Friday, November 26, 2010

Dilema oleh Hijjaz

Lagu ini dipost oleh seorang kawan di dalam facebook. Saat mendengarkannya hati jadi tersentuh kerana ia khusus untuk wanita.

Wanita adalah hiasan dunia dan sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Semoga kita menjadi sebahagian daripadanya. InsyaAllah. Dengarlah dan hayati lirik lagu ini.

Betulkan pemikiran kita

Assalamualaikum wbt, salam pagi penuh barakah. Pagi ini selepas membaca sebuah blog yang sememangnya diikut selama ini minda mula berputar berfikir tentang sikap dan corak pemikiran yang selama ini didukung dibawa ke mana saja.

Hendak tahu blog tersebut boleh klik link ini http://keretamayat.blogspot.com/2010/11/fatwa-kaum-beruk.html

Mungkin ayatnya agak kasar tetapi siapa kita untuk pertikaikan kerana ia hak masing-masing. Tak perlu mengulas tentang penulis dan juga cara penulisannya tapi buka hati buka minda kita memikirkan isi penulisan yang disampaikan.

Fatwa beruk? Ya, memang ramai umat manusia yang di luar sana suka mengeluarkan fatwa jenis itu. Tak perlu mencari jauh. Renung cermin dan lihat orang di hadapan itu juga selalu mengeluarkan 'fatwa beruk' sendiri. Kenapa? kerana mahu menyedapkan hati masing-masing.

Marilah kita sama-sama betulkan pemikiran yang selama ini kita bawa ke hulu hilir. Pemikiran yang bukan saja merosakkan hati dan akal tetapi juga menjauhkan kita dari rahmat Allah SWT.

'Tak semua yang bertudung itu baik.' Pernah dengar ucapan seumpama ini? Tiada salahnya ucapan ini. Betul, tak semua yang bertudung itu baik. Namun jika dibandingkan mereka yang bertudung dengan yang tidak bertudung mereka yang bertudung itu jauh lebih baik bukan. Mereka cuba menutup aurat dan kenapa perlunya ucapan sinis yang hendak menjatuhkan orang lain semata-mata mahu menutup kesalahan sendiri? Sesungguhnya manusia hanyalah hamba Allah SWT yang lemah tidak sempurna.

Niat untuk menutup aurat. Perlukah wujud perkara seperti ini? Menutup aurat itu WAJIB! Tiada kompromi dengan undang-undang yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita. Kita tahu tapi kita abaikan dan mengeluarkan kata-kata penyedap untuk menutup kesalahan yang dibuat. Begitukah? Jangan jadi si bodoh yang bercakap tanpa berfikir.

Menutup aurat atau menutup rambut semata? Teringat satu blog yang pernah dibaca dulu. Maaf tidak dapat menyertakan link di sini. Blog yang ditulis oleh seorang lelaki yang mempersoalkan niat seorang perempuan bertudung. Bertudung untuk menutup aurat atau rambut semata? Bentangkan pandangan ke sekitaran. Ramai yang bertudung. Syukur alhamdulillah. Tapi mengapa dada terdedah? Tudung disingkatkan untuk menutup rambut saja tetapi dada dibentang luas sebagai santapan mata lelaki. Cuba baca syarat-syarat menutup aurat http://dielasunan.blogspot.com/2010/11/syarat-pakaian-muslimah.html dan fikirlah di mana pemikiran kita sebenarnya.

Fikirlah. Jangan hanya kerana berlandaskan alasan 'arus moden dunia' kita meninggalkan apa yang sepatutnya kita miliki. Jangan hanya kerana mahu menutup kesilapan diri kita menutup kebenaran yang tidak dapat disangkal oleh hati kita. Sedarlah bahawa sesungguhnya 'arus moden dunia' yang kita fikirkan sebenarnya adalah zaman jahiliah yang pihak kafir cuba untuk tanam dalam hati kita.

Masih banyak sebenarnya yang boleh dijadikan tajuk perbincangan dan dibetulkan kerana manusia penuh dengan 'fatwa beruk'. Tapi cukuplah setakat ini. Allah SWT kurniakan kita dengan akal. Maka berfikirlah berlandaskan agama bukan nafsu.

Wednesday, November 24, 2010

Syarat pakaian muslimah

Bagi semua muslimah tentunya syarat berpakaian diketahui. Betullah apa yang kamu fikirkan pakaian yang dipakai haruslah menutup aurat seperti mana yang disarankan oleh agama kita. Namun begitu molek sekiranya kita merenung kembali diri kita lewat pantulan cermin dan bertanya, apakah begini pakaian yang seharusnya dipakai sebagai wanita muslim ketika berada di khalayak ramai?


Firman Allah SWT:
"Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan, dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangNya (dan bersyukur)"
(surah Al-A'Raf : 26)

Syarat berpakaian bagi seorang muslimah umum telah mengetahui namun molek juga jika kita renungkan kembali garis panduan sebenar yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita sebagai hambaNya.

1) Pakaian yang dipakai itu haruslah menutup seluruh aurat

    Aurat bagi seorang perempuan merangkumi seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan. Jika berada bersama mahram aurat perempuan hanya sebatas dari pusat hingga ke lutut namun kita dituntut agar berpakain sopan walau dengan siapa pun kita bersama.

