Wednesday, October 3, 2012

Sempurnakan Rukuk & Sujud kita


Solat adalah perkara yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. solat merupakan tiang agama. Tanpanya runtuhlah agama yang terpasak di dalam hati. Solat mendekatkan kita kepada Pencipta dan antara tanda cinta kita kepada Ya Rabb. Di dalam solat ada rukuk dan sujud yang perlu dilakukan. Persoalannya, adakah sempurna rukuk dan sujud kita?


Seorang sahabat, Huzaifah, ada melihat seorang lelaki bersolat tetapi tidak sempurna rukuk dan sujudnya. Lantas, beliau pun menegur :
“Kamu sebenarnya tidak solat. Seandainya kamu meninggal dunia, kematian kamu bukan dalam agama fitrah.” 
 (Riwayat Al-Bukhari)

Wah, begitu penting sekali rukuk dan sujud di dalam solat. Mengapa? Salah satu sebabnya adalah kerana ketika rukuk dan sujud lafaz puji-pujian ditujukan untuk Allah SWT.

Maksud bacaan ketika rukuk:
“Maha Suci Allah Yang Maha Besar, serta puji-pujianNya.”

Maksud bacaan ketika sujud:
“Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi (Luhur), serta puji-pujianNya.”

Ayat-ayat ini diulang sebanyak tiga kali. Bagaimana pula yang dikatakan sebagai rukuk dan sujud yang tidak sempurna? Pertama, jika ia dilakukan tanpa tamakninah. Kedua, jika cara melakukannya tidak betul, tidak sama seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

                                        

Ciri rukuk yang sempurna sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah:
  1. Tangan diletakkan ke lutut sambil jari-jari terbuka (seolah-olah menggenggam lutut).
Seorang sahabat Nabi meriwayatkan; ‘ketika rukuk, Baginda menetapkan kedua-dua tapak tangannya di atas lutut sambil membuka jari-jemari Baginda.’ 
(Riwayat Abu Daud)
  1. Belakang badan diluruskan ke depan.
Sahabat Nabi bernama Wabisah bin Ma’bad berkongsi cerita; ‘aku pernah memerhatikan Rasulullah solat. Ketika rukuk, belakang Baginda sama rata saja. Seolah-olahnya jika diletakkan seberkas air pasti tidak tumpah.’ 
 (Riwayat Ibnu Majah)
  1. Kepala diluruskan sejajar dengan kelurusan badan.
Aisyah RA menceritakan; ‘apabila Nabi rukuk, kepala Baginda tidak mendongak ke atas dan tidak juga terperosok ke dalam, tetapi sedang-sedang saja.’ 
 (Riwayat Abu Daud)

Kemudian, ciri sujud yang sempurna adalah seperti berikut:
  1. Tujuh anggota meti dicecahkan ke lantai; muka (dahi dan hidung), kedua-dua tapak tangan, lutut dan tapak kaki (dengan jari-jari kaki dibengkokkan sedikit)

  2. Siku mesti terangkat dan renggang daripada badan. Jangan dicecahkan lengan ke lantai.
Sabda Rasulullah SAW yang bermakud: “Apabila seorang hamba itu ujud, sujudlah bersamanya tujuh anggotanya; wajah, dua tapak tangan, dua lutut dan dua-dua kakinya (dengan jari-jari dibengkokkan sedikit).” 
 (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW turut memperincikan lagi, mafhumnya: “Sempurnakanlah sujudmu. Jangan kamu menghamparkan kedua-dua lengan dan sikumu seperti anjing.”

Tambah Baginda lagi, mafhumnya: “Apabila hendak sujud, tekapkan kedua-dua tanganmu (ke lantai) sambil mengangkat kedua-dua sikumu.” 
 (Hadis Riwayat Muslim)

Kita perlu memastikan sujud yang dilakukan sempurna kerana anggota sujud tidak akan dijilat oleh api neraka ketika di akhirat nanti. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Setelah beberapa ketika penghuni neraka diseksa, Allah mengarahkan malaikat-Nya supaya mengeluarkan ahli neraka yang pernah menyembah Allah. Maka malaikat pun mengeluarkan mereka. Mereka dikenalpasti dengan kesan sujud. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan api menjamah kesan sujud pada badan seorang ahli neraka.” 
 (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah)  


No comments:

Post a Comment