Wednesday, October 27, 2010

Tinggal atau ditinggalkan

Salam muhasabah. Agak lama membiarkan blog ini kosong tanpa sebarang pengisian langsung dari tinta penulisan. Kesibukan dan ketiadaan waktu untuk berfikir mungkin menjadi antara penyebabnya namun paling utama penulisan di sini tertunda kerana ketiadaan sumber untuk bermeditasi.

Begitulah hidup manusia masih mengharap dan terus mengharap keizinan Allah SWT untuk melangkah ke arah sesuatu. Betapa lemahnya diri dirasakan. Namun pengharapan itulah yang dituntut oleh Allah SWT daripada kita agar kita tidak lupa bahawasanya kita ini adalah HAMBA yang tidak sempurna.

Seiring beralihnya waktu dunia juga semakin lelah melihat ulah manusia yang semakin lama semakin lupa pada tanggungjawab serta amanah yang dititipkan seusai nyawa ditiupkan ke dalam jasad. Adakah arus kemodenan telah melenyapkan rasa penghambaan yang telah dititipkan oleh Allah SWT melalui utusan para rasulNya? Atau manusia sememangnya hamba yang tidak tahu bersyukur?

Dunia kini melihat mereka yang masih berpegang kepada sunah adalah mereka yang ketinggalan zaman atau masih hidup di zaman kemunduran. Benarkah? Siapakah yang ketinggalan sebenarnya? Muslim yang masih berpegang pada sunah dan syariat atau muslim yang hanya berpegang kepada nama Islamnya sahaja?

Bagaimana sekiranya kita membawa akal kita untuk berfikir melewati jaringan masa. Berfikir dan melihat perbezaan hidup di zaman dahulu dan merungkai persoalan isu kemodenan yang dibanggakan oleh masyarakat pada hari ini.

Sebelum kedatangan Islam bagaimana corak kehidupan masyarakat jahiliah? Mereka hidup dalam kemaksiatan. Darjat dan harta menjadi ukuran untuk setiap langkah. Wanita pula berada di kedudukan yang paling bawah. Bagi mereka tiada tempatnya wanita di kalangan masyarakat dan wanita hanya layak dijadikan tempat untuk memuaskan nafsu. Begitu rendahnya martabat seorang wanita itu di sisi masyarat Arab Jahiliah.

Setelah kedatangan Islam corak kehidupan mulai berubah. Islam mengharamkan penghambaan, meningkatkan maruah dan kedudukan seorang wanita di kalangan masyarakat dan menolak kasta yang terbina kerana harta dan darjat. Begitu indahnya Islam.

Namun, bagaimana kehidupan masyarakat pada hari ini? Harta dan pangkat menjadi kayu ukuran di mana-mana saja, maksiat dilakukan tanpa perasaan segan dan silu dan martabat wanita pula wanita sendirilah yang menjatuhkannya. Lalu apakah ini yang dinamakan kemodenan sedangkan corak kehidupan ini sama dengan corak kehidupan arab jahiliah di zaman dulu? Siapakah yang ketinggalan zaman sebenarnya?

Rasulullah SAW bersabda,

"Akan muncul di akhir umat ku wanita-wanita yang berpakaian namun hakikatnya bertelanjang. Di atas kepala mereka terdapat sesuatu (mirip) punuk (bonggol) unta. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak juga akan mencium aroma syurga. Padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak sekian dan sekian"
                                                                                        
                                                                                                                                   (HR. Muslim)

Lihatlah wahai kaum wanita, Islam telah membantu kita dan sekarang kita jugalah yang menghancurkannya. Kenapa? Mengapa begitu rendah maruah dipertaruhkan?

Apakah perlu membuka aurat untuk mendapatkan perhatian ramai? Apakah perlu mengenakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh untuk memberitahu bahwa kamu mengikut arus modennya dunia? Di mana letaknya maruah mu sebagai wanita? Adakah hidup mu di dunia hanya ingin menjadi santapan mata lelaki lalu di akhirat menjadi kayu pembakar api neraka?

Sabda Rasulullah SAW,

"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah"
                                                                                                   
  (HR. Muslim) 
Sekarang bwalah minda kita untuk berfikir sejanak. Siapakah yang tertinggal dan siapa pula yang meninggalkan? Jangan biar bumi menangisi gerak sumbang kita. Hayunlah langkah mengikut irama indah Islam kerana tiada sesautu yang Allah SWT ciptakan melainkan untuk kebaikan hambaNya. InsyaAllah.

Kita hanya boleh menasihati dan selebihnya adalah hak Allah SWT. Sekiranya ada yang terasa hati ampun dan maaf dihulurkan. Kita hanya hamba yang lemah dan tidak sempurna penuh dengan silap dan khilaf.

No comments: