Sunday, December 14, 2014

Kembara mencari hati emas

Hati merupakan organ homeostasis yang memainkan peranan penting dalam proses metabolisma bagi manusia dan haiwan. Hati mempunyai pelbagai fungsi termasuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma dan menyahtoksid. Ia menghasilkan hempedu yang penting dalam proses penghadaman.

Dalam Islam, hati ditafsirkan sebagai segumpal daging yang menjadi pusat perkembangan diri sama ada baik atau pun buruk. Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,


Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. رضي الله عنهما beliau berkata:

Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan,
dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya.
Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.
Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik
maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak,  maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah ia adalah hati.

- Hadis sahih riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim


Hati diumpamakan seperti raja yang mengawal kerajaan diri. Jika hati baik maka baiklah seluruh kerajaannya. Begitu juga andai sebaliknya. Disebabkan itulah andai diteliti ramai antara kita memilih untuk mencari mereka yang baik hatinya untuk didampingi. Dijadikan sebagai sahabat atau teman sehidup semati. Ironinya, ramai yang tidak mahu memperbaiki hati sendiri. Kenapa?

Mungkin kita terlalu taksub pada diri sendiri. Egoisnya kita...sombongnya kita..sehingga satu tahap merasakan diri lebih baik daripada orang lain. Ah, kerajaan yang begitu angkuh.

Sebagai pengembara di dunia ini, kita diberi sebanyak mana peluang oleh Tuhan untuk memilih manakah jalan ingin kita tempuhi. Ada masa kita jatuh terperosok menyembah bumi dan bangun semula melangkahkan kaki. Kadang kita berdiri di tingkat tertinggi sehingga lupa pada nikmat pinjaman yang sepatutnya kita syukuri dan kongsikan.

Setiapnya bergantung pada hati. Tapi, bagaimana pula ukurannya? Adakah dengan berkongsi setiap apa yang kita miliki itu menjadi penentu baiknya hati kita? Bagaimana? Biar Allah SWT yang menentukan segalanya.

Mari bermuhasabah, renungi sejenak..bagaimana keadaan hati kita? Sihatkah? Baikkah? Atau mungkin berada dalam keadaan yang tenat..sakit...dan perlu diperbaiki? Usah bertangguh..yuk..ayuh..segera melangkah mencari hati.

Di mana? Carilah ketika dalam solat mu..carilah ketika mencari kalam Tuhan mu..jika belum ditemui, maka tadahlah tangan...pintalah hati yang baru kerana hati yang kita miliki bukan lagi milik kita.

No comments:

Post a Comment