Sunday, January 17, 2010

A.I.A { Ayah, Ibu, Anak}


Sayang seorang ayah, kasih seorang ibu, cinta anak-anak...gabungan semua ini pasti melahirkan keluarga yang cemerlang gemilang dan terbilang. Namun, itu Cuma impian…Cuma mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan.

Kenapa? Bukankah tiada apa yang mustahil melainkan Allah berkehendakkannya menjadi begitu? Di dunia yang serba moden ini manusia semakin gemilang dengan ceritera dunia mereka yang tercipta atas nama kepentingan diri sendiri.

Jika dulu, urusan rumah tangga diletakkan sepenuhnya di atas batu jemala seorang wanita yang bergelar isteri. Segala urusan rasmi berkaitan anak-anak, penjagaan rumah dan keprihatinan terhadap keluarga adalah tanggungjawab isteri. Tapi dunia semakin moden dan menuju ke arah kemodenan. Wanita tidak lagi terperangkap dalam dunia 'rumah tangga' mereka tetapi sudah maju selangkah dan berdiri setanding dengan suami mereka.

Apakah ini suatu yang baik atau membawa kita ke arah kemunduran? Cuba renungkan dengan mata bukan dengan keegoaan. Jika ditanya hal berkaitan dengan anak-anak dengan mudah jawapan diberi,

"I ada pembantu rumah, so biarlah dia yang uruskan"

Ada juga yang memberi jawapan serupa ini,

"Anak? Oh no, I ada kerjaya so soal anak tak penting ok. Kerjaya I lebih penting"

Jadi di mana silapnya? Wanita tidak lagi dilimpahi dengan kelembutan tetapi dilumuri kekasaran sehingga ada yang menongkah arus dengan mengubah sesuatu yang azali. Beginikah akhirnya?

Lain pula halnya dengan lelaki. Bagi mereka tanggungjawab hanyalah mencari rezeki tanpa perlu mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga. Kerja…kerja..kerja…dan akhirnya keluarga menjadi elemen kedua penting dalam hidupnya. Ada yang lebih parah sehingga mengabaikan langsung tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak-anak. Seorang lelaki yang diberi mandat sebagai seorang suami tugasnya bukan hanya keluar bekerja mencari rezeki tetapi juga memegang amanah mendidik anak-anak dan memimpin keluarga menuju kemakmuran.



Lalu, apakah tindakan mu wahai para suami? Mengabaikan atau menjadi pemimpin keluarga yang berjaya? Jangan terlalu taksub dengan kerjaya kerana ia pasti membunuh hubungan antara kau dan keluarga.

Anak..tanggungjawabnya mudah iaitu untuk belajar dan membantu keluarga di mana mereka diperlukan. Tugas seorang anak tidak berakhir selepas meningkat dewasa, berkahwin dan punyai keluarga sendiri. Tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa berakhir sehingga nafas terakhir.

Walaupun kedua ibubapa telah tiada namun doa dari anak yang soleh tetap diperlukan. Itu tanggungjawab kita sebagai anak. Namun, bukan begini yang berlaku walaupun ini yang diharapkan oleh kita.



Paling ketara anak-anak semakin mengabaikan tanggungjawab mereka. Mentang-mentang sudah bekeluarga maka kedua ibubapa dibuang ke rumah orang-orang tua. Melawat sekali dalam setahun dengan alasan mereka sibuk dengan kerja tetapi ada pula masa hendak berfoya-foya ke luar negara. Sebab itulah wujudnya peribahasa, seorang ibu atau ayah mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seoang ibu atau ayah.

Konklusinya, kehidupan bekeluarga hari ini tidak sama dengan hari semalam. Tanggungjawab sebagai individu mudah saja, jadilah ayah…ibu..dan anak yang baik untuk keluarga.

Friday, January 15, 2010

Penuhkan Impian


Semua orang mempunyai cita-cita dan impian masing-masing. Perlu diingatkan di sini kepada sesiapa yang masih tidak sedar. Impian dan cita-cita adalah dua perkara yang berbeza. Bagaimana hendak membezakannya?

Begini, cita-cita adalah perkara yang ingin kamu capai agar kehidupan menjadi lebih baik di masa akan datang. Contohnya, cita-cita seorang kanak-kanak yang mahu menjadi seorang saintis di masa akan datang dan untuk memenuhi cita-cita tersebut dia sedar dia perlu bekerja keras dalam pelajarannya.

Berbeza dengan impian. Impian adalah sesuatu yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Untuk mendapatkannya bukan semudah ABC dan tidak juga sesusah 123. Apa yang penting dalam mencapai impian adalah doa kerana impian hanya dapat dicapai dengan izin Allah s.w.t.



Impian biasanya berkaitan dengan kehidupan. Impian selalunya melibatkan persekitaran dan impian menjadi mimpi yang belum tentu menjadi realiti.

Memenuhi impian tidak cukup dengan angan-angan. Kita mahukan sesuatu dan ada harga yang kita perlu bayar untuk itu kerana tiada benda dalam dunia ini yang kita dapat secara percuma.

Kebanyakan orang beranggapan dengan bekerja keras kita dapt memenuhi impian kita. Impian itu dapt dicapai sekiranya impian yang tertulis di hati itu untuk memiliki harta segunung. Bekerja keraslah dan impian mu mungkin dapat dicapai.

Namun bagaimana pula yang mempunyai impian untuk memiliki sebuah keluarga bahagia. Takkanlah dia perlu bekerja keras sepanjang hidupnya? Mari kita fikirkan bersama.



Sebenarnya, cara untuk menggapai impian mudah saja. Malah kita sudah ada jalan menuju ke arah impian tersebut sebaik impian tertanam di dalam hati. Siapa yang tahu caranya hanya diri sendiri jadi tepuk dada tanya selera.

~Teruskan berimpian~

Thursday, January 14, 2010

Harga menghargai

Lumrah kehidupan seorang manusia…gajah depan mata tak nampak tetapi kuman di seberang laut juga yang dia nak tengok. Provokasi sebagai alu-aluan menyambut kehadiran tahun baru 2010.

Maksud yang disimpulkan daripada peribahasa ini adalah manusia biasanya tidak memandang apa yang dimilikinya sekarang tetapi lebih suka melihat apa yang orang lain miliki dan berharap untuk memilikinya juga tanpa sedar dia sebenarnya memiliki benda yang lebih baik. Mungkin maksud ini lari dari maksud sebenar peribahasa tetapi biarlah dan biarkan kita berfikir mengikut kemahuan hati sendiri.

Bukan hendak mengata sesiapa tetapi lebih kepada mengingatkan diri juga agar menghargai apa yang dimiliki sekarang dan tidak hanya bermimpi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin dimiliki.



Perkara paling utama yang selalu dilupakan adalah berkaitan masa. Jika dulu selalu juga buat schedule supaya masa tidak terbazir begitu saja. Tapi semakin melangkah ke alam dewasa semakin malas rasanya hendak membuat jadual waima untuk kegunaan sendiri.

Walaubagaimana pun kita harus sedar sekiranya tidak merancang masa dengan baik maka kita akan menjadi manusia yang sangat rugi kerana setiap masa yang kita lalui takkan dapat diulang semula melainkan para saintis berjaya mencipta mesin masa yang sangat canggih sehingga kita dapat ke masa lampau dan perkara itu adalah sangat mustahil untuk terjadi.

Seseorang pernah berkata, pepatah arab ada mengatakan, masa ibarat pedang dan ianya perlu ditentang jika tidak kita akan dibunuhnya.



Selain masa, keluarga adalah elemen terpenting di dalam hidup setiap individu. Siapa di dalam dunia ini tidak menginginkan keluarga yang bahagia? Namun ada saja yang tidak kena dengan keluarga kita kan. Sebab yang lebih mudah adalah tiada manusia yang sempurna dan manusia pula sudah nalurinya mahukan kehidupan masing-masing sempurna.

Jangan terlalu berharap kerana kita tetap mempunyai kekurangan dan disebabkan itulah manusia dicipta untuk saling melengkapi satu sama lain. Hargailah keluarga yang ada di sisi kita sekarang kerana esok mungkin kita tidak dapat bersama dengan mereka lagi. Terima buruk dan baik ahli keluarga kita.

Sayangi yang muda dan hormati yang tua agar keluarga harmoni dapat dibentuk. Hargai mereka yang ada di sekitar kita kerana kita sendiri tidak pasti atau lebih tepat tidak tahu selama mana Allah memberi kita peluang untuk bersama dengan ahli keluarga.

Mungkin esok atau lusa, atau mungkin juga lima minit selepas bersama dengan ayah dan ibu kita akhirnya kehilangan mereka untuk selamanya. Pergi yang takkan kembali sangat menyakitkan. Walau menangis airmata darah sekalipun masa tidak akan dapat berputar dan kita tidak akan dapat menemui insan kesayangan kita lagi.

