Tuesday, June 15, 2010

Rejab bulan Allah swt

Hari ini bermulanya tarikh pertama di bulan Rejab. Seperti bulan-bulan Islam yang lain bulan rejab mengandungi seribu satu macam rahsia keberkatan yang Allah s.w.t selitkan untuk hamba-hambaNya.

Bulan Rejab merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya dan Ruangan Bimbingan Rohani kali ini menyorot fadhilat bulan Rejab dan beberapa hadis Rasulullah S.A.W. berkenaan dengannya. Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa.

Maksud hadis Rasulullah S.A.W. tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:
Puasa 1 hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredhaan Allah serta syurga tertinggi.
Puasa 2 hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.
Puasa 3 hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka,
Puasa 4 hari - diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.
Puasa 5 hari - aman dari azab kubur.
Puasa 6 hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
Puasa 7 hari - Allah mengunci 7 pintu neraka jahannam baginya.
Puasa 8 hari - Allah membuka 8 pintu syurga baginya.
Puasa 9 hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru "Laailahaillallah" dan tidak ditolak dia dari memasuki syurga.
Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratul Mustaqim setiap satu batu dan dijadikan 2 sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratul Mustaqim.
Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
Puasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
Puasa 16 hari - dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
Puasa 19 hari - Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.
Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.

Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratul Mustaqim.

Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.

Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih dari susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.

Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.

Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka.

Orang yang lemah dari berpuasa di bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.

Kelebihan lain bulan Rejab:

Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.

Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.

Rejab bulan Allah, Sya'aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.

Rejab adalah bulan menabur benih, Sya'aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya'aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya'aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

Rejab adalah bulan taubat, Sya'aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya'aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.

Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:

- Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
- Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir
- Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat
- Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
- Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan sirah Islam lain.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

- Israk dan Mikraj (27 Rejab)
- Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)
- Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di"israk"kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di"mikraj"kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja.

Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
                                                                                                                                      (Surah Al Israa': 1)

Monday, May 31, 2010

La Tahzan (Jangan Bersedih)

Pengalaman menjadikan kita lebih dewasa. Menjadi manusia kuat untuk menempuh apa jua cabaran di dalam hidup ini. Namun, sekuat mana pun kita setabah mana pun hati pasti akan tiba suatu masa kita tidak mampu untuk bangkit semula dari kekalahan dari kesedihan dan dari rasa putus asa.
Satu saat kita melalui hari-hari yang mendatang dengan secebis senyuman walau kadang kala senyuman itu hanya topeng yang kita jadikan untuk menutup setiap perasaan yang bersarang di dalam hati kecil ini. Mungkin pada masa itu kerana kita mempunyai kawan, teman dan keluarga yang sentiasa berada di samping di kala lemahnya jiwa.
Walaubagaimanapun, langit tidak selalunya terang. Awan mendung membawa titisan hujan pasti akan tumpah juga di bumi hati dan di saat itulah juga mereka yang kita inginkan yang kita harap untuk meminjamkan bahu menghilang entah ke mana.
Langit yang diselaputi awan gelap tidak selamanya memayungi perjalanan kita kerana pelangi indah menyusul di sebalik titis jernih dan biasan cahaya mentari itu. jangan bersedih kerana kita telah melalui kesedihan itu semalam dan mengingatinya tidak akan membawa sebarang faedah.
Perkara yang kita tangisi tidak akan berubah walau airmata darah kita tumpahkan sekalipun. Ianya telah menjadi suatu waktu yang telah kita lalui dan jangan pernah bersedih kerananya. Kesedihan hanya akan membawa kesedihan yang lain dan tambah menyakitkan jiwa.
Jangan bersedih kerana kesedihan hanya akan membuat air yang segar terasa pahit di kerongkong, kuntuman mawar yang indah kelihatan layu, kebun yang menghijau kelihatan seperti gurun pasir yang gersang dan kehidupan dunia terasa bagai di penjara.
Janganlah bersedih kerana Allah swt masih mengizinkan kita untuk berpijak di bumiNya, bernafas atas izinNya dan menyebut namaNya dengan lidah ini. Ingatlah, manusia seringkali melupakan Dia Yang Maha Kuasa namun Allah tidak pernah melupakan kita.

