Thursday, April 22, 2010

Syukur dia mengerti

Rintik hujan turun membasahi bumi yang kian gersang dek bahang kepanasan. Mungkin kepanasan ini petanda bahawa dunia sudah tidak mampu menanggung dosa-dosa hitam manusia yang berTuhankan nafsu dan harapan semoga rintik hujan mampu membasuh pergi segala dosa yang manusia perbuat.

Hampir setiap hari dada akhbar memaparkan cerita yang sama baunya. Bermula dengan khalwat yang dianggap perkara biasa di zaman yang serba moden lalu umat Islam tidak malu segan bermaksiat di khalayak ramai. Konon mahu menunjukkan kepada dunia bahawa diri mereka sedang dilamun cinta dan darah muda ini tidak dapat menahan gelora asmara. Hasilnya tetap sama, anak luar nikah!

Bagaimana ingin membendung masalah yang kian meruncing ini sedangkan di peringkat akar umbi lagi kita sudah mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ibubapa sendiri sudah cukup untuk menjadi titik tumpuan anak-anak tetapi kalau ibubapa sendiri melakukan maksiat jadi bagaimana dengan anak-anak?

Di mana pula tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat? Sebagai kawan? Sebagai guru? Adakah dengan hanya melihat, mengeji dan membenci perkara tersebut kita mampu mengatasinya? Atau adakah dengan hanya membincangkan di meja makan isu tersebut kita mampu membendungnya?

Semalam menjamu makan malam bersama rakan. Rancak bercerita lalu terkeluar soalan tentang hubungan yang terjalin di antara dia dengan seorang lelaki. Jauh di sudut hati kecil ini terselit sedikit kekhuatiran di atas hubungan yang terjalin. Bukan sebab takut lelaki itu mempermainkan dirinya tetapi takut andai keduanya tumpas di tangan nafsu.

Berjauhan dari keluarga akan membuka banyak peluang kepada kita dan diantara peluang-peluang ini tidak semuanya berguna. Andai tersilap memilih jalan maka kita akan tersesat. Sebagai rakan apa yang mampu dilakukan hanyalah menasihati. Terpulang kepada individu tersebut sama ada hendak menerima atau membuang pergi nasihat ini.

Mula-mula takut juga hendak meluahkan apa yang terbuku di sudut hati kecil kerana bimbang pihak sana akan terasa hati dan menganggap niat baik ini sebaliknya. Tapi entah dari mana kekuatan itu tiba dan bibir ini lancar saja menutur bicara lembut.

Menanti reaksi dari dia dan syukur alhamdulillah dia mengerti malah berterima kasih kerana telah menyedarkan dia dari perkara yang dilupakan. Mungkin dia tidak menyedari kesilapan yang dilakukan kerana perasaan yang tertutup dek nafsu dan sebagai rakan yang menjadi kebergantungan di kala jauh dari keluarga hanya ini yang mampu dilakukan. Langkah seterusnya hanya dia yang mampu mengubahnya.

Nafsu begitu mudah menggembleng hati nurani kita supaya mengikut jejaknya. Harus disematkan di dalam sanubari bahawasanya nafsu itu adalah anak didik syaitan yang ditinggalkanya di dalam hati dan untuk melawannya hanya hati kita yang mampu.

Sunday, April 11, 2010

Simposium kepenggunaan Islam

Sebuah simposium anjuran pengguna bumiputera telah berlangsung di dewan kuliah 2 UTHM. Objektif utama adalah untuk mendedahkan pengguna Islam tentang bahayanya makanan dan minuman haram yang disampaikan oleh Dato' Nooh dengan penuh karisma.

Betapa bahayanya makan dan minum daripada sumber yang haram sehingga boleh membawa kepada kemusnahan sebuah institut kekeluargaan. Mungkin ramai yang memandang perkara ini sebagai perkara yang remeh namun dari sinilah sebenarnya punca kepada setiap perkara.

Contohnya dalam kes buang bayi. Mungkin ramai yang menyangkal bahawa penyebab utama kepada masalah ini adalah makanan dan minuman. Makanan dan minuman yang ditelan akan menjadi darah dan daging. Apabila yang ditelan itu bukan daripada sumber yang halal maka ia akan membawa kita ke jalan yang salah.

Begitu juga dengan doa yang kita pohonkan selama ini. Sekiranya selama ini kita menelan makanan dan minuman dari sumber yang salah insyaAllah doa yang dipohon tidak akan dimakbulkan. Mustahil Allah akan memperkenankan doa kita seandainya daging tubuh diselaputi daging haram.

Hidayah dan taufiq tidak akan bercampur dengan daging yang haram. Hidayah hanya akan bercampur dengan daging yang bersih. InsyaAllah sekiranya kita menyelaputi daging tubuh kita dengan daging yang bersih jadi tidak mustahil hidup kita akan menjadi tenang.

Suka kiranya di sini dikongsi bersama sebuah cerita tentang seorang ahli korporat yang berjaya. Hidupnya walaupun dilimpahi dengan kemewahan namun keluarganya bagai seharmoni keluarga lain. Isteri dan anaknya langsung tidak menghormatinya seolah dia tidak wujud bagi mereka.

Ahli korporat ini telah meminta nasihat daripada seorang ustaz dan dia mengaku tidak menjadi pemimpin yang baik kerana selama ini dia sendiri tidak pernah menunaikan solat apatah lagi ahli keluarganya. Dia juga mengaku selama ini tidak pernah menunaikan zakat.

Ustaz ini akhirnya telah menasihati ahli korporat berkenaan supaya melakukan tiga perkara. Pertama, bawa keluarga untuk menunaikan solat. Kedua, tunaikan zakat. Ketiga, berbuat baik kepada kedua orang tua dan ahli keluarga yang terdekat.

Kesimpulannya jadilah manusia itu yang sentiasa mendahului hak Allah dalam setiap perkara. Pastikan apa yang kita makan dan minum itu daripada sumber yang halal dan bersih.

Friday, April 9, 2010

Jauh dari landasan untuk sekali lagi

Sekali lagi diri ini jatuh dari landasan sebenar. Iman senipis atau mungkin lebih tipis daripada kulit bawang ini dikocak nafsu yang satu dari sembilan. Keinginan untuk kelihatan seperti gadis yang lain telah membuat diri lupa akan perkara yang selama ini ingin diraih.

Mustahil akan diberkati doa yang dipinta selama ini andai arahan semudah itu tidak dapat dilakukan. MasyaAllah, rendahnya maruah di ketika itu.
Bukan tidak tahu atau lupa tetapi keinginan itu mengatasi segalanya lalu sekali lagi…ya sekali lagi doa itu dikotori…impian itu dirobek.

Begitu mudah hati ini terjerat dengan nafsu dan dikala malam menjelma dosa yang dilakukan disesali. Beginikah lumrah yang ingin dilalui saban hari? Bila berkeinginan maka laranganNya dipinggirkan dan bila ingin meminta maka berpura-pura untuk menagih simpati Nya berjanji untuk tidak mengulangi seakan Allah tidak melihat apa yang tersirat di hati selama ini.
Insan lemah ini perlukan pembimbing untuk bersama melangkah mencari keredhaan Ilahi. Ada yang ditemui tetapi dia telah meminggir jauh kerana takdir tertulis begitu.

Di hati ini tersimpul impian yang terpendam jauh ke dasar. Entah bila akan tertunainya impian jika setiap detik nafsu tidak mampu ditangani.