Thursday, March 25, 2010

Terus mencari

Dalam keadaan yang masih longlai penulisan ini diteruskan. Kesakitan yang dialami ditahan sedayanya. Bukan kesakitan biasa. Ini penyakit yang diperolehi semenjak bergelar gadis. Hanya seorang wanita yang biasa memahaminya.

Pernahkah merasai kehilangan? Bukan kehilangan biasa. Kehilangan yang kita sendiri tidak tahu apa benda yang hilang. Terus mencari walau hati menegaskan supaya mencari dulu 'benda' itu.

Suatu ketika kita hanyut dalam mengejar impian dan cita-cita sehingga tidak sedar bahawa kita telah kehilangan sesuatau yang kita miliki dahulu. Ibaratnya yang dikejar tak dapat tapi yang dikendong berciciran.

Lumrah kehidupan, menempuhi saat-saat kesukaran dan selepasnya baru merasai kebahagiaan. Tapi dalam kebahagiaan kita justeru lupa saat kesukaran. Tidak mengambil pengajaran daripadanya lantas menghapuskan terus memori kesukaran itu dari dalam ruang ingatan. Begitukah yang sepatutnya berlaku?

Kesukaran, musibah, dan segala macam bencana adalah ujian yang harus ditempuhi. Itu yang menjadi pegangan kita. Namun kebahagiaan, kejayaan dan seumpamanya juga adalah ujian. Jangan takbur dengan apa yang kita miliki hari ini kerana dalam sekelip mata segalanya akan ditarik kembali dari kita.

Teruskan mencari keredhaannya dan insyaAllah akan kita temui dalam hati.

Friday, March 19, 2010

Airmata yang tumpah

Hati tersentuh saat menonton filem itu. Mungkin kehebatan barisan para pelakonnya berjaya menambat sang hati.Namun yang pasti mesej yang cuba disampaikan benar-benar membuat airmata jatuh berlinangan.



Ketika Cinta Bertasbih(KCB) membuat hati terasa gundah dan mulai merindui mereka yang berada jauh di mata namun sentiasa mengisi ruang kosong hati kecil ini.

KCB mengisahkan tentang dua insan yang menyimpan perasaan di antara satu sama lain tetapi terpaksa menyembunyikan perasaan sebenar kerana masih menjaga maruah diri dan demi cinta kepada Allah. Keduanya redha andai itu bukan takdir mereka. Lantas keduanya terus memendam perasaan dan menerima jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk mereka.

Mesej yang cuba disampaikan sangat jelas yakni cinta agung hanya pada Allah s.w.t. Cinta kepada manusia hanya membawa kebinasaan dan nafsu akan memandu ke arah jalan mungkar andai tidak bisa dijinakkan.

Selain itu,kasih sayang yang terjalin di antara ahli keluarga dan perasaan hormat menghormati tidak kira pangkat dan kedudukan. Islam sangat indah digambarkan dan bagaimana watak menerima musibah yang menimpa dirinya menyelitkan perasaan cemburu.



Mampukah diri ini menjadi seperti Anna yang mencintai seorang lelaki kerana Allah?? Atau mampukah menjadi seperti Azzam yang menyayangi orang tuanya tanpa batas??

Menitis airmata melihat bagaimana rasa cinta dan sayang seorang anak kepada orang tuanya. Tanpa dipinta tangan ditadah memohon keredhaan untuk kedua orang tua yang disayangi.

"Ampuni mereka ya Allah, kasihani mereka ya Allah, cintai mereka ya Allah seperti mana mereka mengampuni setiap kesilapan ku, mengasihani ku dan mencintai aku sedari kecil lagi"

Wednesday, March 17, 2010

Takbur si Gadis


Meja hati menyaksikan bagaimana wajah yang sepatutnya diselaputi dengan kelembutan dilumuri nurani yang begitu busuk.

Pepatah ada menyebut, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar kerana dinding dan pintu ada telinga.

Apa saja yang kau luahkan walau tanpa ada niat di hati tetap akan memberi impak ke atas sesiapa yang mendengar. Jadi berfikir sebelum berkata ingat sebelum mengata.

Kita dikurniakan mulut untuk meluahkan pandangan menafsirkan luahan tetapi bukan untuk menjadi seperti si pinochio yang suka mengeluarkan kata-kata yang berbaur kesombongan tentang apa yang dimilikinya.



Bagaikan tidak percaya di saat gegendang telinga dijamah dengan suara aneh milik seorang yang entah dikata sebagai siapa. Hubungan perkenalan mungkin boleh diberikan pada tali ikatan ini tetapi talian perkenalan ini tidak mampu menghalangnya daripada memberikan pandangan yang kurang enak.

Apa hebat sangatkah dirimu sehinggakan teman meminta pertolongan kepada mu dan kau tegar membantunya tetapi bantuan itu kau susuli dengan kata-kata berbaur takbur di belakangnya?

Mengucap dan ingat bahawa walau tiada niat di hati kecil mu itu tetapi sekali kau melafazkan kata yang mampu menggores perasaan maka kau dikira berdosa ke atas perkara tersebut.

Tiada yang lebih hebat lebih berkuasa dan Maha Bijaksana melainkan Allah s.w.t dan kita hanya insan kerdil penuh hina ini masih tidak sedar dengan kesilapan sendiri masih mahu mengangkat darjat sendiri. Alangkah malunya.