Friday, May 21, 2010

Cinta oh Cinta

Manusia dilahirkan dengan secebis rasa kasih sayang dan cinta. Sejahat mana pun manusia itu pasti wujud perasaan cinta dan begitu juga sebaliknya. Manusia tiada yang sempurna melainkan Allah s.w.t.

Fitrah manusia ingin menyintai dan dicintai namun pernahkah kita berfikir adakah cinta yang kita perolehi/beri dari/kepada si dia atau ianya hanya nafsu syahwat semata?


Mari kita teliti kedudukan cinta di dalam hati manusia berlandaskan agama Islam;


” Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu kuawatir kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai,
adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang orang fasik.”

                                                                                                                                 (At Taubah 9:24)

” Dan di antara manusia ada orang orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahwa Allah amat berat siksaanNya (nescaya mereka menyesal).”

                                                                                                                                (Al Baqarah 2:165)

“Katakanlah: “Jika kamu (benar benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

                                                                                                                                (Ali Imran 3:31)

“Tidak sempurna iman seseorang sebelum ia lebih mencintaiku berbanding bapanya, anaknya dan seluruh umat manusia”

                                                                                                                                (HR Bukhari)


Sesungguhnya bagi seorang yang beriman, wajib baginya untuk meletakkan kecintaannya pada Allah, RasulNya dan pada jihad di jalanNya lebih dari segala bentuk kecintaan yang lain walaupun pada ibubapanya sendiri.

Allah s.w.t menegaskan bahawa perhubungan yang terkait di antara du jantina yang berbeza yang bukan mahram bukanlah cinta seperti yang biasa ditutur atau dilafazkan melainkan perasaan nafsu syahwat semata. Astaghfirullahalazim. Kita melihatnya merasainya melafazkannya sedang Allah mengetahui segala yang tersembunyi di hati kita. Subhanallah.

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan syahwat kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita wanita, ??.”

                                                                                                                             (Ali Imran 3:14)

Percintaan antara bukan mahram adalah sesuatu yangn tidak diajarkan di dalam Islam. Ianya tidak terdapat dalam sirah Rasulullah saw, para sahabatnya dan kehidupan para salafus soleh, dan seperti yang sedia maklum bahawa zaman merekalah sebaik-baik zaman yang pernah wujud di dalam sejarah Islam. Cuma kita, manusia akhir zaman, yang tidak pernah mahu mengambil iktibar dari segalanya.


Di dunia yang beza

Dunia penuh dengan kejutan. Tanpa kira masa dan detiknya kita dipertemukan dengan sesuatu yang baru dan semuanya punyai hikmah yang tersendiri kerana Allah tidak akan membiarkan hamba-hambaNya hidup dalm keadaan yang sia-sia melainkan manusia itu sendiri la yang mensiakan hidupnya.

Baru-baru ini tersadai dua hari semalam di Nur Laman Bestari, Hulu Yam, Selangor atas nama Explorasi Jati Diri anjuran kolej kediaman. Banyak yang ditimba dan kebanyakan perkara yang berlaku membuat akal sihat ini berfikir.

Semoga Allah menempatkan kita ke dalam golongan golongan yang dikehendakinya; yang beroleh kebaikan sebagaimana yang di sabdakan oleh Rasulullah saw:

“Apabila Allah berkehendakkan kebaikan bagi hambaNya, maka akan difakihkannya dengan agama, dizuhudkannya dengan dunia dan diperlihatkan kesalahan-kesalahannya”
                                                                                            
                                                                                                             (Riwayat Baihaqi dari Anas r.a)

Sesungguhnya syaitan adalah musuh kita yang nyata, yang sentiasa menyerukan kepada kesesatan dan kehancuran, yang sentiasa membaluti kemungkaran dengan kebajikan untuk mengaburi mata sekalian manusia kecuali hamba hamba Allah yang ikhlas.

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”.
                             
                                                                                                                               (Al Hijr 15:39-40)

Inilah yang berlaku apabila manusia lalai dan mulai lupa akan tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul sebagai hamba Allah dan syaitan laknatullah tidak pernah lupa pada janjinya untuk menyesatkan seberapa ramai umat manusia di muka bumi ini.

