Thursday, March 15, 2012

Jika Tiada Angin

Jika tiada angin masakan pohon bergoyang. Jika tiada yang membuat aral mustahil tercetusnya khabar angin yang kurang mengenakkan pendengaran ini. Ilmuan pada hari ini lebih bersikap memilih dalam pergaulan mereka. Memilih yang sekufu atau yang lebih tinggi ilmunya dan menjauhi mereka yang dirasakan tidak setaraf dengan ilmu yang mereka miliki. Ini bukan setakat khabar angin yang dibawa dari mulut ke mulut tetapi realiti yang harus dibendung dengan segera.

Manusia sering mengatakan bahawa mereka makhluk Tuhan yang tidak sempurna. Perumpamaan yang sering diulang-ulang. Meniti dari bibir ke bibir. Ironinya, perlakuan tidak melambangkan seperti ayat rendah hati tersebut. Benar, akal mengatakan bahawa ayat itu adalah bukti kerendahan hati. Manusia yang menyedari betapa kurangnya dia dalam kehidupan ini. Tapi hati yang disaluti nafsu membisikkan bahawa dirinya lebih baik daripada insan lain hanya kerana ketinggian ilmunya.

Berdiri megahlah mereka dengan ilmu di dalam dada dan iman yang dianggap lebih tebal daripada orang lain. Di sini wujudlah dan tertanamlah kesombongan dalam jiwa manusia. Lantas, sikap memilih-milih dalam persahabatan dan pergaulan menjadi tunjang kehidupan. Hasilnya, sifat perkauman dalam jalinan silaturrahim.

Memilih bulu


Manusia cenderung memilih dengan siapa mereka berkawan dan bergaul. Harta, pangkat dan kuasa menjadi medan ukuran. Mereka yang tidak berharta dan tidak memiliki apa-apa dipiggir seolah tiada layak mereka dicampuri dan dijadikan sahabat.

Rasulullah SAW bersabda,

"Seorang insan adalah terikut-ikut dengan adat dan kebiasaan sahabatnya, maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat."

~Riwayat At-Tarmizi dan Al-Hakim~

Kita perlu cerewet dalam memilih sahabat atau dengan siapa yang perlu kita bergaul kerana bertemu dengan sahabat yang baik adalah suatu ketenangan jiwa. Sahabat yang baik adalah sahabat yang apabila kita melihat akhirat di dalam dirinya.

Namun begitu, ini bukanlah alasan untuk kita menjauhi orang yang tidak sekufu ilmu dengan kita. Mereka yang lulusan luar negara hanya mahu bersahabat dengan lulusan luar negara juga. Yang mengaji agama hanya mahu bergaul dengan yang seangkatan dengan mereka. Wanita yangbertudung labuh hanya sudi menegur bersapa salam dengan yang berpakaian seperti mereka dan menjeling menjauhi yang lain. Begitukah adab yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW?

Adakah bila didekati mereka yang dianggap kurang ilmunya menjadikan ilmu yang dimilik berkurangan? atau adakah kita bimbang sekiranya bergaul dengan wanita bertudung singkat atau yang 'free hair' maka tudung yang kita pakai akan turut sama menjadi singkat? Jika ilmu ada di dalam dada mengapa perlu takut?


Medan dakwah

Jadikanlah mereka yang kurang ilmunya sebagai tempat untuk kita menginsafi diri. Mereka adalah cubaan dan ujian yang diberi Allah SWT untuk kita. Mereka medan dakwah untuk kita kongsikan ilmu dan sebarkan agama Allah SWT. Perbaikilah jiwa mereka dengan ilmu yang kita miliki.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa ditanya tentang ilmu yang dia ketahui, kemudian dia menyembunyikannya, dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat."

~Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi~

Sampaikanlah ilmu yang bermanfaat walau sedikit yang diketahui dan sampaikanlah walau sepotong ayat. Jangan bersikap sombong dengan ilmu yang dimilik kerna jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT, ilmu manusia hanya ibarat setitik air di lautan.

Usahlah bersikap memilih bulu dalam pergaulan kerana sesungguhnya kesombongan itu adalah pakaian iblis dan kaumnya. Lemparkanlah senyum walau di mana bumi dipijak. 

"Dakwah Islam adalah dakwah yang lengkap yang berlandaskan ilmu, imal dan perjuangan."

~Imam Hassan Al-Banna~


2 comments:

  1. Stuju dengan entri ni. Yg kurang ilmu dijauhi, jdi macam mana ngara nak maju, nk tmbah org yg brpengetahuan?

    Mudah2han dpt djdikan panduan dan pringatan utk smua dan diri sndiri.

    ReplyDelete
  2. jka mnusia trus memakai jubah kesmbongan tsebut mka akn btrusanlah sikap sbgini..mnusia..kelemahan itu djadikan alsan...

    ReplyDelete