Tuesday, December 30, 2014

Cukuplah Bagi ku

Kesibukan kota kecil seperti bandaraya Sandakan kadang kala bisa membuat dada menjadi sesak. Kiri kanan terdengar jerit si penjaja. Sana sini hon kenderaan membingit. Aduh...sakit kepala dibuatnya. Lantas earphone yang tersedia dia dalam beg kecil yang begitu setia dibimbit di celah ketiak dicapai.

Sekelip mata suara jeritan penjaja dan bunyi hon membingit hilang berganti dengan muzik mp3. Meski pun begitu mata masih dapat menyantapi kesibukan di luar bas. Benak membisik, 'inilah harga sebuah kemajuan dan kemodenan yang sering dibanggakan oleh para menteri.'

Entah di mana hebatnya kemodenan yang hanya mampu dinilai melalui zahirnya. Padahal kemodenan dan kemajuan lebih baik diukur melalui dalamannya. Negara yang baik, maju dan moden adalah sebuah negara yang aman tanpa demonstrasi bangkangan daripada rakyat yang memberontak kerana hak mereka dicabuli oleh penguasa yang tamak. Contoh negara terbaik adalah Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW dan empat Khalifah Ar-rashidin.

Realiti pada hari ini, manusia mulai sibuk dengan kehidupan dunia sehingga lupa pada satu kehidupan yang lebih pasti, kehidupan akhirat!

"Mereka ada kereta...jadi aku mahukan kereta yang lebih besar."

"Mereka mempunyai rumah...jadi aku mahukan rumah yang lebih besar dipenuhi perabot yang serba lengkap dan mewah!"

"Mereka mempunyai kerja yang bergaji besar...aku juga mahukan kerja berpangkat, kedengaran berkuasa dan gaji lebih besar agar dipandang mulia oleh manusia sekitar."

Pemikiran yang tamak ini menerjah menghuni hati kecil. Apatah lagi apabila melihat kejayaan rakan-rakan yang dulu sama duduk di bangku sekolah yang sama.

Lagu mp3 terus memainkan muziknya namun tidak mampu mengusir pergi rasa resah di hati ini. Keluhan nafas berat terhembus. Pemikiran yang tamak dan menginginkan harta dunia bermaharajalela. Sekejap mata diri mulai membanding.

'Mengapa?'

'Kenapa?'

'Adakah mereka lebih hebat?' atau

'Apakah Tuhan hanya memandang mereka dan meminggirkan insan seperti aku?'

Sedikit demi sedikit perasaan belass dan hina menguasai. Masa silam yang telah lama dilalui dikesali. Andai begitu...jika begini...sekiranya aku tahu tentu tidak jadi begini.

Letakkan tangan ke dada. Cuba tanyakan pada diri...pada hati...apakah yang ia mahukan atau lebih tepat, apakah yang kita perlukan di kehidupan dunia ini?

Kerja berpangkat dengan gaji besar?

Rumah besar berperabot mewah?

Atau kereta mewah yang menjalar di atas jalan raya?

Tanpa sedar, sebenarnya kita sudah terjun ke dalam fitnah dunia. Fitnah kuasa dalam lingkungan dunia moden dan maju. Pada siapa yang ingin kita tunjukkan semua itu? untuk apa? atas tujuan apa?

Adakah hanya untuk bermegah agar dipandang mulia oleh manusia lain? Atau adakah hanya mahu memenuhi tuntutan nafsu yang tidak mahu dipagari? Bukankah sombong, riak, ujud, dan takbur itu sifatnya iblis laknatullah?

Jangan...jangan melihat mereka yang berada di atas. Mereka yang dilumuri harta dunia kerana itu juga sebahagian ujian bagi mereka. Berhentilah membanding kehidupan mereka yang berjaya dengan kehidupan kita yang sederhana.

Cukuplah Allah SWT bagi kita. Cukuplah rahmat dan limpah kurnia Ilahi yang tidak terhitung dengan jari kita. Bersyukurlah dengan lafaz Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment