Monday, July 25, 2016

Kompas yang dipanggil iman

Anda seorang pengembara? suka mengembara? atau mungkin pakar kaji peta? atau mungkin juga memang seorang yang sukakan geografi. PAstinya pernah dengar satu alatan yang disebut kompas. Alat berbentuk bulat (biasanyalah). Rupa lebih kurang sama dengan jam. Cuma mungkin bezanya, jam menunjukkan masa tetapi kompas menunjukkan arah. Ya, arah! Utara, selatan, timur dan barat.

Image result for kompas 
yang ini sekadar contoh saja.

Dalam hidup seorang muslim, kompas kehidupan kita adalah iman. Kenapa iman? Iman bukan dapat dilihat pun dengan mata. Jadi, bagaimana iman boleh memandu kehidupan dan menunjukkan jalan arah yang betul?

Iman memang tidak dapat dilihat tetapi dapat diukur. setebal mana iman seseorang pasti akan dapat dilihat melalui tingkah lakunya. Jalan raya adalah tempat yang paling sesuai untuk kita mengenal pasti tahap iman di dalam dada. 

Bayangkan, anda sedang memandu kereta dalam keadaan tenang. Tiba-tiba ada sebuah kereta memotonng kenderaan anda dan memandu dalam keadaan yang berbahaya sehingga menyebabkan anda sendiri cemas. Agaknya, bagaimana respons anda terhadap pemandu sedemikian? 

Atau, kala ini anda sedang berada dalam kesesakan lau lintas. Kenderaan tidak dapat bergerak. Anda pula mahu balik ke rumah dengan segera setelah penat bekerja. Sudahlah penat, tambah lagi traffic jam yang teruk. Bagaimana anda mengawal emosi ketika ini?

Saya pasti ramai dari kita yang tidak mampu mengawal kemarahan. Caci maki hamun bagai lumrah biasa yang dipraktik oleh segelintir kita ketika berada di jalan raya. Mentang-mentang memandu kenderaan mewah jadi suka hati saja memandu tanpa menghirau orang lain. Signal usah cerita. Itulah yang paling malas hendak diberikan. Bila ada yang memotong mulalah angin satu badan.

Itu baru kisah di jalan raya. Belum cerita kes pasar raya di mana si penjual dengan sewenangnya menaikkan harga barang atau sengaja mengurangkan timbangan barang. Kisah rumah tangga juga tak perlulah dibuka. Nanti ramai yang tersedak pula.

Iya, iman memandu kita semua agar arah jalan kita tidak salah. Mungkin akan silap di mana-mana. Ah, sudah namanya manusia biasa. Cacat cela salah silap khilaf itu normal. Kita bukan maksum. Tapi, usah jadikan itu sebagai alasan untuk terus-terusan menconteng hitam di hati sendiri. Titik-titik hitam yang mulai memenuhi sekeping hati cubalah padam dengan istighfar dan taubat. Ini bukan nasihat untuk kamu saja tetapi ingatan untuk saya juga. 

Iman ini yang terkadang turun dan naik mungkin tidak dapat dilihat tetapi biarlah dapat dirasa oleh jiwa kita sendiri. Seriuslah untuk mengubah hidup ini. Jadilah muslim yang baik dengan melakukan perkara-perkara kebaikan. Ayuh, kita sama-sama mula dari sekarang.

No comments:

Post a Comment