Friday, January 28, 2011

Celiknya hati

Sekali lagi bercerita tentang hati bukan tentang perasaan. Hati yang celik mampu melihat walau pandangan mata tidak mampu memandang. Celiknya hati bisa membuat kita sedar bahawa Allah SWT sentiasa hadir bersama kebaikan, bersama kemanisan, bersama kebahagiaan untuk hamba-hambaNya.

Hati yang bersih adalah hati yang celik. Hati yang akan membimbing kita menuju ke jalan yang diredhaiNya. Hati yang akan sentiasa mengingatkan kita agar berpegang teguh pada hukum Allah SWT. 

Hati yang bersih bersifat adil, tegas, takut dan malu. Adil dalam pengadilan, tegas dalam memberi keputusan, takut dan malu pada Tuhannya. Begitulah yang sepatutnya yang ada dalam diri setiap mukmin untuk menjadi pemerintah di bumi Allah SWT.


Adilnya hati akan membimbing kita untuk membuat pilihan terutama dalam kehidupan seharian. Mencelikkan hati bukan suatu perkara yang mudah. Tidak semudah memikirkannya namun tidak juga sesukar yang disangkakan.

Memandu hati ke jalan menuju kebenaran sangat sukar di zaman ini jika dibandingkan dengan zaman Rasulullah SAW dan para sahabat kerana zaman ini penuh pancarobanya, penuh dengan tipu muslihat manusia dan penuh dengan prasangka.

Ramai yang mengaku Islam tapi bangga dengan cara hidup orang bukan Islam. Ramai yang menjadi baik jika inginkan 'kebaikan'. Islam bukan lagi agama yang harus dipertahankan tetapi dipolitikkan. Pelik tapi itulah yang berlaku di zaman ini.


Jika ada yang mengamalkan Islam, orang itu segera ditentang. Dikecam dan dikata yang bukan-bukan. Entah siapa pelakunya. Main batu sembunyi tangan dan pada masa yang sama menjadi musang di tengah-tengah ayam yang kebingungan.

Hati yang buta tidak mampu melihat. Hati yang buta tidak mampu menilai dan hati yang buta juga tidak mampu mengadili kepincangan yang berlaku waima di depan mata sendiri.

Ya Allah, kurniakan kepada ku hati seperti ini....

hati yang sedar
Firman Allah, maksudnya : "Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar), atau yang menggunakan pendengarannya bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya."  (surah Qaf 50:37)

hati yang bersih
Firman Allah, maksudnya : "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)." (surah al-Syams 91:9)

hati yang lurus
Firman Allah, maksudnya (Mereka yang berdoa dengan berkata) : "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya." 
(surah Ali 'Imran 3:8)

...dan Kau peliharalah daripada ku hati ini...

hati yang terhijab (tertutup)
Firman Allah, maksudnya : "Dan antara mereka ada yang memperdengarkan kepadamu (al-Quran), padahal Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, yang menghalang mereka daripada memahaminya, dan Kami jadikan pada telinga mereka penyumbat (yang menjadikan mereka pekak)." 
(surah al-An'am 6:25)

No comments: