Thursday, June 30, 2016

Aku bukan ustazah

Teringat satu kisah semasa saya masih bergelar seorang mahasiswi. Ketika itu bulan ramadhan. Entah ramadhan keberapa saya sendiri sudah lupa. Tapi, yang pasti masa itu cuti penggal. Semua pelajar boleh pulang ke kampung masing-masing. Saya yang berasal dari Sabah sememangnya akan menggunakan khidmat kapal terbang.

Pergerakan dari Batu Pahat, Johor (saya menuntut di UTHM) ke Kuala Lumpur sudah memakan masa separuh hari. Tiket flight pula memang dibeli dengan tarikh dan masa awal pagi esok. Memang sudah dalam perancangan yang saya terpaksa bermalam di LCCT (pada waktu itu KLIA 2 belum dalam pembinaan lagi). Jika diikutkan perjalanan saya memang melebihi 2 marhala, jadi dibolehkan untuk tidak berpuasa.

Eh, jangan cipta alasan menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Memanglah perjalanan tersebut melebihi dua marhala tetapi saya tidak berjalan kaki atau menggunakan unta di padang pasir. Bas ada aircond. Boleh pula tidur semasa dalam perjalanan. Ketika sampai di airport pun keadaan saya masih stabil. Jadi, tak perlu menggadaikan puasa ramadhan demi kesenangan diri sendiri. Sayang puasa tu.

Dipendekkan cerita, masa berbuka hampir tiba. Restoran yang sedia ada sudah penuh pula. Saya masa itu dalam keadaan yang penat dan menjaga bagasi yang penuh mengambil keputusan berbuka saja dulu dengan kurma dan air mineral yang sempat dibeli siang tadi duduk bersandar di satu tiang besar berdepan dengan pintu masuk ke balai berlepas.

Tiba-tiba ada seorang lelaki datang menyapa. Saya pandang dia dengan senyuman. Saya agak lelaki itu dalam lingkungan umur tiga puluhan nak masuk ke empat puluh. Dia juga senyum.

"Assalamualaikum ustazah. Marilah berbuka bersama saya dengan kaluarga di sana!" ditunjukkan saya ke satu arah. Saya lihat ada seorang perempuan bersama dua orang kanak-kanak sedang memandang ke arah saya.

"Er... tak apalah. Terima kasih." Saya menolak dengan gelengan. Lelaki itu masih memujuk tetapi mungkin melihat saya kurang selesa dengan ajakan tersebut dia akhirnya berputus asa.

Pertama, saya bukan mahu menolak rezeki. Iya, tidak elok menolak apabila ada yang bersungguh mahu membantu. Mungkin melihat keadaan saya yang berbuka berseorangan di tempat orang lalu-lalang pula tu jadi mereka suami isteri berbelas ihsan mahu membantu. Terima kasih atas pelawaan tersebut. Semoga Allah membukakan pintu rezeki dan rahmatNya ke atas mereka sekeluarga.

Kedua, walau siapa pun keluarga itu jika dia membaca tulisan saya ini saya menyusun seribu jari memohon kemaafan. Sungguh saya malu apabila lelaki itu memanggil saya dengan gelaran 'ustazah'. Saya bukan ustazah. Saya adalah manusia jahil agama yang sentiasa mahu memperbaiki diri. Saya perlukan bimbingan manusia ketika itu. Saya masih perlukan nasihat dan teguran-teguran berhikmah dari sauadara sekitar. Jadi, gelaran ustazah memang tidak layak untuk saya.

Penampilan ternyata boleh menguba persepsi manusia ke atas kita. Islam yang cantik, bersih dan indah sentiasa mahu umatnya menjaga diri agar tidak terlihat jelek di mata orang bukan Islam terutamanya. Sungguhpun begitu, jangan kita lupa bahawa kecantikan luaran bukanlah segalanya kerana nilaian Allah SWT adalah pada kecantikan dalam diri kita.

Hulurkanlah senyuman meski hati mu kesakitan digiris umpatan manusia
Hulurkanlah keihklasan meski diri mu ditolak oleh tamaknya nafsu di jiwa
Hulurkanlah kebaikan meski sedikit cuma
Kerna biar sebesar zaha Allah SWT pasti menilainya

Image result for senyum


Wednesday, June 29, 2016

Hati yang tersakiti

Hari ini ramadhan ke-24. Alhamdulillah, syukur kerana masih diberikan nikmat hidup ini oleh Yang Maha Esa. Selama menjalani kehidupan ini terlalu banyak dugaan dan ujian yang datang menyapa. Ada satu ketika, bilamana jendela hidup diketuk oleh ujian berupa pengkhianatan oleh sahabat yang dipercayai... tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan rasa kecewa, terkilan, dan marah yang menyelimuti diri.

Diri cuba mencari. Di mana silapnya aku sebagai seorang sahabat sehingga diperlaku sedemikian? Ah, mungkin sebab usia masih muda kala itu dan pengalaman untuk bercampur gaul dengan insan lain juga terlalu sedikit jadi apabila berlakunya pengkhianatan seperti itu lantas saja hati terluka dan tersakiti.

Masih teringat betapa pedihnya perasaan. Hanya tangisan yang bisa dihambur sebagai kata ucapan di atas 'hadiah' tersebut. Jiwa cuba ditenteramkan.

'Seburuk apa pun dia, dia pernah menjadi kawan tempat berkongsi rasa. Sejahat mana pun dia, masih bersisa kebaikan yang pernah ditaburkan. Biarkan. Maafkan. Bersabar atas kejadian ini. Pasti ada hikmahnya.'

Bisikan-bisikan penghembus semangat positif ditiup agar diri tidak goyah. Supaya api kebencian dan kemarahan yang marak bisa segera terpadam.

Image result for jangan marah 

Cerita seperti ini tidak akan berakhir di situ. Penamatnya tidak hanya tergantung pada satu manusia kerana kita tidak hidup sendirian di bumi Tuhan ini. Ya, saban hari... malah mungkin setiap saat kita akan dipertemukan dengan manusia yang pelbagai ragamnya. 

Ada yang begitu, ada yang begini. Ada yang suka melempiaskan amarah tanpa mengukur silapnya manusia. Ada juga yang lebih suka pendam saja hingga lelah. Ada juga yang mengambil sikap tidak peduli. Berbagai rencah. Pelbagai warna bisa dilihat.

Jika ditakdirkan situasi pengkhianatan berulang semula, maka bersabarlah. Jangan hadkan kesabaran kerana sabar itu tiada had limitasinya. Bukankah Allah SWT menjanjikan yang terbaik bagi hamba-hambaNya yang bersabar? Sabar itukan petanda iman.

Image result for sabar 

Namun begitu, perlu ada koreksi diri di pihak kita juga. Tidak semua silap dilakukan oleh orang lain. Tidak semua salah perlu dituding ke insan lain. Kita juga ada silapnya. Kita juga ada salahnya. Pengkhianatan itu mungkin saja ujian. Atau mungkin juga sebagai tanda ingatan kepada kita terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan. Siapa tahu... kita juga pernah mengkhianati tanpa sedar? Kita juga mungkin pernah menyakiti tanpa perasan.

Iya, ayuh kita perbaiki diri sendiri. Bermuhasabah dan merencana untuk menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.

Saturday, June 25, 2016

Dia yang dekat

Pernahkah anda berada di satu tahap di mana hati ini tidak ditahu mahunya apa? Kita marah pada orang-orang yang tidak mahu menghargai hadirnya kita. Kita kecewa dengan mereka yang tidak mahu memahami kita. Kita rindu pada mereka yang tidak mahu merindui kita. Kita cinta pada dia yang tidak tahu tentang cinta kita.

Semua perasaan ini berpadu satu dalam diri sehingga kita tertanya, apa mahunya hati? Kenapa perlu marah, kenapa harus kecewa? rindu? cinta? Mereka tidak tahu tentang itu semua. Apa yang terjadi itu hanyalah berlaku dalam diri kita sendiri. Hati kita yang merasai. Jiwa kita yang merintih.

Pada satu tahap, kita akhirnya berputus asa. Terkilan dengan manusia sekitar yang kita rasa tidak pernah mahu memahami. Keputusan diambil, dan kita memilih untuk bersendiri. Hidup di satu ceruk yang tidak kelihatan oleh mata-mata manusia. Gembira dengan persekitaran yang hanya ada unggas dan tumbuhan. Kita fikir kita berjaya. Namun, hakikatnya kita sudah kalah.

Image result for nice picture 

Kita kalah pada ujian hidup. Manusia tidak mungkin sendiri. Manusia perlu hidup dengan satu sama lain.  Manusia bernafas dengan cinta dan kasih sayang dari insan lain. Seperti mana Adam AS yang memerlukan Hawa dalam hidupnya, begitulah juga kita ini.

Tuhan menjadikan manusia untuk saling berkasihan, saling bertolongan, dan bersilaturrahim. Jika manusia menolak hadirnya kita di dalam hidup mereka, ketahuilah Allah SWT sentiasa ada untuk kita. Apabila rindu ini tidak dihargai, cinta ini ditolak, percayalah kasih sayang dan cinta Allah SWT lebih berharga dari segalanya dan Dia akan membalas cinta dan rindu itu.

Image result for Allah lebih dekat 

Hati ini berbolak-balik sifatnya. Ada masa kita beringat tentang Tuhan yang Maha Dekat. Namun, ada juga detiknya kita lupa tentang Allah SWT yang Maha Memerhati. Langkah kaki ini ada satu saat berada di jalan yang lurus atau seringkali disangkakan lurus. Meski begitu, kaki ini bisa juga tergelincir jatuh dari jalan sebenar.

Kita marah pada manusia, kita kecewa dengan manusia, kita terkilan dengan sikap manusia. Jadi, mengapa menjauhkan diri dari Allah SWT? Usah menghukum diri atas kesilapan orang lain. Mari dekatkan diri kepada Tuhan yang mencipta kita. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kita, percayalah... yakinlah... Bukankah itu tanda iman?

Image result for Allah lebih dekat