Wednesday, November 7, 2012

Tazkirah untuk diri

Alhamdulillah, syukran kepada Allah SWT dengan izinNya masih ada masa untuk bernafas di muka bumi dan mentadbir segala isi alam. Tenaga yang diberiNya juga membolehkan diri untuk kuat melangkah meneruskan kehidupan yang semakin mencabar dan penuh onak duri. Alhamdulillah atas kurniaan peluang untuk menadah tangan bermohon doa mengharap belas simpatiNya. Sungguh Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Maha Pemurah.

                                         
Cuba renung kembali perjalanan yang dilalui semalam. Penuh derita, tangisan mengiringi langkah yang dihayun. Alam dirasakan gelap tanpa cahaya. Sunyi di hati tetapi jiwa masih menekan agar terus berdoa. Keyakinan dan suluhan harapan mewarnai jiwa yang kusam, semoga doa ini dimakbulkan Ilahi. Namun, nafsu mendesak bertanya, ‘sampai bila harus ditadah tangan meminta? Sehingga sekarang belum nampak hasilnya.’ Jiwa semakin tidak sabar menolak derita lalu diganti dengan bahagia.
Setiap sujud kita berdoa...meminta dan memohon terus-menerus. Tiada kata putus asa. Tapi, setelah beberapa lama berlalu mengapa belum dimakbulkan doa kita? Hati sudah letih bersabar. Jiwa sudah tidak mampu menanggung siksa. Lantas, syaitan mulai membisik halus. Tergoyahlah iman dan hancurlah keyakinan yang akhirnya menjadi butir-butir pasir halus ditiup angin.
Ketika doa dimakbulkan Ilahi kita lupa dan lalai. Kita alpa dari mentadbir syukur melalui hati, lidah dan perbuatan. Syukur hati dengan niat ibadah kerana Allah SWT. Syukur lidah dengan lafaz dan syukur perbuatan dengan solat. Apakah kita sudah melaksanakannya?
Apabila doa tidak dimakbulkan kita menyalahkan Allah SWT. Rasa hampa dan kecewa akhirnya menenggelamkan keyakinan yang kita bina terhadapNya. Tanpa kita tahu sebenarnya diri kita sendirilah yang membuat Allah SWT memperlambatkan perkenan doa yang dipohonkan. Adakah pernah dalam masa seminit kita duduk bermuhasabah diri, mencari dan merenung kesucian hati dan diri?

                                         
Kita abaikan solat demi kerja dan tugas. Kita tinggalkan puasa dengan memberi pelbagai alasan. Kita lupa membayar zakat apatah lagi hendak bersedekah. Kita rela berhibur ke luar negara daripada mengumpul duit untuk haji. Tapi, kita masih mahu berdoa tanpa secebis pun rasa malu terhadap Allah SWT. Betapa hinanya kita sebagai manusia dan hamba.
Bayangkan jika situasi tersebut berlaku dalam hidup yang kita lalui. Kita mahu melalui lebuhraya tetapi tidak mahu membayar tol. Adakah kita akan dibenar untuk memandu pergi begitu saja? Di pasaraya, kita mengambil begitu banyak jenis barangan hingga penuh satu troli tetapi enggan membayar harga barang jualan. Apakah kita akan dibiar pergi begitu saja?
Begitulah halnya situasi kita dengan Allah SWT. Dia suka kita perbanyakkan sujud dan meminta kepadaNYa kerana Dialah Tuhan Yang Maha Kaya dan Memilik Segalanya. Ayuh, sama-sama kita merenung kembali perjalanan hidup yang telah kita lalui. Perbaikilah kesilapan sementara masa masih ada.

No comments:

Post a Comment