Friday, February 10, 2012

Awasi kata-kata lidah

Lidah tidak bertulang. Ianya lebih tajam daripada mata pedang jika disalahgunakan. Bisa ketajamannya mampu membunuh puluhan atau ribuan nyawa dalam sehari. Ironinya, walau ramai mengetahui hakikat ini masih juga lalai dalam penyediaan lidah mereka (yakni pengeluaran kata-kata). Ah, bukankah manusia seringkali lupa? Lupa yang sengaja atau tidak disengajakan? Hanya hati yang ada jawapannya.

Perjuangan hidup yang kita lalui setiap hari pastinya akan mempertemukan kita dengan ramai manusia yang berbagai ragam mereka. Ada yang begitu ada yang begini. Ada yang sedap mata memandang dan ada juga yang mampu menimbulkan jelingan kita. Manusia, sekali lagi...tidak begitu sempurna.

Dalam setiap pertemuan ini pernahkah kita terfikir sama ada ketika berselisih bahu kita mungkin mencalar sekeping hati asing yang kita tak ketahui pemiliknya? Atau adakah kita pernah bertindak dengan menjaga lidah kita daripada mengeluarkan kata-kata yang mungkin melukai hati orang yang kita temui dengan atau tanpa niat?

Sebenarnya dalam penyedaran bahawa manusia itu tidak sempurna kita masih menyembunyikan egois di dalam hati. Kita masih berfikir kita yang terbaik sehingga berani mempersendakan kekhilafan orang lain yang berlaku di depan mata dan tanpa malu mempersendakan ketidakmampuan orang lain?

Apakah kemiskinan dan ketidakmampuan orang lain itu alat gurauan? Apakah kamu terlalu sempurna sehingga bertindak sedemikian? Apabila ada yang menegur ketajaman lidah kamu pantas menafi dan berbuat seolah tindakan kamu itu perkara biasa.

Alangkah naifnya. Mungkin di dalam hidup kamu hanya ada kemewahan sehingga bertindak sedemikian. Atau mungkin juga dalam sepanjang hidup kamu belum pernah dimalukan sedemikian. Tapi cuba sesaat beri otak kamu berfikir, sekiranya kamu berada di tempat manusia yang dihina itu apakah perasaan kamu?

1 comment:

  1. Post yang baik dan ckup mngingatkn. Yelah, mnusia ni mudah lupa. Kdang2 trlanjur kata. Mudah-mudahan dapat ambik iktibar skit sbnyak..

    ReplyDelete