Thursday, June 30, 2016

Aku bukan ustazah

Teringat satu kisah semasa saya masih bergelar seorang mahasiswi. Ketika itu bulan ramadhan. Entah ramadhan keberapa saya sendiri sudah lupa. Tapi, yang pasti masa itu cuti penggal. Semua pelajar boleh pulang ke kampung masing-masing. Saya yang berasal dari Sabah sememangnya akan menggunakan khidmat kapal terbang.

Pergerakan dari Batu Pahat, Johor (saya menuntut di UTHM) ke Kuala Lumpur sudah memakan masa separuh hari. Tiket flight pula memang dibeli dengan tarikh dan masa awal pagi esok. Memang sudah dalam perancangan yang saya terpaksa bermalam di LCCT (pada waktu itu KLIA 2 belum dalam pembinaan lagi). Jika diikutkan perjalanan saya memang melebihi 2 marhala, jadi dibolehkan untuk tidak berpuasa.

Eh, jangan cipta alasan menggunakan agama untuk kepentingan diri sendiri. Memanglah perjalanan tersebut melebihi dua marhala tetapi saya tidak berjalan kaki atau menggunakan unta di padang pasir. Bas ada aircond. Boleh pula tidur semasa dalam perjalanan. Ketika sampai di airport pun keadaan saya masih stabil. Jadi, tak perlu menggadaikan puasa ramadhan demi kesenangan diri sendiri. Sayang puasa tu.

Dipendekkan cerita, masa berbuka hampir tiba. Restoran yang sedia ada sudah penuh pula. Saya masa itu dalam keadaan yang penat dan menjaga bagasi yang penuh mengambil keputusan berbuka saja dulu dengan kurma dan air mineral yang sempat dibeli siang tadi duduk bersandar di satu tiang besar berdepan dengan pintu masuk ke balai berlepas.

Tiba-tiba ada seorang lelaki datang menyapa. Saya pandang dia dengan senyuman. Saya agak lelaki itu dalam lingkungan umur tiga puluhan nak masuk ke empat puluh. Dia juga senyum.

"Assalamualaikum ustazah. Marilah berbuka bersama saya dengan kaluarga di sana!" ditunjukkan saya ke satu arah. Saya lihat ada seorang perempuan bersama dua orang kanak-kanak sedang memandang ke arah saya.

"Er... tak apalah. Terima kasih." Saya menolak dengan gelengan. Lelaki itu masih memujuk tetapi mungkin melihat saya kurang selesa dengan ajakan tersebut dia akhirnya berputus asa.

Pertama, saya bukan mahu menolak rezeki. Iya, tidak elok menolak apabila ada yang bersungguh mahu membantu. Mungkin melihat keadaan saya yang berbuka berseorangan di tempat orang lalu-lalang pula tu jadi mereka suami isteri berbelas ihsan mahu membantu. Terima kasih atas pelawaan tersebut. Semoga Allah membukakan pintu rezeki dan rahmatNya ke atas mereka sekeluarga.

Kedua, walau siapa pun keluarga itu jika dia membaca tulisan saya ini saya menyusun seribu jari memohon kemaafan. Sungguh saya malu apabila lelaki itu memanggil saya dengan gelaran 'ustazah'. Saya bukan ustazah. Saya adalah manusia jahil agama yang sentiasa mahu memperbaiki diri. Saya perlukan bimbingan manusia ketika itu. Saya masih perlukan nasihat dan teguran-teguran berhikmah dari sauadara sekitar. Jadi, gelaran ustazah memang tidak layak untuk saya.

Penampilan ternyata boleh menguba persepsi manusia ke atas kita. Islam yang cantik, bersih dan indah sentiasa mahu umatnya menjaga diri agar tidak terlihat jelek di mata orang bukan Islam terutamanya. Sungguhpun begitu, jangan kita lupa bahawa kecantikan luaran bukanlah segalanya kerana nilaian Allah SWT adalah pada kecantikan dalam diri kita.

Hulurkanlah senyuman meski hati mu kesakitan digiris umpatan manusia
Hulurkanlah keihklasan meski diri mu ditolak oleh tamaknya nafsu di jiwa
Hulurkanlah kebaikan meski sedikit cuma
Kerna biar sebesar zaha Allah SWT pasti menilainya

Image result for senyum


No comments:

Post a Comment