Wednesday, October 17, 2012

Cinta yang sempurna

Cinta itu buta, bak kata madah pujangga yang sering meniti di bibir setiap insan yang sedang dilamun cinta apabila ditanya tentang sikapnya apabila dilamun cinta. Gambaran umum tentang cinta hasil pemerhatian terhadap golongan yang sedang mabuk bercinta. Cinta tidka buta tetapi manusialah yang menjadi buta kerana penangan cinta. Apa saja sanggup dilakukan demi cinta. Sebutlah lautan mana akan sanggup direnangi demi cinta. Katalah gunung yang mana akan sanggup didaki demi cinta dalam hati. Kentut yang busuk boleh jadi harum kerana cinta. Wah, hebatnya penangan cinta manusia.
Berbicara tentang soal cinta tidak akan ada noktahnya. Setiap manusia ada kisah cinta masing-masing. Walau kisah hampir sama namun mereka akan berkata kisah cinta mereka ada uniknya dan lain dari yang lain. Bermakna jika ada berbillion umat manusia yang hidup di muka bumi maka akan wujud berbillion kisah cinta! Itu belum ditanya kepada mereka yang telah meninggalkan dunia.
Namun begitu, dari sejumlah kisah cinta yang dihimpunkan manakah cinta yang benar dan manakah cinta yang palsu? Usah terburu-buru membuat kesimpulan. Jangan menilai cinta melalui permukaannnya kerana apa yang terlihat tidak semestinya benar. Ada cinta yang kelihatan bersih dan suci namun diselaputi kepalsuan sehingga pemujanya terkulai hampa.
Cinta adalah anugerah Ilahi yang tidak ternilai. Lahir dari lubuk hati manusia yang paling dalam. Sejahat-jahat manusia pun pasti akan wujud cinta di hatinya. Juteru itu, cinta menjadi fitrah dalam kehidupan. Dikehendaki dan diingini oleh setiap insan. Walaubagaimanapun, cinta yang tak dilapisi iman bakal menjadi fitnah terbesar yang mampu meruntuhkan sebuah kehidupan.
Cuba imbas kembali kisah Firaun yang hidup di zaman Nabi Musa AS. Firaun mencintai dunia sehingga mengangkat dirinya sendiri sebagai Tuhan. Dia mahu memiliki dunia kerana cintanya. Cinta yang terlalu tebal, padat dan teguh itu membuatkan mata dan hatinya menjadi buta sehingga sanggup menolak ajaran yang disampaikan oleh Nabi Musa AS. Al-hasil dia mati dalam keadaan kufur di Laut Merah.
Begitu juga halnya dengan manusia yang menjadikan cinta sebagai Tuhan mereka. Rela melakukan apa saja demi cinta meski meninggalkan seruan agamanya. Cinta sebegini hanyalah cinta dusta yang patut dan perlu dijauhi.
Bagaimana dengan cinta yang benar? Cinta yang didasari iman? Pernahkah kita membaca atau mendengar kisah tentang kisah Rabiatul Adawiyah? Beliau adalah satu-satunya wanita yang diangkat menjadi wali Allah SWT. Wanita hebat ini sanggup menolak cinta manusia demi memlihara rasa kasih dan cintanya kepada Tuhan Yang Satu. Beliau terlalu takut andai menerima cinta manusia cintanya terhadap Yang Khalik tergoyah dan berbagi dua. Hidup matinya hanya untuk Allah SWT. Rindu kasihnya hanya pada Yang Satu. Itulah nilai cinta yang didasari dengan iman dan takwa.

Imam Al-Ghazali ada berkata;
“Pertama telah ku pandang makhluk yang banyak ini. Maka aku saksikanlah bahawa tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian daripada kekasih itu hanya mendampingi sampai ke sakit yang membawa maut dan sebahagian lagi hanya sampai ke tepi liang kubur. Setelah itu keemuanya pulang dan meninggalkan dia terbaring seorang diri. Tak seorang pun yang turut masuk ke kubur dan menghiburnya di dalamnya. Yang demikian tak ku dapati selain amal yang soleh. Sebab itu maka ku ambil ia menjadi kekasihku, supaya kelak ia menjadi pelita di dalam kubur ku, menghiburkan dan tidak meninggalkan aku seorang diri.”
Daripada kata-kata ini dapat disimpulkan bahawasanya cinta Ilahi yang menuntut amal ibadah kerana-Nya adalah cinta tulus yang benar. Bilamana kita menyintai Allah SWT nescaya akan dibalas dengan nikmat cinta daripada-Nya. Ramai yang mengakui hakikat ini. Ironinya, mereka yang mengakui tidak mengamalkannya di dalam kehidupan. Mereka masih mahu memburu cinta palsu yang diperdagang manusia walaupun Allah SWT sudah membentang cintanya bagi mereka.
“Cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan nafsu semata sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan.”
-Al-Farabi-

Jadi, dimanakah letaknya nilai cinta yang kita milik pada saat ini? Adakah ia menuju ke jalan yang diredhai Ilahi atau sekadar mainan di hati kita? Tepuk dada tanyalah iman. Ayuh, kita sempurnakan iman dengan menyempurnakan cinta kita kepada Ilahi.

                                         

No comments:

Post a Comment