Friday, January 7, 2011

Laskar Pelangi Memberi Keinsafan

Laskar Pelangi, sebuah filem asli Indonesia. Titik permulaan adalah sebuah novel hasil nukilan Andrea Hirata. Di sini bukan ingin mempromosikan filem ini kerana sudah maklum bahawa filem ini sudah lama ditayangkan malah vcd Laskar Pelangi boleh didapati di mana-mana kedai.


Laskar Pelangi mengisahkan tentang kehidupan di sebuah pulau di Indonesia yang kaya dengan hasil kurniaan Allah SWT namun pedih rakyat di tempat itu tidak dapat merasai sendiri hasilnya. Belitong, daerah Indonesia yang mempunyai kependudukan yang rata-rata miskin dan mundur. Darjat dan harta menjadi titik pemisah antara sekolah.

Di sinilah juga lahirnya SD Muhammadiyah yang mementingkan pelajaran agama dan akhlak bukan setakat pelengkap kurikulum tetapi menjadi nadi bagi murid-muridnya. Walaupun hanya mempunyai 10 orang murid yang lahir daripada keluarga miskin namun murid-murid ini mempunyai kelebihan tersendiri.



Di bawah asuhan Ibu Muslimah dan Pak Hartan, kanak-kanak seperti Haikal, Lintang dan Mahar boleh menjadi manusia yang menyanjung ilmu dan usaha mereka untuk menjadi manusia yang berjaya. Bagi mereka kemiskinan bukan penghalangnya demi ilmu.

Satu layar keinsafan dibuka andai kita memberi penghayatan di setiap susur filem ini. Betapa kehidupan dan alam menghimpit sehingga ilmu begitu susah untuk diperolehi. Tapi itu bukan alasan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Miskin bukan alasan terbaik untuk membunuh cita-cita.


Sesekali cuba bandingkan diri kita, kehidupan kita dengan mereka di sana. Hidup kita sejak lahir sudah dilengkapi dengan air, elektrik, makan, minum dengan selesa namun masih juga terdengar rungutan dari bibir. Kita tidak pernah bersyukur dengan setiap apa yang kita perolehi. Malah ada sesetengah mensia-siakan apa yang mereka ada. Cubalah kita renungkan. Andai kita berada di tempat Lintang, mampukah kita berbasikal jauh hanya semata-mata hendak menimba ilmu? Adakah kita sanggup melalui jalan yang dihuni buaya demi ilmu?

Andai kita berada di tempat kanak-kanak ini, adakah kita mahu diperolokkan oleh orang-orang tentang keadaan diri? Keikhlasan dan keluhuran hati demi ilmu menjadi nadi cerita begitu menyentuh hati. Jangan hanya menonton dengan sepasang mata tetapi lihatlah dengan hati.

Keindahan pelangi sering kita usir pergi
Malah memilih warna-warna kerlipan lampu di kelab malam
Manisnya iman selalu digadaikan
Sedang pangkat dan darjat disanjung tinggi
Maruah bukan lagi perkara yang utama
Harta itulah yang penting dari segalanya

Dunia yang sementara kita kejar
Sedang akhirat yang kekal kita biarkan
Hidup hanya pinjaman
Namun ironinya kita persiakan






No comments:

Post a Comment