Sunday, December 29, 2013

Noktah sebuah Penghijrahan



Hijrah satu permulaan..
Hijrah satu pengorbanan..
Hijrah satu perjuangan…

Walaupun lagu ini sudah lama namun setiap kali diputarkan dan dinyanyikan pastinya mengundang airmata kerana teringatkan pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam peristiwa hijrah. Lebih menyedihkan apabila mengenangkan bagaimana umat Islam pada ketika ini semakin lupa pada peristiwa tersebut.

Penghijrahan dalam konteks hidup manusia biasa seperti kita adalah satu frasa di mana kita melakukan perubahan terhadap hidup, diri dan tingkah laku. Ia mungkin boleh dilaksanakan lebih daripada itu. Namun, sering kali kita berpendapat bahawasanya hijrah kita berakhir apabila kita sudah menutup aurat sepenuhnya (jika sebelum ini kita tidak menutup aurat).

Salah. Hijrah adalah satu proses melakukan kebaikan secara berterusan. Mereka yang sebelum ini hidup dengan cara bukan Islam berhijrah ke arah hidup Islamik. Mereka yang sudah hidup secara Islamik memperbaiki lagi cara kehidupan. Dalam erti kata lain, yang jahat berhijrah menjadi baik manakala yang 'sudah baik' menjadi yang lebih baik. Itu konsep hijrah sebenarnya.


Hijrah memerlukan keseragaman daripada setiap sudut kehidupan. Ia tidak berhenti separuh jalan. Andai sudah berjaya berhijrah ke satu tahap, alhamdulillah. Tapi, cubalah untuk meingkatkan penghijrahan setiap hari. Meski kita bertatih namun ia dikira sebagai usaha. Hasilnya mungkin sedikit pada pandangan manusia tetapi kita tidak tahu pada pandangan Ilahi.

Formula sebuah penghijrahan begitu mudah,

kebaikan berkali-kali {Perancangan, sikap} => Hijrah (Infiniti)







Tuesday, December 10, 2013

Indahnya ketenangan itu

Hujan turun mencurah-curah membasahi bumi Sandakan yang selama beberapa waktu ini diselubungi kepanasan dan hawa kering. Walau hujan atau panas mentari ia tetap nikmat Ilahi untuk kita, hamba-hambaNya. Jadi jangan sekali kita mengeluh.

Bukan perihal cuaca yang hendak dikongsikan sebenarnya melainkan kisah bagaimana telinga ini secara tidak sengaja mendengar kuliah ringkas dari sebuah stesen radio. Agaknya itu kuliah harian yang menjadi salah satu program harian stesen radio tersebut. Cuma diri ini tidak pernah mendengarnya.

Tajuknya berbunyi ringkas namun sudah cukup menarik perhatian, 'Indahnya Ketenangan Itu.'

Dalam kita meniti kehidupan seharian, kita terlupa satu nikmat Ilahi yang selalu kita abaikan, ketenangan. Saban waktu kita mengejar masa yang berputar ligat. Entah apa yang diingini. Ke hulu ke hilir menjinjit teknologi mudah alih. Akhirnya terkandas di perhentian sementara dan menggumam,

'Alangkah indahnya jika aku memperolehi ketenangan itu.'

Susahkah hendak mencari hati yang tenang? Tak susah. Kita saja yang selalu leka. Hendak tenang mudah saja. Serahkan diri kepada Allah Taala, tinggalkan dunia yang penuh dengan tipuan dan melangkahlah menuju akhirat.

Rahsianya mudah dan semua orang bisa mendapatkannya tanpa mengira kelulusan, pangkat, rupa paras atau jumlah wang dalam simpanan. Ironinya, meski kita begitu mendambakan nikmat ketenangan tersebut kita masih tetap tidak mahu menggapainya. Pelik kan.

Hati manusia dan sifatnya yang tidak pernah puas terhadap satu perkara memungkinkan kita semakin jauh dari apa yang sebenarnya hati kita mahukan.

Hati perlu diubati terlebih dahulu. Lenyapkanlah ketamakan yang ada dalam hati. Jangan sampai ia bercambah dan bertumbuh dalam jiwa. Masalahnya, sesetengah kita membiarkan hati yang sakit terus menderita sehingga sampai ke tahap yang kronik dan patut dimasukkan ke ICU. Kita sedar dan kita tahu tetapi tetap jua mengabaikan...dan hati terus mati.

Tidak mungkin hati yang sakit bisa memberi ketenangan kepada pemiliknya. Setiap masa saban hari hati yang sakit mencurigai orang lain, mendendami orang lain, menyakiti orang lain lalu hiduplah hati tersebut dalam dunia yang gelap tanpa cahaya.

Semuanya soal hati. Jika hati kita sihat, maka tenanglah ia. Damailah jiwa dan hidup menjadi lebih bahagia. Andai sebaliknya, mintalah hati yang baru dari Allah kerana ia bukan lagi hati kita.

Akhir kalam...segalanya bermula di dalam hati.