Friday, August 20, 2010

My Love Letter


Salam ramadhan al mubarak buat semua. Sepanjang bulan keberkatan ini sudah pasti ramai antara kita yang mula berjinak-jinak dengan masjid, mula berhias mengikut aturan Islam dan mula mencari amal kebaikan. Tidak mengapalah kerana sesungguhnya bulan ramadahn kita sememangnya digalakkan untuk berbuat kebaikan tetapi jangan pula berbuat kebaikan di bulan ini saja. Harus diteruskan sehingga di akhir hayat kita, insyaAllah aminn.

Surat cinta ku


Allah SWT mengurniakan manusia dengan seberkas kasih sayang dan perasaan cinta kepada sesama manusia tidak kira sama atau berlainan jantina. Namun begitu, pernahkah kita terfikir tentang rasa cinta yang kita alami itu berdasarkan syariat Islam atau menurut nafsu semata-mata. Jangan lupa, walaupun syaitan dirantai di bulan ramadhan yang mulia ini namun anak didiknya yakni nafsu masih tetap mendampingi kita.

Apabila sudah dilamun cinta mulalah menghantar kata-kata berbaur rasa kasih dan sayang kepada si dia. Biasanya menggunakan ayat-ayat lewat taipan sistem mesej singkat (sms) atau ada yang lebih advance dengan meluahkan melalui kata-kata.

Surat cinta biasanya dilakukan ditulis oleh lelaki kepada si perempuan. Surat itu tak kiralah ayat-ayat singkat atau apa jua bentuk tulisan. Itu boleh kita kategorikan sebagai surat cinta kerana si penerima pasti akan memanggil ayat-ayat contengan mesra sang kekaksih di buku notanya sebagai surat cinta waima hanya serangkap pantun.

Bila sudah terima surat cinta hati mulai berbunga ria. Senyum simpul sampai ke telinga. Hendak tidur pun masih terkenang surat tadi. Begitu hebat sekali penangan surat cinta sang kekasih. Tahukah bahawa hanya dengan berperasaan sedemikian kita sebenarnya sudah melakukan dosa? Meletakkan cinta utama kepada manusia yang belum tentu menjadi pasangan kita padahal cinta utama itu adalah hak Allah SWT.


Surat cinta Allah SWT


Itu tentang kisah surat cinta seorang manusia kepada manusia yang lainnya. Ini kisah surat cinta Allah SWT kepada hamba-hamba Nya. Surat cinta inilah yang sepatutnya kita baca. Kita hayati isi kandungannya malah kita fahami maksud tersirat yang Allah SWT sampaikan untuk umat manusia.

Al-Quran Nur Karem diturunkan di bulan ramadhan yang penuh keberkatan. Mengingatinya saja kita sebenarnya sedang menghantar isyarat cinta kepada Ya Rabb apatah lagi membaca dan memahaminya. Ditambah lagi jika kita mempraktikkan di dalam kehidupan seharian.

Manusia semakin lama semakin lupa akan hakikat ini. Mereka tahu tetapi buat-buat tidak tahu. Sedarkah bahawa sekiranya kita semakin jauh dari Al-Quran kita akan semakin dekat dengan syaitan, semakin jauh dari syurga dan semakin dekat dengan neraka? Mahukah kita menjadi kayu api pembakar neraka Jahannam? Mari sama-sama kita fikirkan.

Cuba kita renungkan kembali umat yang hidup di zaman Rasulullah dan para sahabat. Medan jihad menjadi ladang mencari redha Allah SWT dan masjid-masjid mereka bersinar oleh pancaran sujud-sujud mereka. Ini adalah kerana mereka sedar dan yakin bahawa Al-Quran adalah sumber peradaban yang dapat mengubah mereka melebihi peradaban dunia bila pun dan di mana pun. 

Jadikanlah Al-Quran Love Letter yang dikenang, diingat, diamal dan dibaca setiap hari kerana insyaAllah Love Letter yang ini mampu menjadi pembela kita di akhirat kelak. 

No comments:

Post a Comment