Kasih sayang, cinta dan persahabatan adlah bahan perasa yang mengindahkan hidup kita. namun ceria hari ini tidak membawa makna kita akan ceria sehingga ke akhirnya. Ketawa saat ini tidak bermaksud kita tidak akan menangis di minit yang seterusnya. oleh itu, ketawalah selagi kita punyai waktu dan di ketika airmata membasahi pipi jangan pla kita menyalahkan takdir. Ketawa pasangannya tangisan dan gembira pasangannya kesedihan.

Kesimpulannya, jadilah manusia yang menghargai setiap yang ada di depan mata. Kehilangan setiap saat tidak memungkinkan kita untuk mendapatkannya semula.

Tuesday, January 5, 2010

Ikhlaskah aku?


Ikhlas sungguh hati ku ikhlas…antara lirik lagu yang mengingatkan diri bahawa dalam apa jua yang kita lakukan harus wujud keikhlasan di dalam hati.
Ikhlas bermakna kita tidak perlu mengungkit tentang apa yang akan, sedang, dan telah kita lakukan kerana ia hanya akan menyebabkan kita menghasilkan pekerjaan yang kurang memuaskan.

Percaya atau tidak jika kita membuka sedikit pendengaran dan pandangan pasti akan kelihatan dan kedengaran suara-suara sumbang di kiri kanan.
Mengapa perlu mempersoalkan apa yang menjadi tanggungjawab kita?

Si pekerja merungut tentang tugas berlambak yang diserahkan kepadanya.
Si pelajar merungut tentang tugas persekolahan yang dipikulnya.
Si anak merungut tentang amanah orang tua mereka.

Hari demi hari…rungutan demi rungutan dan hasil yang diperolehi apa? Tiada apa-apa…Cuma sedikit rasa marah yang masih bersisa dan perasaan tidak puas hati terus bergolak ingin meluncur keluar dari bibir tetapi status diri menghalang.


Manusia hidup atas kebergantungan terhadap manusia lainnya. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu hidup selamanya berseorangan. Dia pasti memerlukan seseorang untuk membantunya dan bersama-samanya menunaikan tanggungjawab. Mungkin hari ini insan di sebelah memerlukan pertolongan dari kita dan esok atau pun lusa tak siapa tahu kita mungkin memerlukan khidmat mereka pula.

Sekiranya kita memberikan pertolongan dengan rasa berat hati dan tidak membantu seikhlas kita pastinya orang lain juga berbuat demikian terhadap kita pula. Ini dinamakan balasan. Apa yang kita beri pasti akan kita terima kembali (what you give you get it back).

Jika kita memberikan yang terbaik sudah tentu di masa akan datang orang lain pun memberikan hasil yang terbaik kepada kita. Sudah begitu kehendak alam.

Namun walaupun mengetahui ini masih wujud di dalam hati perasaan tidak puas hati dan rasa memberontak. Persoalan yang sering menjadi alasan kita,

"mengapa aku? Mengapa tidak dia yang melakukan pekerjaan ini? Sedari tadi asyik aku saja yang bekerja dan dia pula goyang kaki."


Cuba positifkan diri. Mungkin kerana kita saja yang mampu melakukan pekerjaan tersebut dan kita saja yang mendapat kepercayaan maka kepada kita diserahkan tugas tersebut. Allah Maha Melihat dan Dia tidak akan membiarkan hamba-hambaNya. Setiap tingkahmu mendapat perhatian dari Dia dan setiap apa yang kau lakukan pasti akan dibalas dengan balasan yang setimpal tentunya.

Selain itu janganlah kita menjadi manusia yang mengharapkan balasan di atas setiap pertolongan yang kita hulurkan. Memberi pertolongan tetapi dalam masa yang sama kita mengharap insan yang ditolong tersebut memberikan balasan di atas keprihatinan kita. Itu bukan membantu namanya tetapi 'bekerja' kerana hanya mereka yang bekerja saja mendapat imbalan sesuai dengan keringat yang ditumpahkannya.


Cuba kita renungkan bersama, jika kita berada di tempat orang yang kita bantu itu apakah perasaan kita? Di saat kita memerlukan bantuan khidmat ikhlas lain pula yang kita perolehi. Bolehkah kita bayangkan keadaan itu?