Monday, April 28, 2014

Antara Bangsa & Agama...Mana Pilihan Kita?

Hari ini ramai di kalangan kita mulai berjinak dengan agama. Salah. Ayat sepatutnya...mulai mendekatkan diri dengan agama. Ya, syukur alhamdulillah. Allah masih memberi peluang kepada kita, hamba-hambaNya yang hina ini, untuk menggapai rasa iman dan cinta kasih pada agama.

Sungguhpun begitu, dalam kalangan ini...mungkin tidak semua hanya segelintir mulai bingung tentang pegangan hati. Bingung bukan kerana ajaran yang bercanggahan tetapi bingung untuk memilih antara dunia dan akhirat serta bangsa dan agama.

Pernahkah satu hari kita mengambil masa sekejap untuk berfikir tentang kehidupan beragama yang telah kita lalui selama hidup ini? Pagi ini apa yang telah dilakukan untuk agama? Tengahari? Petang? Malam? Untuk setiap waktu itu berapa banyak masa yang kita peruntukkan untuk kehidupan sebagai muslim?


Ada yang mungkin berfikir, cukuplah solat lima waktu sehari semalam. Itu sudah cukup membuktikan bahawa dirinya adalah seorang muslim yang melaksanakan agamanya. Salah. Silap. Pandangan itu silap dan salah. Jangan terikat dengan ketaksuban hati. Solat itu wajib tetapi Islam bukan sekadar pada solat saja. Ia merangkumi banyak perkara.

Kehidupan beragama bermula pada waktu kita melelapkan mata untuk tidur...membuka mata untuk memulakan aktiviti harian...dan melelapkan mata semula untuk rehat dan tidur. Jadi, kehidupan beragama berlaku terus-menerus tanpa berhenti selagi nyawa dikandung badan.

Bagaimana pula dengan hidup berbangsa? Bangsa diangkat menjulang sebagai simbolik bahawa diri mempunyai kaum kerabat yang berbahasa sama, berfikiran hampir sama, berpakaian dan bercitarasa yang hampir serupa. Lantas, apakah kehidupan seharian sebagai manusia berbangsa terkait terus-menerus? Cuba ambil masa untuk fikirkan.

Dunia adalah persinggahan sementara. Tempat kita mengumpul 'bekalan' untuk dibawa ke akhirat sana. Tapi, apa kaitan akhirat dengan pilihan antara bangsa dan agama? Mari kita sama renungkan, apakah 'bekalan' yang bakal kita bawa nanti berkaitan dengan bangsa atau pun ianya berisi dengan agama?



Kita ingin mencipta sejarah. Sejarah yang kononnya untuk bangsa yang disayangi. Tapi, renungilah kembali niat kita..apakah sejarah yang mahu dilakarkan tersebut mampu membantu langkah kita di Padang Mahsyar kelak? Atau apakah ketaksuban terhadap bangsa sendiri akan memelihara kita dari api neraka? Usah santai mengeluarkan bicara, kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita perkata.

Redha dibakar api neraka demi bangsa? Jangan tertipu dengan nafsu yang menjadi tunggangan syaitan laknatullah. Andai kita tahu bagaimana panasnya api neraka pasti tiada yang berani berkat demikian sedangkan Rasulullah SAW yang terpelihara dari api neraka menangis ketakutan kerana diperlihatkan oleh Allah SWT akan tempat itu.

Marilah sama-sama kita bertafakur sebentar...mengingati mati yang kian hampir dan hidup yang belum cukup bekalan untuk ke sana. Bicaralah yang baik, berkelakuanlah yang baik..jika tidak mampu, makan berdiam diri itu lebih baik.