2) Pakaian tersebut hendaklah tebal yakni tidak jarang sehingga boleh menampakkan warna kulit
   
Sabda Rasulullah SAW :
    "Ada dua golongan ahli neraka yang daku belum pernah lihat sebelum ini. (Pertama) Lelaki yang mempunyai cemeti seumpama ekor lembu (yang digunakan untuk) memukul orang secara zalim. (Kedua) Segolongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang yang seleweng serta menyelewengkan, di atas kepala mereka seumpama bonggol unta. Mereke tidak akan dapat masuk syurga dan menghidu baunya, sesungguhnya bau syurga itu benar-benar dapat dihidu dari jarak begini dan begini (amat jauh)."
(Riwayat Imam Muslim)

3) Pakaian itu mestilah longgar, lapang atau luas yakni tidak terlalu ketat
   
 Usamah bin Zaid RA telah berkata: Baginda Rasulullah SAW telah memakaikan aku sejenis pakaian yang tebal di mana pakaian itu ialah hadiah daripada Dihyah Al-Kalbi RA kepada baginda. Kemudian aku pakaikan pakaian itu kepada isteriku. Baginda lantas bersabda: "Suruhlah isterimu mengenakan pakaian lain di sebelah dalam kerana khuatir pakaian tersebut menonjolkan bentuk rangka atau tubuhnya."
(HR Imam Ahmad)

4) Pakaian itu tidak dikenakan wangi-wangian

   Ini adalah kerana wangi-wangian boleh menarik perhatian dan menimbulkan fitnah atau godaan kepada lelaki.

Sabda Rasulullah SAW :
  "Seseorang perempuan yang memakai minyak wangi kemudian melalui (melintasi) di hadapan suatu kaum (lelaki) agar mereka menghidu baunya maka ia dianggap umpama berzina. Begitu juga setiap mata yang melihatnya dianggap umpama berzina."
(Riwayat Al-Nasai, Ibn Khuzaimah dan Ibn Habban)
 
5) Pakaian itu bukanlah pakain untuk kemahsyuran dan menarik perhatian (menjolok mata) serta untuk sombong dan takabbur
 
Sabda Rasulullah SAW :
   "Barangsiapa yang memakai pakaian kemahsyuran (untuk mahsyur) di dunia maka Allah SWT memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian Allah SWT membakarnya dengan api neraka."
(Riwayat Imam Ibn Majah)
 
6) Jangan sesuatu yang digunakan untuk menutup aurat itu sendiri merupakan perhiasan
 
   Contohnya, mahkota yang diletakkan di atas kepala dan membuat rambut palsu. Ini adalah kerana kedua-dua pakaian tersebut membawa kepada fitnah atau tergoda oleh pemakainya.
   Rasulullah SAW melarang mengenakan perhiasan kecuali untuk suami di samping memberi amaran kepada perempuan muslimah agar tidak meniru perempuan Yahudi yang berhias untu menarik perhatian lelaki.
 
7) Pakaian tidak menyerupai perempuan kafir
 
  Sabda Rasulullah SAW:
    "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam golongan mereka."
 (Riwayat Abu daud dan Ahmad)
 
    "Tidak termasuk dalam golonganku orang yang menyerupai (meniru) umat lain."
(Riwayat Al-Tarmizi)
 
  Sheikh Atiyyah Saqr berkata : "Saya rasakan syarat ini sudah tidak dihiraukan oleh sebahagian wanita Islam kerana mereka berusaha sedaya upaya untuk memakai pakaian ala barat walaupun harganya mahal. Golongan kafir khususnya telah mencipta fesyen-fesyen pakaian yang menggiurkan agar dibeli dan dipakai oleh perempuan Islam walaupun pakaian itu menampakkan bahagian-bahagian sensitif."
 
8) Pakaian itu tidak menyerupai pakaian yang khusus untuk lelaki
 
   Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai kaum lelaki. (Riwayat Al-Bukhari)
 

Tuesday, November 23, 2010

Kata-kata hikmah Sheikh Abdul Kadir Jailani

kata2 hikmah Sheikh Abdul Kadir Jailani. Semoga menjadi pedoman untuk kita semua, insyaAllah.
1. Apabila kamu bertemu dengan seseorang,maka lihatlah kelebihan yang ada padanya.Dan engkau katakanlah kepada dirimu sendiri,"Mudah-mudahan jadilah dia di sisi Allah lebih baik daripada aku dan semoga Allah mengangkat darjatnya."

2. Sekiranya dia adalah orang yang lebih muda daripada engkau, katakanlah," Dia belum menderhaka kepada Allah.Maka tidak ragu lagi dia lebih baik daripada aku."

3. Sekiranya dia adalah seorang yang lebih tua daripada engkau,maka katakanlah," Dia adalah orang yang lebih dahulu menyembah dan berbakti kepada Allah daripada aku."

4. Sekiranya dia adalah orang alim,maka katakanlah," Dia telah diberikan oleh Allah apa yang aku tidak perolehi dan dia mengetahui apa yang aku tidak tahu."

5. Sekiranya dia adalah seorang yang jahil,maka katakanlah," Dia adalah orang yang menderhaka kepada Allah kerana kejahilannya. Sedangkan aku menderhaka kepada Allah dalam keadaan aku
mengetahui bagaimanakah kesudahanku dan kesudahannya. "

6. Sekiranya dia adalah seorang yang kafir,maka katakanlah," Aku tidak tahu,mungkin akhirnya dia dia memeluk Islam dan mati dalam keadaan Husnul Khatimah dan mungkin aku jadi kafir dan mati dalam keadaan Suul Khatimah."