Pernah suatu ketika dulu seorang hamba Allah menjadi pemimpin kepada diri ini dan waktu itu mungkin dunia remaja yang hanya mahukan keseronokan tidak memandang jalan yang terbentang walau berkali-kali sahabat memegang tangan ini supaya bersamanya melangkah di atas jalan yang sama.

Semakin dewasa pengalaman indah berjemaah bersamanya kian lupus. Mungkin sebab masih tidak mampu melihat atau mungkin juga kerana persekitaran yang menutup mata hati sehingga lupa pada perasaan indah berjemaah bersama sahabat ketika di sekolah. Solat ditunaikan tetapi lebih suka bersendiri menunaikannya walau peluang itu terlalu banyak dibuka.

Di Explorasi Jati Diri mereka mendedahkan semula pengalaman lampau. Seorang teman tanpa bersoal bersetuju menjadi imam bagi kami wanita dan seorang mengiqamahkan. Alangkah indah perasaan itu. Perasaan yang tidak mungkin dirasai ketika bersama orang-orang dulu.

Dunia mungkin berbeza tetapi kita masih di bawah langit yang sama memijak di bumi yang sama dan bertuhankan Yang Maha Esa.

Thursday, April 22, 2010

Syukur dia mengerti

Rintik hujan turun membasahi bumi yang kian gersang dek bahang kepanasan. Mungkin kepanasan ini petanda bahawa dunia sudah tidak mampu menanggung dosa-dosa hitam manusia yang berTuhankan nafsu dan harapan semoga rintik hujan mampu membasuh pergi segala dosa yang manusia perbuat.

Hampir setiap hari dada akhbar memaparkan cerita yang sama baunya. Bermula dengan khalwat yang dianggap perkara biasa di zaman yang serba moden lalu umat Islam tidak malu segan bermaksiat di khalayak ramai. Konon mahu menunjukkan kepada dunia bahawa diri mereka sedang dilamun cinta dan darah muda ini tidak dapat menahan gelora asmara. Hasilnya tetap sama, anak luar nikah!

Bagaimana ingin membendung masalah yang kian meruncing ini sedangkan di peringkat akar umbi lagi kita sudah mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ibubapa sendiri sudah cukup untuk menjadi titik tumpuan anak-anak tetapi kalau ibubapa sendiri melakukan maksiat jadi bagaimana dengan anak-anak?

Di mana pula tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat? Sebagai kawan? Sebagai guru? Adakah dengan hanya melihat, mengeji dan membenci perkara tersebut kita mampu mengatasinya? Atau adakah dengan hanya membincangkan di meja makan isu tersebut kita mampu membendungnya?

Semalam menjamu makan malam bersama rakan. Rancak bercerita lalu terkeluar soalan tentang hubungan yang terjalin di antara dia dengan seorang lelaki. Jauh di sudut hati kecil ini terselit sedikit kekhuatiran di atas hubungan yang terjalin. Bukan sebab takut lelaki itu mempermainkan dirinya tetapi takut andai keduanya tumpas di tangan nafsu.

Berjauhan dari keluarga akan membuka banyak peluang kepada kita dan diantara peluang-peluang ini tidak semuanya berguna. Andai tersilap memilih jalan maka kita akan tersesat. Sebagai rakan apa yang mampu dilakukan hanyalah menasihati. Terpulang kepada individu tersebut sama ada hendak menerima atau membuang pergi nasihat ini.

Mula-mula takut juga hendak meluahkan apa yang terbuku di sudut hati kecil kerana bimbang pihak sana akan terasa hati dan menganggap niat baik ini sebaliknya. Tapi entah dari mana kekuatan itu tiba dan bibir ini lancar saja menutur bicara lembut.

Menanti reaksi dari dia dan syukur alhamdulillah dia mengerti malah berterima kasih kerana telah menyedarkan dia dari perkara yang dilupakan. Mungkin dia tidak menyedari kesilapan yang dilakukan kerana perasaan yang tertutup dek nafsu dan sebagai rakan yang menjadi kebergantungan di kala jauh dari keluarga hanya ini yang mampu dilakukan. Langkah seterusnya hanya dia yang mampu mengubahnya.

Nafsu begitu mudah menggembleng hati nurani kita supaya mengikut jejaknya. Harus disematkan di dalam sanubari bahawasanya nafsu itu adalah anak didik syaitan yang ditinggalkanya di dalam hati dan untuk melawannya hanya hati kita yang mampu.