Sunday, March 7, 2010

Zina hati

Seringkali diri ini diingatkan agar menjaga peradaban. Mungkin tidak sesempurna mana kerana diri ini hanya makhluk Allah s.w.t yang mustahil akan menjadi sempurna tetapi diri mencuba untuk menjurus ke arah itu dan impian yang digalas dipenuhi pelbagai dugaan yang hebat.

Pertama-tama yang ingin dilakukan adalah menjauhi zina. Ini sesuai dengan firman Allah yang bermaksud,
"Dan janganlah kalian mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan"
(Surah al-Israk: 32).
dan firman Allah yang menegah kita untuk tidak melakukan zina bahkan mendekatinya juga tidak boleh.

Jadi berdasarkan firman inilah diri memegang prinsip supaya tidak menjerumuskan diri ke dalam perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina.



Perkara pertama yang dilakukan adalah untuk tidak menjejakkan kaki ke dalam panggung wayang walau apa pun alasannya. Ajakan teman-teman sering ditolak demi menjaga garisan yang telah dicipta sendiri kerana panggung wayang boleh membawa diri kita kepada zina.

Bagaimana? Begini, panggung wayang itu zahirnya akan digelapkan untuk memberi keselesaan kepada penonton. Tahukah bahawa tempat-tempat seperti itulah yang digemari syaitan durjana dan di situlah bermulanya kemaksiatan yang ditegah itu.

Walaupun berfikiran dan berprinsip demikian, tetapi diri tetap tidak dapat lari dari membuat kesilapan. Kesilapan tersebut berkaitan dengan tajuk di atas, 'Zina Hati'.

Zina boleh dibahagikan kepada zina mata, zina telinga, zina mulut dan zina hati selain zina yang sesungguhnya. Bahagian-bahagian zina ini adalah zina kecil yang memandu manusia ke jalan kemaksiatan.

"Zina mata dengan melihat, kedua telinga zinanya mendengar, lidah zinanya bercakap, tangan zinanya berpegangan, kaki zinanya melangkah dan hati yang berhasrat, membayangi,dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kemaluan alat sulit kelamin atau digagalkannya." (HR Bukhari).
Rujukan:Kitab Riyadhus Solihin dalam Bab larangan melihat Wanita.



Beri tumpuan pada zina hati. Zina hati berlaku apabila wujudnya perasaan di dalam hati yang mendorong kepada zina.

Contoh yang lebih baik yang diambil dari kisah hidup sendiri adalah apabila wujudnya perhubungan di antara dua orang lelaki dan perempuan melalui alam dunia tanpa sempadan. Walaupun tidak pernah bersua muka tetapi kehadiran sms atau ayat-ayat si dia di paparan skrin sudah cukup membuat hatii tidak keruan dan akal mula membayangkan. Di sinilah tercetusnya perkara yang disebut sebagai zina hati. Jadi berhati-hati dengan soal kehidupan mu.

Perasaan minat juga boleh membawa kita kepada zina hati. Ia boleh jika kita minat padanya sehingga kita terbayang2 pada minda, ataupun kelopak mata kita. Inilah yang ditafsirkan oleh hadis tadi sebagai membayangi. Membayangkan seseorang yang kita minat pada otak akan membawa kepada benda yang lebih melarat. Lebih2 lagi jika kita membayangi aurat si dia. Lalu, itu secara jelasnya termasuk dalam zina hati. ianya adalah HARAM dan dilarang keras dalam Islam.

(rujukan: Minhajul 'Abidin karya Imam Ghazali dan Hikam ibnu 'Atoillah)



Tapi Islam tidak melarang kita untuk berhenti daripada meminati atau menyukai kerana sudah fitrah manusia yang ingin hidupnya disayangi dan menyayangi. Perasaan minat dan suka tidak dapat dikawal kerana ia boleh meudaratkan orang lain dan diri sendiri. Memiliki perasaan seumpama itu tidak salah tetapi perbuatan hasil perasaan itulah yang salah sekiranya dipandu ke jalan yang salah.

Monday, March 1, 2010

Jalan yang itu atau yang ini?

Sekali lagi melalui jalan sepi di dalam hidup ini. Sepertinya ada yang kurang tetapi apa? Hati berbisik kecil menyuarakan hasrat yang dipendam jauh di dasar. Apakah harus diteruskan hidup dengan kesepian ini demi mereka yang dicintai?

Jalan mana yang harus ditempuhi setelah sekian lama baru disedari bahawa jalan yang ini bukan menghala ke arah impian tetapi membawa ke suatu tempat yang tidak pernah difikirkan.

Bermula di saat itu, mungkin patut kembali ke masa lalu agar kesilapan ini mampu diperbetulkan tapi ia tidak semudah itu. Soalan gadis remaja tujuh tahun lepas menghantui mengekori mengiringi langkah yang kelam.

'Pilihan mana yang lebih tepat? Di kiri ini impian yang selama diinginkan dan di kanan pula masa depan yang lebih cerah.'

Akhirnya dia memilih jalan di kanan walau dia tahu untuk berpaling semula adalah mustahil. Impian yang disemai akhirnya mati tanpa baja dan air siraman.

Tujuh tahun dia menyemai kepercayaan bahawa diri mampu dan boleh mengukir semula senyuman seperti dulu tetapi hampa. Tujuh tahun dia dengan rasa yang sukar dimngertikan ini dan setalah tujuh tahun melalui jalan yang sama akhirnya kaki tidak mampu melangkah lagi.