Monday, September 12, 2011

Manusia semakin alpa

Indahnya suasana bila mana syiar Islam semakin diterima oleh manusia bukan Islam. Ramai yang menerima tangan terbuka tentang kebenaran bahawa hadirnya Islam bukan untuk memusnah tetapi membina dan membaiki kesilapan serta membimbing manusia menuju ke jalan yang diredhai oleh-Nya. Alhamdulillah, lafaz syukur kepada Allah, Tuhan yang menjadikan bumi dan segala isi di dalamnya.

Jika dulu, bila berkata tentang Islam ramai yang beranggapan bahawa Islam itu adalah agama penjenayah yang ingin memusnahkan kehidupan manusia. Muslim digelar 'terrorist' atau 'pengganas' dan wujudlah 'Islamofobia'. Itu pemikiran yang disalur melalui rangkaian media massa sehingga di sesetengah tempat orang Islam tidak dapat bergerak dengan bebas kerana kecaman dan tindakan ganas yang akhirnya membuktikan siapa pengganas sebenar apabila hati mulai berbicara.


Walaupun begitu ketika kita leka menuding jari ke arah orang bukan Islam tentang fitnah yang dilempar terhadap Islam kita sebenarnya terlupa dan tertinggal sesuatu. Bukan salah mereka jika beranggapan Islam itu agama sebegini dan sebegitu kerana di bandar-bandar moden ketika ini lahir manusia-manusia yang mengaku sebagai Islam tetapi perilaku dan cara hidup yang ditonjolkan bukan seperti Islam.

Di mana salahnya? Pada ibu ayah yang mendidik atau pada zaman moden yang sering dibangga-bangga? Contoh paling jelas sudah berlaku di depan mata. Anak-anak lelaki tidak lagi diajar untuk melangkah ke masjid menunaikan solat jumaat dan anak-anak perempuan dilepas bebas mempamer aurat. Itu belum mengungkai perihal tatacara hidup yang diamalkan sehari-hari. Keluar masuk pusat hiburan bagai perkara biasa dan apabila melakukan kesalahan yang jelas salah di sisi hukum agama hanya maaf kepada masyarakat dipersembah bagi mengusir kesalahan mereka dan hak Allah SWT terus diketepikan.



Cerminan tentang Islam itu sebenarnya lahir daripada sikap, sifat dan cara hidup penganutnya. Bila kita lahir sebagai Islam dalam keluarga Islam manfaatnya lebih besar kerana sejak kecil kita boleh dididik dengan nilai-nilai Islam. Tapi apa yang berlaku pada hari ini Muslim hanya hadir dalam nama. hukum Allah SWT diubah suai untuk kepentingan diri sendiri  lalu wujudlah fatwa-fatwa yang lebih kepada memuaskan diri sendiri. Jadi bagaimana orang bukan Islam hendak melihat rupa Islam sebenar?

Tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment