayang yang kau kurnia bakal menjadi penyelamat di Mahsyar kelak. Namun pernahkah kita tertanya, adakah kita layak untuk menerima syafaat dari Nabi Allah yang mulia?

Seluruh dunia menyebut namanya, seluruh dunia mengaguminya, seluruh dunia mengakui kelembutan hatinya, namun tidak semua mengamal sunahnya. 


                                        

Ikhlas hatinya menawan semua yang mengenali waima yang mengenali melalui sejarah hidup baginda. Ya Rasulullah, tenang jiwa mu membakar semangat perwira agama. Setiap titis perjuangan mu hanya untuk agama Allah SWT.


                                        

Untuk para sahabat di luar sana, marilah sama-sama kita berselawat ke atas nabi junjungan kita. Semoga kita berolah syafaat baginda di akhirat kelak. InsyaAllah.

Tuesday, February 8, 2011

Penggunaan kata 'salam'

* Post ini adalah merujuk kepada nota yang ditulis oleh seseorang di facebook berkenaan penggunaan kata 'salam' (facebook)


Hari ini hati tersentap apabila mendapat teguran dari seorang rakan di facebook. Tapi perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada rakan kita (blackphage) kerana sudi menegur dan memberi pengetahuan tentang penggunaan kata salam. Rasa diri sangat rendah kerana kurangnya pengetahuan agama.

Selepas menerima teguran terus saja mencari kitab tafsir al-Quran dan cari tahu maksud ayat yang disebutkan oleh kawan kita. Ada empat ayat dari empat surah.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Doa mereka di dalamnya ialah : 'Subhanakallahumma', dan salam penghormatan mereka ialah : 'salam'. "  (surah Yunus,  10:10)

Doa yang dimaksudkan di dalam surah ini ialah puja dan puji mereka kepada Allah, 'Subhanakallahumma' adalah doa yang bermaksud Maha suci Engkau, wahai Tuhan kami dan 'salam' bermaksud sejahtera dari segala bencana.

"Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialan 'salam' ; dan Dia menyediakan pahalan yang mulia bagi mereka."   (surah Al-Ahzab, 33:44)

"Akan tetapi mereka mendengar ucapan salam."  (surah Al-Waaqiah, 56:26)

"(kepada mereka dikatakan) ; 'Salam', sebagai ucapan selamat dari Tuhan yang maha penyayang."  (surah Yaasiin, 36:58)

Alhamdulillah, syukur kerana mempunyai sahabat yang sudi menegur pada perkara seumpama itu. Mudah-mudahan kita dijauhi dari fitnah Dajjal.

Friday, January 28, 2011

Celiknya hati

Sekali lagi bercerita tentang hati bukan tentang perasaan. Hati yang celik mampu melihat walau pandangan mata tidak mampu memandang. Celiknya hati bisa membuat kita sedar bahawa Allah SWT sentiasa hadir bersama kebaikan, bersama kemanisan, bersama kebahagiaan untuk hamba-hambaNya.

Hati yang bersih adalah hati yang celik. Hati yang akan membimbing kita menuju ke jalan yang diredhaiNya. Hati yang akan sentiasa mengingatkan kita agar berpegang teguh pada hukum Allah SWT. 

Hati yang bersih bersifat adil, tegas, takut dan malu. Adil dalam pengadilan, tegas dalam memberi keputusan, takut dan malu pada Tuhannya. Begitulah yang sepatutnya yang ada dalam diri setiap mukmin untuk menjadi pemerintah di bumi Allah SWT.


Adilnya hati akan membimbing kita untuk membuat pilihan terutama dalam kehidupan seharian. Mencelikkan hati bukan suatu perkara yang mudah. Tidak semudah memikirkannya namun tidak juga sesukar yang disangkakan.

Memandu hati ke jalan menuju kebenaran sangat sukar di zaman ini jika dibandingkan dengan zaman Rasulullah SAW dan para sahabat kerana zaman ini penuh pancarobanya, penuh dengan tipu muslihat manusia dan penuh dengan prasangka.

Ramai yang mengaku Islam tapi bangga dengan cara hidup orang bukan Islam. Ramai yang menjadi baik jika inginkan 'kebaikan'. Islam bukan lagi agama yang harus dipertahankan tetapi dipolitikkan. Pelik tapi itulah yang berlaku di zaman ini.


Jika ada yang mengamalkan Islam, orang itu segera ditentang. Dikecam dan dikata yang bukan-bukan. Entah siapa pelakunya. Main batu sembunyi tangan dan pada masa yang sama menjadi musang di tengah-tengah ayam yang kebingungan.

Hati yang buta tidak mampu melihat. Hati yang buta tidak mampu menilai dan hati yang buta juga tidak mampu mengadili kepincangan yang berlaku waima di depan mata sendiri.

