Saturday, January 8, 2011

Sebuah cerita untuk dikongsi

Assalamualaikum wadah pembuka untuk penulisan kali ini. Semoga kita masih di bawah lindungan Allah SWT hendaknya, insyaAllah.

Malam yang indah, penghias langit tentunya bintang, bulan dan awan. InsyaAllah semua ini akan menjadi saksi bagi manusia ketika berada di hari pengadilan kelak dan semoga kesaksian itu membantu bukan memburukkan. Ya, segalanya bergantung kepada kita juga. Jika pada malam ini kita berbuat kebaikan maka kemanisan itu kita rasai dan jika sebaliknya maka kepahitan ditelan.

Seusai solat maghrib tadi tiba-tiba ingatan terlempar jauh mengenang dan mengingati sebuah cerita yang pernah dibaca yang entah di mana ya. Sesungguhnya kita hanyalah manusia yang tidak sempurna. Allahuakbar, Allah yang Maha Kuasa, Maha Sempurna.

Cerita yang benar-benar berkesan sebenarnya jika diteladani dan diambil iktibar. Cerita di sebuah desa. Tajuk cerita juga semakin dilupai namun alhamdulillah intinya masih segar.

Ia menceritakan tentang seorang kanak-kanak dan datuknya. Kita namakan saja kanak-kanak itu sebagai Abu dan datuknya, Pak Ali.

Abu adalah seorang anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu bapanya. Maka tinggallah dia dengan datuknya di pinggiran desa. Oleh kerana Pak Ali sudah tua dan tidak mempunyai harta yang banyak, Abu tidak dihantar bersekolah. Namun begitu Pak Ali mahu Abu tahu dan kenal al-Quran. Kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Bagi Pak Ali, tidak mengapa jika Abu tidak pandai menulis, tidak pandai membaca huruf-huruf rumi asalkan Abu tahu membaca dan mengenal al-Quran. Bukankah al-Quran sudah lengkap dengan ilmunya?

Pak Ali mengajar Abu membaca al-Quran setiap hari. Dia mahu cucunya hafiz al-Quran. Tapi terdetik sesuatu di hati Abu. Sekiranya dia hanya tahu membaca al-Quran dan menghafaz tetapi tidak memahami maksudnya, bukankah ia perkara yang sia-sia? Berhari-hari dipendamkan persoalan ini sehingga satu hari dia tidak dapat memendamkan hal tersebut lantas meluahkannya.

Pak Ali hanya tersenyum memandang cucunya. Tiada jawapan diberi sedang Abu mendambakan.

"Baiklah, atuk akan jawab soalan itu kalau kamu berjaya membawa pulang air dari sungai dengan menggunakan bekas itu," tutur Pak Ali sambil menunjuk ke arah sebuah bekas yang tersadai di tepi dinding.

Oleh kerana terlalu gembira dan mengandaikan bahawa tugas yang diberi datuknya itu mudah Abu memberikan persetujuan tanpa berfikir panjang.

Dia menuju ke arah sungai dan memenuhkan bekas tadi. Di pertengahan jalan, Abu mendapati bekas yang diberi datuknya itu bocor. Tapi itu tidak mematikan semangat Abu. Dia kembali ke sungai dan mengisinya semula. Bekas itu kembali kosong di pertengahan jalan. Berulangkali Abu mengulangi perbuatannya sehingga akhirnya dia berputus asa.

"Ah, sia-sia saja datuk. Bekas ini bocor. Tak mungkin Abu dapat mengisi air di dalamnya!" kata Abu. Wajahnya sugul memandang ke arah Pak Ali yang tersenyum.

"Cuba kamu perhatikan di dalam bekas itu. Bukankah sebelum kamu pergi tadi bekas itu kotor dan selepas kamu pulang di dalamnya sudah bersih?" Abu mengiakan.

"Jadi apa yang kamu lakukan tadi tidak sia-sia. Kamu telah membersihkan bekas itu."

"Tapi soalan Abu belum ada jawapannya," kata Abu dengan hampa.

"Abu, walaupun kamu belum mengerti maksud setiap bacaan al-Quran namun kamu sudah boleh menghafaznya. Ia buka perkara yang sia-sia. Setiap kali kamu membacanya maka setiap itu jugalah hati kamu dibersihkan dengannya. InsyaAllah satu hari nanti kamu boleh memahami setiap isi kandungan al-Quran. Tapi mulalah dengan mengenalnya dulu."

Abu faham dan Abu mengerti.

Jadi apakah iktibar yang boleh diperolehi daripada cerita ini? Sama-sama kita fikirkan. Mungkin kamu telah memperolehinya jadi tidak salah untuk dikongsikan bersama.

2 comments:

  1. subhanAllah,,the beauty of al Quran,
    may i share one hadith here,i'm sorry,i forgot the narrator,but it goes like this (au ma qala ,qala Rasulullah PBUH) , "your heart is easily got rusted as metal rusted after having contact with water,to polish it back (your heart),by frequently keep remembrance of death and reciting al Quran" . ;)

    ReplyDelete
  2. sesungguhnya tiada yg dpt menandingi kalam Allah SWT

    ReplyDelete