Tuesday, August 8, 2017

Bedah buku : Ketika Azazil Berputus Asa

'PERHATIAN: ini hanyalah hasil pandangan yang dinukilkan lewat tulisan seorang pembaca yang haus pada ilmu tulisan. Harap maaf andai ia mengguris hati mana-mana pihak yang berkaitan.'

Image result for ketika azazil berputus asa

Selalu terbaca post iklan tentang buku Ketika Azazil Berputus Asa hasil garapan Tuan Hadi Fayyadh. Asyik terbaca tentang review positif dari pembacanya. Hah, hati pun terpaut maka mulalah mengumpul sisa baki duit yang ada untuk memiliki. Alhamdulillah ia datang sebagai kombo, Ketika Azazil Berputus Asa (KABA), Semusim Di Barzakh (SDB) dan Semusim Di Mahsyar (SDM). Tapi, review kali ini kita mulakan dengan novel KABA.

Bukan buku santai! Itu yang harus diperingatkan kepada pembaca yang hobinya membaca dan cenderung memilih buku yang bergaya santai. Kenapa begitu?

Pertama, dari tajuknya saja kita sudah boleh menebak atau meneka apakah corak tulisan novel ini. Jangan meletakkan harapan seolah pembaca akan dihidangkan dengan cerita seperti pengembaraan seorang watak di dalam sebuah kehidupan. Tidak. KABA akan menghancurlumatkan pemikiran tersebut. Pembaca boleh sentap seketika dengan mesej yang disampaikan oleh penulis. Jalan ceritanya berbeza. Meskipun KABA hadir dalam bentuk novel namun ianya bukan sebuah cerita biasa.

Kewujudan watak seolah tidak dititikberatkan dan hanya wujud atas nama saja. Tumpuan lebih menjurus ke arah mesej ilmu yang ingin disampaikan. Perjalanan seorang atheis di dunia yang sudah hampir ke penghujungnya, saat mateor melanggar bumi, kehadiran makhluk pemakan manusia dan kemunculan dajjal. Siapa yang dapat mengkoreksi ini semua dalam satu buku. Hebat. Ya, ucapan tahniah harus diberikan kepada penulis. Meski masih ada kepincangan dalam penceritaan namun mesej yang ingin disampaikan jelas.

Tiada siapa dapat membayangkan bagaimana keadaan dunia kala dajjal menguasai. Dunia mungkin sama seperti yang digambarkan dalam buku KABA atau mungkin lebih teruk lagi dan sungguh fitnah dajjal itu sangat menakutkan.

Image result for ketika azazil berputus asa

Kedua, gaya penulisan yang agak tinggi. Banyak perkataan yang digunakan dalam buku ini adalah dalam bahasa Melayu tinggi. Contohnya, proksi dan dominasi. Gaya bahasa juga menampilkan imej kemodenan dan ketinggian ilmu. Disebabkan latar masa adalah masa hadapan iaitu zaman akhir di mana dajjal muncul dan dunia moden yang lengkap dengan teknologinya mulai kelam kabut jadi tidak hairanlah jika penulis menggunakan gaya bahasa tinggi. Ini juga sesuai dengan watak utama cerita yang berpangkat Profesor Doktor di bahagian astronomi.

Walaupun begitu, penulis mungkin lupa bahawa masih ada segelintir muda mudi di luar sana yang tidak gemarkan buku yang mempunyai gaya bahasa tinggi seperti ini. Bagi mereka terlalu berat untuk menterjemah apalagi sebahagian tulisan bermesej teori yang harus dihadam. Ini bukan buku sains atau buku sejarah. Ini hanyalah sebuah novel. Tidak salah menghidangkan pembaca dengan teori namun jika hampir 40% adalah teori ia akan menerbit bosan di hati pembaca.

Ketiga, cara hidangan cerita. Ini sebenarnya adalah pandangan masing-masing sebagai pembaca. Ia bersifat subjektif. Jadi, andai ada yang ingin mendapatkan novel KABA jangan jadikan bahagian ini sebagai rujukan.

Sifat hidangan cerita adalah berbeza melalui tangan penulis. Bagaimana penulis menyediakan hidangan cerita maka itulah yang akan sampai di mata pembaca. Novel KABA mempunyai mesej yang bagus dengan tafsiran ayat Al-Quran, hadis dan teori yang dimasukkan sebagai penguat. Tapi, cara jalan cerita terlompat sana sini. Seolah ianya tidak berkesinambungan antara satu sama lain. Sukar menjalinhubungkaitkan satu bab dengan bab yang lain sehingga sampai tahap menyakitkan kepala. Tiada pencerahan tentang latar masa dan tempat.

Sungguhpun begitu, jika anda mencari kelainan dalam pembacaan novel ini boleh dimasukkan dalam senarai yang harus dimiliki. Bukan semua orang mampu menulis kisah ini dan tidak semua orang boleh mengimaginasikan hingga terwujud sebuah gerbang ketakutan dalam diri.

Akhir kalam, boleh dapatkan buku ini melalui Saudagar Buku atau kedai-kedai berhampiran.




2 comments: