Wednesday, February 23, 2011

Malu itu sebahagian Iman

Malu merupakan sifat semulajadi manusia dan ekspresi di sebalik malu itu adalah berbeza bagi setiap orang. Ada yang menutupnya dengan berdiam diri atau ada yang lebih suka bercakap tidak berhenti hanya semata-mata untuk menutup malu.

Ada yang malu kerana suatu kejadian, ada yang malu bila berlakunya peristiwa dan ada juga yang malu kerana manusia lainnya. Walauapapun tutuplah malu itu dengan iman kerana malu juga sebahagian daripada iman.


Imam al-Nawawi dalam kitab Riyadh al-Salihin membicarakan soal malu dalam bab 'Malu, kelebihannya dan anjuran untuk berakhlak dengannya' (bab no.80). Bab ini menyebut tentang empat hadis yang utama berkaitan sifat malu dan kelebihannya. Malah Imam al-Nawawi membuat kesimpulan bahawa, 

"Berkata para ulama, 'Hakikat malu itu ialan suatu akhlak yang membawa kepada sikap meninggalkan yang buruk dan menghalang diri daripada mengabaikan hak kepada yang sepatutnya.'"

Hadis pertama :

Daripada Ibn Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW sedang menasihati suadaranya kerana pemalu, kemudian Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Biarkanlah ia begitu, sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis kedua :

Daripada 'Imran bin Hushain RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Malu itu mendatangkan kebaikan semata-mata." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Hadis ketiga :

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Iman itu mempunyai enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih cabang. Yang utama ialah ucapan "La ilaha illallah" dan yang paling rendah adalah membuang sesuatu gangguan dar jalan. Dan malu adalah sebahagian daripada iman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Hadis keempat :

Daripada Abu Said al-Khudri, beliau berkata, "Rasulullah SAW adalah orang yang sangat pemalu melebihi pemalunya gadis pingitan. Apabila baginda melihat sesuatu yang tidka disukainya maka kami dapat mengetahui melalui wajahnya."



Lihatlah bagaimana perasaan malu yang Allah SWT tiupkan ke dalam hati begitu penting. Namun begitu pada zaman ini malu terkadang dianggap orang yang tidak maju atau tidak moden.

Jika begitu, mengapa ramai yang malu bila keluar dengan menutup aurat, malu bila membuat kebaikan, malu bila belajar ilmu agama dan malu bila tidak berpangkat dan berharta sedangkan rasa malu yang sepatut ada dalam diri dalam malu bila tidak mengikut sunah Rasulullah SAW, malu bila membuat dosa, malu bila terdedahnya aurat dan malu bila membuat kemungkaran.

Memang kita patut punyai rasa malu terhadap manusia lainnya. Tapi malu paling utama adalah malu kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat segala perbuatan kita. 


Tuesday, February 15, 2011

Maulidur Rasul

12 Rabiulawal 
Isnin hari tahun Gajah
Lahirlah seorang insan yang diutus oleh Allah

Nabi Muhammad namanya
Siti Aminah ibunya
Abdullah nama bapanya
Kota Mekah tempat lahirnya

Terbayang di ruang mata sekumpulan anak-anak sedang mendendangkan nasyid pada hari Maulidur Rasul semasa zaman persekolahan dulu. Suasana sangat meriah dengan suara-suara mengingati rasul junjungan kita, Muhammad SAW.

Baginda adalah seorang lelaki mulia yang Allah SWT angkat menjadi rasul bagi seluruh umat manusia di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit. Ajaran yang disampaikan yakni Islam tersebar ke mana-mana dan namanya begitu mulia meniti dari bibir ke bibir.

                                       

Muhammad, ya Rasulullah, hati mu yang ikhlas tidak pernah membanding beza antara umat. Kasih sayang yang kau kurnia bakal menjadi penyelamat di Mahsyar kelak. Namun pernahkah kita tertanya, adakah kita layak untuk menerima syafaat dari Nabi Allah yang mulia?

Seluruh dunia menyebut namanya, seluruh dunia mengaguminya, seluruh dunia mengakui kelembutan hatinya, namun tidak semua mengamal sunahnya. 


                                        

Ikhlas hatinya menawan semua yang mengenali waima yang mengenali melalui sejarah hidup baginda. Ya Rasulullah, tenang jiwa mu membakar semangat perwira agama. Setiap titis perjuangan mu hanya untuk agama Allah SWT.


                                        

Untuk para sahabat di luar sana, marilah sama-sama kita berselawat ke atas nabi junjungan kita. Semoga kita berolah syafaat baginda di akhirat kelak. InsyaAllah.

Tuesday, February 8, 2011

Penggunaan kata 'salam'

* Post ini adalah merujuk kepada nota yang ditulis oleh seseorang di facebook berkenaan penggunaan kata 'salam' (facebook)


Hari ini hati tersentap apabila mendapat teguran dari seorang rakan di facebook. Tapi perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada rakan kita (blackphage) kerana sudi menegur dan memberi pengetahuan tentang penggunaan kata salam. Rasa diri sangat rendah kerana kurangnya pengetahuan agama.

Selepas menerima teguran terus saja mencari kitab tafsir al-Quran dan cari tahu maksud ayat yang disebutkan oleh kawan kita. Ada empat ayat dari empat surah.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Doa mereka di dalamnya ialah : 'Subhanakallahumma', dan salam penghormatan mereka ialah : 'salam'. "  (surah Yunus,  10:10)

Doa yang dimaksudkan di dalam surah ini ialah puja dan puji mereka kepada Allah, 'Subhanakallahumma' adalah doa yang bermaksud Maha suci Engkau, wahai Tuhan kami dan 'salam' bermaksud sejahtera dari segala bencana.

"Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialan 'salam' ; dan Dia menyediakan pahalan yang mulia bagi mereka."   (surah Al-Ahzab, 33:44)

"Akan tetapi mereka mendengar ucapan salam."  (surah Al-Waaqiah, 56:26)

"(kepada mereka dikatakan) ; 'Salam', sebagai ucapan selamat dari Tuhan yang maha penyayang."  (surah Yaasiin, 36:58)

Alhamdulillah, syukur kerana mempunyai sahabat yang sudi menegur pada perkara seumpama itu. Mudah-mudahan kita dijauhi dari fitnah Dajjal.