Monday, March 26, 2012

Masih tidak layak

Sepulangnya si adik dari sekolah soalan itu terus diterjah, segera mahukan jawapan. Hm, tahap kesabaran yang kritikal.

"Nak jadi penceramah tak?" soalan berbekas di hati. Penceramah atau motivator untuk satu kem kesedaran yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Ustazahnya mahu mencari penceramah. Syaratnya mudah. Ceramah tentang apa saja yang berkaitan Islam, asalkan mampu membuka hati pelajar-pelajar yang bermasalah.

Berfikir sejenak. Kemudian, jawapan itu diberi.

"Tak mengapalah. Masih tidak layak untuk memperbetulkan orang lain..."

Kesungguhan dan kemahuan itu wujud dalam jiwa. Apa susah hendak memberi ceramah. Hanya cari nota-nota ringkas berkaitan tajuk yang diberi. Lepas itu, bercakaplah sepuasnya asal saja ada sedikit berkaitan agama dan input kesedaran untuk pendengar.

Sama juga kesnya dengan mereka-mereka yang hanya tahu menulis post atau klik share sebarang artikel berkaitan agama di dalam mana-mana laman sosial. Mungkin mereka mahu menyedarkan rakan-rakan lain tetapi soalannya, adakah mereka mengamalkan apa yang dipost dan dishare itu?

Kata orang, jangan hanya tahu berkongsi ilmu tersebut jika si penyampai sendiri tidak mengamalkanilmunya  apa bukti yang hendak ditunjuk kepada pendengarnya?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
'Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.'

Adakah ini yang menjadi pegangan semua orang? Syukurlah, kerana masih ada yang berpegang pada hadis Rasulullah SAW, tapi cubalah tanyakan pada diri kita, apakah ada kesedaran di dalam diri untuk mengamalkan hadis tersebut?

Jangan hanya tahu mengajar sebab walaubagaimanapun pahala mengamalkan pengetahuan agama itu lebih tinggi daripada mengajarkannya. Tapi jangan pula ada ilmu disembunyikan. Itu lagi salah.

Berkongsilah, bersedekahlah walau dengan hanya satu senyuman.

Friday, March 16, 2012

Hinanya sifat manusia

Dunia semakin moden. Sana-sini manusia menggunakan teknologi di dalam setiap urusan. Begitu majunya dunia sehingga banyak perkara tidak lagi menggunakan kekuatan manusia sepenuhnya.

Ironinya, pemikiran manusia masih di takuk yang sama. Seakan tidak pernah berubah walau dunia sekeliling mereka berputar mengikut berputarnya masa. Sifat saling dengki-mendengki dan menindas satu sama lain bagaikan norma kehidupan biasa.

Mungkin manusia sudah lupa bahawa sifat inilah yang pernah menjatuhkan empayar agung satu waktu dulu. Rakyat yang tidak berdaya ditindas oleh golongan pembesar dan mereka yang berkuasa. Di kalangan pembesar pula timbul sifat keraguan dan iri hati terhadap kejayaan yang lain. Lalu bermulalah episod kejatuhan tamadun yang dibina berabad lama. Hancur luluh dalam sekejap mata.

Walau mengetahui hakikat tersebut, manusia masih tidak mahu belajar dari kesilapan yang lalu. Bukankah mereka yang melupakan sejarah bakal mengulanginya semula?


Kesombongan hati

Ia bukan cerita biasa kerana sikap yang ditunjukkan jelas berbeza. Mengapa tidak dibenarkan huluran pertolongan yang ingin diberi? Mengapa perlu wujud alasan tipu bagi menutup kebenaran? Dan pagi itu cerita sebenar terbongkar menghempas dinding pendengaran. Begitu jelik sifat manusia sehingga terungkai kesombongan hatinya.

Buat baik dibalas baik dan buat jahat perlu dibalas dengan kejahatan juga. Itu prinsip yang diagungkan manusia moden pada hari ini. Jika kita baik kepada mereka jadi seharusnya mereka juga membalasnya dengan kebaikan serupa.

Sekali lagi manusia gagal dalam pembelajaran dunia demi akhirat. Belajarlah mencontohi sifat Rasulullah SAW. Jangan hanya tahu melafaz dua kalimah syahadah tetapi penghayatannya tiada. Sejarah dakwah melakarkan bagaimana corak penerimaan penduduk Taif terhadap Rasullah SAW.

Baginda dicerca, dihina malah dilempar dengan batu sehingga berdarah. Lalu Malaikat Jibril AS menawarkan mahu menghempap penduduk Taif dengan sebuah bukit. Jika sifat pemaaf dan penyayang tiada dalam diri Rasulullah SAW sudah tentulah penduduk Taif sudah maut dihempap bukit.

Itu kesabaran yang ditunjuk Rasulullah SAW yang seharusnya kita ikuti. Bukan mengharap karma semata. Allah SWT lebih mengetahui segalanya. Biar Allah SWT yang membalasnya bukan kita manusia yang hina kerana di sebalik hukm Allah SWT tersembunyi hikmah indah.

Buangkanlah. Buangkan sifat hina di dalam diri. Semoga Allah SWT merahmati hidup kita. InsyaAllah....