Sunday, April 11, 2010

Simposium kepenggunaan Islam

Sebuah simposium anjuran pengguna bumiputera telah berlangsung di dewan kuliah 2 UTHM. Objektif utama adalah untuk mendedahkan pengguna Islam tentang bahayanya makanan dan minuman haram yang disampaikan oleh Dato' Nooh dengan penuh karisma.

Betapa bahayanya makan dan minum daripada sumber yang haram sehingga boleh membawa kepada kemusnahan sebuah institut kekeluargaan. Mungkin ramai yang memandang perkara ini sebagai perkara yang remeh namun dari sinilah sebenarnya punca kepada setiap perkara.

Contohnya dalam kes buang bayi. Mungkin ramai yang menyangkal bahawa penyebab utama kepada masalah ini adalah makanan dan minuman. Makanan dan minuman yang ditelan akan menjadi darah dan daging. Apabila yang ditelan itu bukan daripada sumber yang halal maka ia akan membawa kita ke jalan yang salah.

Begitu juga dengan doa yang kita pohonkan selama ini. Sekiranya selama ini kita menelan makanan dan minuman dari sumber yang salah insyaAllah doa yang dipohon tidak akan dimakbulkan. Mustahil Allah akan memperkenankan doa kita seandainya daging tubuh diselaputi daging haram.

Hidayah dan taufiq tidak akan bercampur dengan daging yang haram. Hidayah hanya akan bercampur dengan daging yang bersih. InsyaAllah sekiranya kita menyelaputi daging tubuh kita dengan daging yang bersih jadi tidak mustahil hidup kita akan menjadi tenang.

Suka kiranya di sini dikongsi bersama sebuah cerita tentang seorang ahli korporat yang berjaya. Hidupnya walaupun dilimpahi dengan kemewahan namun keluarganya bagai seharmoni keluarga lain. Isteri dan anaknya langsung tidak menghormatinya seolah dia tidak wujud bagi mereka.

Ahli korporat ini telah meminta nasihat daripada seorang ustaz dan dia mengaku tidak menjadi pemimpin yang baik kerana selama ini dia sendiri tidak pernah menunaikan solat apatah lagi ahli keluarganya. Dia juga mengaku selama ini tidak pernah menunaikan zakat.

Ustaz ini akhirnya telah menasihati ahli korporat berkenaan supaya melakukan tiga perkara. Pertama, bawa keluarga untuk menunaikan solat. Kedua, tunaikan zakat. Ketiga, berbuat baik kepada kedua orang tua dan ahli keluarga yang terdekat.

Kesimpulannya jadilah manusia itu yang sentiasa mendahului hak Allah dalam setiap perkara. Pastikan apa yang kita makan dan minum itu daripada sumber yang halal dan bersih.

Friday, April 9, 2010

Jauh dari landasan untuk sekali lagi

Sekali lagi diri ini jatuh dari landasan sebenar. Iman senipis atau mungkin lebih tipis daripada kulit bawang ini dikocak nafsu yang satu dari sembilan. Keinginan untuk kelihatan seperti gadis yang lain telah membuat diri lupa akan perkara yang selama ini ingin diraih.

Mustahil akan diberkati doa yang dipinta selama ini andai arahan semudah itu tidak dapat dilakukan. MasyaAllah, rendahnya maruah di ketika itu.
Bukan tidak tahu atau lupa tetapi keinginan itu mengatasi segalanya lalu sekali lagi…ya sekali lagi doa itu dikotori…impian itu dirobek.

Begitu mudah hati ini terjerat dengan nafsu dan dikala malam menjelma dosa yang dilakukan disesali. Beginikah lumrah yang ingin dilalui saban hari? Bila berkeinginan maka laranganNya dipinggirkan dan bila ingin meminta maka berpura-pura untuk menagih simpati Nya berjanji untuk tidak mengulangi seakan Allah tidak melihat apa yang tersirat di hati selama ini.
Insan lemah ini perlukan pembimbing untuk bersama melangkah mencari keredhaan Ilahi. Ada yang ditemui tetapi dia telah meminggir jauh kerana takdir tertulis begitu.

Di hati ini tersimpul impian yang terpendam jauh ke dasar. Entah bila akan tertunainya impian jika setiap detik nafsu tidak mampu ditangani.