Monday, July 25, 2011

Beribu sesalan

Waktu semalam telah berlalu pergi bersama perginya titisan hujan lalu hari ini ketika sinar mentari mula menerangi dan pelangi muncul memberikan senyuman. Tapi entah kenapa ketika hati masih meraba cuba mencari cahaya yang didamba langit kembali mendung.

Adakah ikhlas di jiwa masih belum cukup sempurna sebagai persembahan kepada yang tercinta lalu kemanisan kasihNya tidak dapat dirasakan lagi? Mengapa begitu mudah hati terpaling dari jalan yang telah ditentukan olehNya? Kenapa ada saja yang menghalang derap langkah ini? Lantas larian bertukar menjadi langkah derap perlahan.

Ya Rabb, ampuni kekhilafan hamba Mu ini. Dalam dambaan cinta dan kasih dari Mu, ada kasih dan sayang lain yang menjengah memalingkan wajah dari terus berada dalam pelukan kasih sayang Mu, Ya Allah...


Manusia, hamba yang dicipta sempurna akal dan anugerah perasaan agar sujud taubat padaNya. Tapi sedarkah manusia pada tugas dan tanggungjawab yang terpikul di pundaknya? Kita sedar, kita tahu namun masih lalai, masih mahu menjadi hipokrit demi bahagia sendiri.

Apakah akal tidak menyedari bahawa Dia tidak pernah tidur, tidak lalai dan Maha Mengetahui yang tersurat dan tersirat, luar dan dalam, zahir dan batin setiap makhluknya. Cinta yang terzahir untuk insan lain sering melalaikan dan menjauhkan kita dari jalan kebenaran. Jalan yang diredhaiNya.

Pernah tangan ditadah dalam gelap malam, airmata menitis ikhlas meminta, esak suara merintih, dan janji terluah pada hamparan sejadah. Namun semua seakan dilupa dalam senyum tawa manusia dan pohonlah keampunan ketika pintu taubat masih terbuka.

Jika cinta adalah kerinduan,maka jadikanlah rindu ini dalam zikir pada-Mu. 
Jika cinta adalah perjuangan,maka kobarkanlah semangat di dada kami. 
Jika cinta adalah pengorbanan,maka jadikan pengorbanan ini tidak sia-sia di sisi-Mu. 
Jika cinta adalah air mata, maka jadikan ia air mata taubat pada-Mu, ya Allah....

No comments:

Post a Comment