Friday, August 9, 2013

Kerana Aku Seorang Islam


Demam hiburan dari negara kecil yang mempersembahkan tarian dan lagu-lagu menyelimuti anak muda termasuk diri ini sendiri. Mungkin pergaulan dengan mereka yang meminati hiburan jenis itu sehingga diri tergelumang sama. Tapi, ya, kita tidak boleh menyalahkan diri sendiri. Setiap kelemahan adalah datang dari dalam diri sendiri.

Disebabkan minat itulah tercetus inspirasi untuk menulis sesuatu berkenaan dengan diri insan yang diminati melalui skrin komputer riba. Satu bab...dua bab...dan idea mati. Entah, tak tahu di mana silapnya padahal keinginan untuk menulis tentang mereka begitu berkobar.

Setiap kali ingin menaip sesuatu hati ini akan bertanya. Bagaimana agaknya hendak mencipta watak seorang bukan Muslim? Tidak tahu. Dari cara bertutur, perwatakan, pakaian, makanan dan seluruh cara hidup mereka. Begitu sukar hendak menggambarkannya walau sudah begitu banyak drama dan filem dari negara tersebut ditonton.

Kesimpulannya begini, kerana diri ini adalah seorang muslim. Mungkin bukan Muslim yang sempurna sifat dan cara hidup Islamnya tetapi sejak kecil telah dididik dan diteladani dengan kehidupan Islam maka secara semulajadinya diri tidak tahu bagaimana cara hidup yang bukan Islam. Secara tidak langsung, walau tetap terdedah dengan budaya asing, diri ini masih tidak memahami cara hidup mereka. Sukar sekali hendak menggambarkan melalui lensa kaca mata sendiri.

Oleh sebab itu, kadang hati bertanya, bagaimana dengan insan lain di luar sana yang mempunyai minat yang sama terhadap hiburan boleh mamahami artis kegemaran mereka? Sehinggakan ada yang sanggup beratur berjam-jam hanya untuk melihat persembahan artis bukan Islam atau menghabiskan duit beratus-ratus hanya disebabkan keinginan terhadap hiburan bergenre sedemikian. Ironinya, manusia yang sama akan menolak dengan hadis atau ayat al-Quran yang diketahui jika diajak untuk melangkah ke masjid atau menderma demi Islam (padahal mereka seorang muslim sejak lahir).

Bukan budaya Islam menjerit-jerit di khalayak ramai. Bukan juga budaya Islam  percampuran antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Terlonjak-lonjak bagai kera terpijak bara api sehingga pagi menjelang dengan meninggalkan setiap amalan wajib dan sunat. Anehnya, mereka dengan rasa tidak tahu malu kepada Allah meminta itu ini kepada-Nya.

Ada seorang fanatik yang melihat, mendengar dan mencari setiap maklumat berkenaan artis asing yang diminati. Minatnya menimbulkan cinta dan kegilaan sampaikan dia mengatakan yang dirinya lebih sanggup menikahi lelaki (artis yang diminatinya itu) daripada seorang ustaz atau tahfiz. Menurutnya (ini adalah perspektif dirinya kerana pernah melalui peristiwa yang bagi dirinya pahit untuk ditelan) ustaz atau tahfiz adalah insan yang tidak boleh dipercayai. Dia menolak andai sang ibu ingin menjodohkan dirinya dengan seorang ustaz. Dia tidak rela.  Lebih suka memilih artis lelaki (bukan Islam) tersebut kerana minat dan kecintaannya.

Islam adalah satu cara hidup. Muslim menyetujui realiti ini namun mengapa masih jua memisahkan Islam dengan cara hidup kita? Berhibur tidak salah. Dalam Islam juga ada hiburan. Walaubagaimanapun perlu ada limitasi bagi segalanya. Letakkan Islam di depan setiap langkah kita. Fikirkanlah pandangan Allah sebelum kita membuat apa-apa percaturan dalam kehidupan kita. Meski kita meminati atau menyintai sesuatu itu letakkanlah hak Allah terlebih dulu kerana Dia-lah yang lebih berhak mendapat perhatian manusia kerdil seperti kita.

Allah mengurniakan kita akal untuk befikir bukan sebagai hiasan diri. Akal kita memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri Muslim. Berfikir sebelum bertindak. Berfikir sebelum berkata. Setiapnya melibatkan akal kita. Jadi, gunakanlah akal untuk mempertimbangkan semula langkah yang pernah kita atur pada hari semalam. Bukan mengenangkan perkara lampau untuk mengutuk diri tetapi bagi memperbaiki diri. Kesilapan lalu masih boleh diperbetulkan andai kita masih mahu membaiki setiap kelemahan. Jangan nyawa sudah berada di tenggorokan baru kita mahu mula berfikir dan memperbetulkan diri. Ianya sudah terlambat kerana Malaikat Maut tidak menunggu walau sesaat untuk mencabut nyawa kita.

“Kerana aku seorang Islam.” Jadikanlah ayat ini sebagai benteng untuk kita agar tidak terus terjerumus dalam lembah hiburan yang melalaikan. Semoga kita beroleh rahmat daripada-Nya. InsyaAllah.