Friday, October 7, 2011

Solatlah sebelum disolatkan


Dah solat? Soalan yang patut kita tanyakan kepada diri sendiri setiap kali azan berkumandang. Tidak kiralah azan itu dari radio, televisyen atau dari surau dan masjid yang berdekatan. Di zaman yang serba canggih ini agak malu sekiranya rakyat mundur dalam soal agama. Hendak belajar solat pun buku-buku dan video-video sudah berada dipasaran. Hanya perlu kita untuk menghulur tangan membelinya.

Tapi ironinya, walau canggih dan modennya dunia masih tidak dapat menandingi kemajuan dan kemegahan yang dikecapi kerajaan Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat. Sudahnya ramai yang mula memandang enteng hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah SWT. Aneh manusia, sungguh mengerti ketidaksempurnaan mereka tetap juga mahu mempersoalkan perkara yang di luar jangkauan mereka. Hukum hudud misalnya menjadi perdebatan di meja-meja rundingan. Jangan berbicara andai kita tidak tahu hujung pangkalnya. Jangan menghurai jika belum penuh ilmu di dada. Tapi tetap juga mahu menang walau fakta yang dipegang hanya auta semata.

Berbalik soal solat. Hari ini menyinggah ke kedai makanan segera. Ramai pengunjungnya. Penuh sesak sehingga tidak tahu hendak duduk di mana. Ada melayu, cina dan india. Pelbagai kaum. Keunikan Malaysia yang menjadi kebanggan semua. Lalu melabuh punggung di sebelah meja sekumpulan remaja lelaki Melayu.

Hati tertanya sendiri. 'Tidak bersolat jumaatkah mereka? Bukankah hari ini hari jumaat?'

Itu satu cerita. Kisah lain pula di meja yang bertentangan ada tiga orang remaja, dua lelaki dan seorang perempuan. Pelajar sekolah! Dua orang adalah pasangan kekasih dan yang seorang itu mungkin sahabat mereka. Aksi manja-manja yang dipamer menjelikkan mata. Masih di bangku sekolah tapi sudah berani bersikap demikian di hadapan umum. Jika ditanya soal agama pastinya mereka menjawab mereka ISLAM tapi mengapa begitu terang berbuat salah tanpa mengira dosa dan pahala. Bagaimana jika ditanya, sudah solatkah? Entah apa jawapan mereka.

Usia mereka mungkin masih mentah. Masih muda. Tapi ajal tidak mengenal usia. Semuda mana pun jika Allah SWT sudah menetapkan ajal tiada siapa dapat menghalangnya. Walau setua mana pun jika Allah SWT mengizinkan untuk terus hidup masih juga tiada siapa dapat melawan.

Lalu apa yang akan dijawab kepada munkar dan nakir jika soalan solat diajukan? Bolehkah kita menjawab, 'saya masih muda sewaktu dilahirkan jadi masa untuk solat itu tiada.' Maaf, kita bukan bayi baru lahir yang Allah SWT tarik nyawanya yang boleh menjawab '...tiada masa.'

Kita boleh memberikan pelbagai alasan kepada manusia lain sekiranya ingin melepaskan diri tetapi tidak di hadapan Allah SWT kerana Dia mempunyai saksi yang kuat dan sentiasa bercakap benar. Mata, hidung, telinga, tangan, kaki dan setiap anggota kita menjadi saksi amal kebaikan dan dosa keburukan. 

Lantas mampukah kita melepaskan diri lagi? Tidak! Jangan seksa diri dengan perkara yang bakal kita tinggalkan satu hari nanti tetapi berusahalah mengumpul bekal yang perlu kita bawa di akhirat sana. Jangan menunggu tibanya waktu petang jika berada di waktu pagi dan jangan pula menunggu gelapnya malam andai sudah ada terang kesiangan.

Waktu mengalir tanpa menunggu kita. Jadi solatlah sebelum disolatkan!

No comments:

Post a Comment