Saturday, July 23, 2016

Anda insan terpilih

Selajur bangun dan membuka mata, lantas otak ini merembes kata syukur kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas. Masih dipinjamkan ruang masa untuk terus bernafas di muka bumi. Namun, taubat masih diperlekehkan. Usah memandang penulis blog ini seorang yang sempurna, kerana saya juga seorang manusia biasa yang dipenuhi cacat cela. Saya masih perlukan insan-insan sekitaran untuk menegus. Saya masih membutuh nasihat-nasihat untuk terus memperbaiki diri. Hati yang berbolak-balik sifatnya terasa sukar untuk dijinakkan.

Ada waktu fikiran condong ke arah kebaikan. Maka bermuhasabahlah diri yang hina ini. Mensyukuri setiap nikmat yang dikecapi. Ada kala diri terlanjur juga. Terjatuh dalam laluan langkah yang goyah. Terlanjur kata lalu terobeklah sekeping hati yang lain. Meski dalam penulisan yang tidak bersuara ini, andai ia ada menyakitkan sesiapa, maaf dipohon. Semoga awak, saya, dan kita semua terangkul dalam rahmat-Nya.

Image result for sahabat sejati

Sungguh, jiwa dan hati ini cemburu. Cemburu pada Rasulullah SAW yang dikurnai barisan sahabat yang berjiwa besar, yang menyayangi baginda Rasul sepenuh hati dan rela berkorban untuk baginda. Alangkah indahnya.

“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat.” (Riwayat Ahmad)

Selain buku-buku atau majalah-majalah hiburan, pernahkah kita membuka lembaran sirah? Jika belum pernah, ayuh carilah hari ni kerana awak akan merasa sesuatu di sini (tunjuk pada hati). InsyaAllah.

Dalam helaian sirah nama Abu Bakar As-Siddiq bukanlah satu yang asing. Andai sebagai muslim kita masih tidak tahu, alangkah ruginya. Abu Bakar adalah sahabat nabi yang paling akrab. Peneman Nabi SAW ketika dalam perjalanan hijrah,. Dia sahabat dan juga ayah mentua yang sangat-sangat menyayangi Nabi Allah, Muhammad SAW.

Mendapat gelaran As-Siddiq, yang bermaksud yang membenarkan, selepas peristiwa isra' dan mikraj. Meskipun tidak menyaksikan sendiri isra' dan mikraj, namun sebaik mengetahui bahawa Rasulullah SAW sendiri yang mengatakannya maka dia terus percaya dan membenarkan peristiwa tersebut. Lihatlah, kepercayaan seorang sahabat terhadap sahabat yang dikasihinya.

Malah, semasa dalam peristiwa hijrah. Ketika dalam perjalanan Abu Bakar bergerak sekejap di kiri baginda Rasulullah SAW. Sekejap di kanan. sekejap di belakang dan sekejap dia berpindah ke depan. Apabila ditanya oleh baginda, kenapa dia berkelakuan demikian? Dijawabnya, kerana dia bimbang musuh akan menyerang baginda Rasulullah SAW dalam arah-arah berkenaan. Sekali lagi, cintanya dan kasih sayangnya terpamer di sini.

Hati mana yang tidak cemburu? Jiwa mana yang tidak terusik dengan kisah ini? Tapi, di zaman moden, di mana harta dan kuasa jadi taruhan, apakah kita masih akan bertemu insan-insan seperti Abu Bakar As-Siddiq RA sebagai sahabat? Cuba lihat mereka yang berada di sekitaran. Mereka yang duduk di sebelah atau mungkin yang sedang berdiri bersama kita. Apakah mereka ini insan yang bisa dijadikan sahabat dunia dan akhirat kita?

“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.” (Riwayat Abu Daud)

Bersahabat usah berkira. Berkawanlah dengan seramai mana pun tanpa kira usia mereka, jawatan mereka, rupa mereka atau harta yang mereka ada. Jika mereka bukan si penjual minyak wangi sekali pun, kitalah yang jadi minyak wanginya agar dia dan kita sama-sama wangi. Baiki kekurangan mereka tetapi jangan pula kita menjerumus diri mengikut mereka meski kita tahu ia sesuatu yang tidak baik.

Berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan kesabaran. Semoga kita jadi insan yang terpilih yang mampu berpimpin tangan dengan sahabat tersayang menuju syurga Ilahi dengan rahmat-Nya.

No comments:

Post a Comment