Thursday, March 15, 2012

Mendamba keredhaan dari-Nya

Meniti laluan masa yang penuh berliku. Kadang kita terjatuh dan mencuba menggapai meminta bantuan. Sungguh ia perit sehingga titis-titis jernih mutiara mengalir di pipi. La tahzan, jangan bersedih kerna sesungguhnya Allah SWT masih ada untuk kita.

Syukur atas nikmat Islam dan iman. Syukur atas setiap helaan nafas yang diberi. Syukur kerna masih mampu menghirup udara segar, memandang kebiruan dan hijaunya alam, dan melakar kisah hidup dalam helaian waktu.

Detik demi detik berlalu. Banyak yang kita lakukan. Pelbagai yang kita rasakan. Namun ketika ditanya ke manakah masa mu terbuang, mengapa tiada jawapan mampu diberi?

Jika Tiada Angin

Jika tiada angin masakan pohon bergoyang. Jika tiada yang membuat aral mustahil tercetusnya khabar angin yang kurang mengenakkan pendengaran ini. Ilmuan pada hari ini lebih bersikap memilih dalam pergaulan mereka. Memilih yang sekufu atau yang lebih tinggi ilmunya dan menjauhi mereka yang dirasakan tidak setaraf dengan ilmu yang mereka miliki. Ini bukan setakat khabar angin yang dibawa dari mulut ke mulut tetapi realiti yang harus dibendung dengan segera.

Manusia sering mengatakan bahawa mereka makhluk Tuhan yang tidak sempurna. Perumpamaan yang sering diulang-ulang. Meniti dari bibir ke bibir. Ironinya, perlakuan tidak melambangkan seperti ayat rendah hati tersebut. Benar, akal mengatakan bahawa ayat itu adalah bukti kerendahan hati. Manusia yang menyedari betapa kurangnya dia dalam kehidupan ini. Tapi hati yang disaluti nafsu membisikkan bahawa dirinya lebih baik daripada insan lain hanya kerana ketinggian ilmunya.

Berdiri megahlah mereka dengan ilmu di dalam dada dan iman yang dianggap lebih tebal daripada orang lain. Di sini wujudlah dan tertanamlah kesombongan dalam jiwa manusia. Lantas, sikap memilih-milih dalam persahabatan dan pergaulan menjadi tunjang kehidupan. Hasilnya, sifat perkauman dalam jalinan silaturrahim.

Memilih bulu


Manusia cenderung memilih dengan siapa mereka berkawan dan bergaul. Harta, pangkat dan kuasa menjadi medan ukuran. Mereka yang tidak berharta dan tidak memiliki apa-apa dipiggir seolah tiada layak mereka dicampuri dan dijadikan sahabat.

Rasulullah SAW bersabda,

"Seorang insan adalah terikut-ikut dengan adat dan kebiasaan sahabatnya, maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat."

~Riwayat At-Tarmizi dan Al-Hakim~

Kita perlu cerewet dalam memilih sahabat atau dengan siapa yang perlu kita bergaul kerana bertemu dengan sahabat yang baik adalah suatu ketenangan jiwa. Sahabat yang baik adalah sahabat yang apabila kita melihat akhirat di dalam dirinya.

Namun begitu, ini bukanlah alasan untuk kita menjauhi orang yang tidak sekufu ilmu dengan kita. Mereka yang lulusan luar negara hanya mahu bersahabat dengan lulusan luar negara juga. Yang mengaji agama hanya mahu bergaul dengan yang seangkatan dengan mereka. Wanita yangbertudung labuh hanya sudi menegur bersapa salam dengan yang berpakaian seperti mereka dan menjeling menjauhi yang lain. Begitukah adab yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW?

Adakah bila didekati mereka yang dianggap kurang ilmunya menjadikan ilmu yang dimilik berkurangan? atau adakah kita bimbang sekiranya bergaul dengan wanita bertudung singkat atau yang 'free hair' maka tudung yang kita pakai akan turut sama menjadi singkat? Jika ilmu ada di dalam dada mengapa perlu takut?


Medan dakwah

Jadikanlah mereka yang kurang ilmunya sebagai tempat untuk kita menginsafi diri. Mereka adalah cubaan dan ujian yang diberi Allah SWT untuk kita. Mereka medan dakwah untuk kita kongsikan ilmu dan sebarkan agama Allah SWT. Perbaikilah jiwa mereka dengan ilmu yang kita miliki.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa ditanya tentang ilmu yang dia ketahui, kemudian dia menyembunyikannya, dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat."

~Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi~

Sampaikanlah ilmu yang bermanfaat walau sedikit yang diketahui dan sampaikanlah walau sepotong ayat. Jangan bersikap sombong dengan ilmu yang dimilik kerna jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT, ilmu manusia hanya ibarat setitik air di lautan.

Usahlah bersikap memilih bulu dalam pergaulan kerana sesungguhnya kesombongan itu adalah pakaian iblis dan kaumnya. Lemparkanlah senyum walau di mana bumi dipijak. 

"Dakwah Islam adalah dakwah yang lengkap yang berlandaskan ilmu, imal dan perjuangan."

~Imam Hassan Al-Banna~