Ya Allah, kurniakan kepada ku hati seperti ini....

hati yang sedar
Firman Allah, maksudnya : "Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar), atau yang menggunakan pendengarannya bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya."  (surah Qaf 50:37)

hati yang bersih
Firman Allah, maksudnya : "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)." (surah al-Syams 91:9)

hati yang lurus
Firman Allah, maksudnya (Mereka yang berdoa dengan berkata) : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya." 
(surah Ali 'Imran 3:8)

...dan Kau peliharalah daripada ku hati ini...

hati yang terhijab (tertutup)
Firman Allah, maksudnya : "Dan antara mereka ada yang memperdengarkan kepadamu (al-Quran), padahal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak)." 
(surah al-An'am 6:25)

Saturday, January 8, 2011

Sebuah cerita untuk dikongsi

Assalamualaikum wadah pembuka untuk penulisan kali ini. Semoga kita masih di bawah lindungan Allah SWT hendaknya, insyaAllah.

Malam yang indah, penghias langit tentunya bintang, bulan dan awan. InsyaAllah semua ini akan menjadi saksi bagi manusia ketika berada di hari pengadilan kelak dan semoga kesaksian itu membantu bukan memburukkan. Ya, segalanya bergantung kepada kita juga. Jika pada malam ini kita berbuat kebaikan maka kemanisan itu kita rasai dan jika sebaliknya maka kepahitan ditelan.

Seusai solat maghrib tadi tiba-tiba ingatan terlempar jauh mengenang dan mengingati sebuah cerita yang pernah dibaca yang entah di mana ya. Sesungguhnya kita hanyalah manusia yang tidak sempurna. Allahuakbar, Allah yang Maha Kuasa, Maha Sempurna.

Cerita yang benar-benar berkesan sebenarnya jika diteladani dan diambil iktibar. Cerita di sebuah desa. Tajuk cerita juga semakin dilupai namun alhamdulillah intinya masih segar.

Ia menceritakan tentang seorang kanak-kanak dan datuknya. Kita namakan saja kanak-kanak itu sebagai Abu dan datuknya, Pak Ali.

Abu adalah seorang anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu bapanya. Maka tinggallah dia dengan datuknya di pinggiran desa. Oleh kerana Pak Ali sudah tua dan tidak mempunyai harta yang banyak, Abu tidak dihantar bersekolah. Namun begitu Pak Ali mahu Abu tahu dan kenal al-Quran. Kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Bagi Pak Ali, tidak mengapa jika Abu tidak pandai menulis, tidak pandai membaca huruf-huruf rumi asalkan Abu tahu membaca dan mengenal al-Quran. Bukankah al-Quran sudah lengkap dengan ilmunya?

Pak Ali mengajar Abu membaca al-Quran setiap hari. Dia mahu cucunya hafiz al-Quran. Tapi terdetik sesuatu di hati Abu. Sekiranya dia hanya tahu membaca al-Quran dan menghafaz tetapi tidak memahami maksudnya, bukankah ia perkara yang sia-sia? Berhari-hari dipendamkan persoalan ini sehingga satu hari dia tidak dapat memendamkan hal tersebut lantas meluahkannya.

Pak Ali hanya tersenyum memandang cucunya. Tiada jawapan diberi sedang Abu mendambakan.

"Baiklah, atuk akan jawab soalan itu kalau kamu berjaya membawa pulang air dari sungai dengan menggunakan bekas itu," tutur Pak Ali sambil menunjuk ke arah sebuah bekas yang tersadai di tepi dinding.

Oleh kerana terlalu gembira dan mengandaikan bahawa tugas yang diberi datuknya itu mudah Abu memberikan persetujuan tanpa berfikir panjang.

Dia menuju ke arah sungai dan memenuhkan bekas tadi. Di pertengahan jalan, Abu mendapati bekas yang diberi datuknya itu bocor. Tapi itu tidak mematikan semangat Abu. Dia kembali ke sungai dan mengisinya semula. Bekas itu kembali kosong di pertengahan jalan. Berulangkali Abu mengulangi perbuatannya sehingga akhirnya dia berputus asa.

"Ah, sia-sia saja datuk. Bekas ini bocor. Tak mungkin Abu dapat mengisi air di dalamnya!" kata Abu. Wajahnya sugul memandang ke arah Pak Ali yang tersenyum.

"Cuba kamu perhatikan di dalam bekas itu. Bukankah sebelum kamu pergi tadi bekas itu kotor dan selepas kamu pulang di dalamnya sudah bersih?" Abu mengiakan.

"Jadi apa yang kamu lakukan tadi tidak sia-sia. Kamu telah membersihkan bekas itu."

"Tapi soalan Abu belum ada jawapannya," kata Abu dengan hampa.

"Abu, walaupun kamu belum mengerti maksud setiap bacaan al-Quran namun kamu sudah boleh menghafaznya. Ia buka perkara yang sia-sia. Setiap kali kamu membacanya maka setiap itu jugalah hati kamu dibersihkan dengannya. InsyaAllah satu hari nanti kamu boleh memahami setiap isi kandungan al-Quran. Tapi mulalah dengan mengenalnya dulu."

Abu faham dan Abu mengerti.

Jadi apakah iktibar yang boleh diperolehi daripada cerita ini? Sama-sama kita fikirkan. Mungkin kamu telah memperolehinya jadi tidak salah untuk dikongsikan bersama.