Friday, March 16, 2012

Hinanya sifat manusia

Dunia semakin moden. Sana-sini manusia menggunakan teknologi di dalam setiap urusan. Begitu majunya dunia sehingga banyak perkara tidak lagi menggunakan kekuatan manusia sepenuhnya.

Ironinya, pemikiran manusia masih di takuk yang sama. Seakan tidak pernah berubah walau dunia sekeliling mereka berputar mengikut berputarnya masa. Sifat saling dengki-mendengki dan menindas satu sama lain bagaikan norma kehidupan biasa.

Mungkin manusia sudah lupa bahawa sifat inilah yang pernah menjatuhkan empayar agung satu waktu dulu. Rakyat yang tidak berdaya ditindas oleh golongan pembesar dan mereka yang berkuasa. Di kalangan pembesar pula timbul sifat keraguan dan iri hati terhadap kejayaan yang lain. Lalu bermulalah episod kejatuhan tamadun yang dibina berabad lama. Hancur luluh dalam sekejap mata.

Walau mengetahui hakikat tersebut, manusia masih tidak mahu belajar dari kesilapan yang lalu. Bukankah mereka yang melupakan sejarah bakal mengulanginya semula?


Kesombongan hati

Ia bukan cerita biasa kerana sikap yang ditunjukkan jelas berbeza. Mengapa tidak dibenarkan huluran pertolongan yang ingin diberi? Mengapa perlu wujud alasan tipu bagi menutup kebenaran? Dan pagi itu cerita sebenar terbongkar menghempas dinding pendengaran. Begitu jelik sifat manusia sehingga terungkai kesombongan hatinya.

Buat baik dibalas baik dan buat jahat perlu dibalas dengan kejahatan juga. Itu prinsip yang diagungkan manusia moden pada hari ini. Jika kita baik kepada mereka jadi seharusnya mereka juga membalasnya dengan kebaikan serupa.

Sekali lagi manusia gagal dalam pembelajaran dunia demi akhirat. Belajarlah mencontohi sifat Rasulullah SAW. Jangan hanya tahu melafaz dua kalimah syahadah tetapi penghayatannya tiada. Sejarah dakwah melakarkan bagaimana corak penerimaan penduduk Taif terhadap Rasullah SAW.

Baginda dicerca, dihina malah dilempar dengan batu sehingga berdarah. Lalu Malaikat Jibril AS menawarkan mahu menghempap penduduk Taif dengan sebuah bukit. Jika sifat pemaaf dan penyayang tiada dalam diri Rasulullah SAW sudah tentulah penduduk Taif sudah maut dihempap bukit.

Itu kesabaran yang ditunjuk Rasulullah SAW yang seharusnya kita ikuti. Bukan mengharap karma semata. Allah SWT lebih mengetahui segalanya. Biar Allah SWT yang membalasnya bukan kita manusia yang hina kerana di sebalik hukm Allah SWT tersembunyi hikmah indah.

Buangkanlah. Buangkan sifat hina di dalam diri. Semoga Allah SWT merahmati hidup kita. InsyaAllah....

2 comments:

  1. Mudah2han kita sama2 buat pengajaran dan ambik nilai suci baginda Rasulullah SAW dlm mnjalani khidupan kita.. InsyaAllah..

    ReplyDelete
  2. insyaAllah..selagik ada cinta utk Rasulullah d dlm hati tentunya kita msih mahu mengikut sunah baginda...sma2la kita berdoa

    ReplyDelete