Thursday, July 15, 2010

Niat tercapai akhirnya

Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat izinNya jiwa ini menjadi sedikit tenang. Entah sudah berapa banyak airmata yang tumpah setiap kali terkenangkan masa lalu. Hidup yang penuh kepura-puraan dan lebih memandang kepada dunia walaupun jauh di sudut hati mengetahui betapa pentingnya akhirat itu.


Syukur diri ini dipertemukan dengan dia. Seorang kawan yang membantu diri agar berani melakukan perubahan. Nasihatnya, jangan hanya tahu berdoa kerana Allah tidak akan memperkenankan doa jika tiada iringan usaha. Mungkin sebab takut dengan kata-kata yang bakal diterima maka langkah menuju ke arah perubahan terbatas.

Dia mengembalikan diri ke jalan yang selama ini hanya mampu dilihat dari jauh tapi kini kaki ini melangkah di atas jalan yang sama bersamanya. Alangkah bersyukurnya kerana mempunyai seorang sahabat yang mampu memimpin kita bukan merosakkan kita.

Dulu, selalu jugak membaca buku seperti kisah-kisah para anbiya dan kisah wanita-wanita Islam serta perjuangan mereka. Tapi tabiat itu terhapus bersama detikan waktu kedewasaan. Entah mengapa ya. Ianya semakin dilupai sehingga merasa ada sesuatu yang hilang di dalam hati ini.


Hati menangis kerana tandus sesuatu yang amat bermakna. Sesuatu yang dihapuskan tanpa sedar...sesuatu yang bernilai tetapi dipandang enteng. Konon hendak menjadi moden dengan mengikut arus kebandaran. Ironinya, kemodenan yang dikejar semakin meghimpit lantas menikam cita-cita dan impian sehingga diri malu untuk bersujud di hamparan iman.

Ya Allah Ya Tuhan ku, ampuni hamba Mu ini. Ampuni diri yang sentiasa leka menikmati kurnia Mu tanpa rasa syukur. Ampuni hamba Mu ini kerana bangga dengan setiap yang dimiliki sehingga lupa ianya hanya pinjaman semata-mata.


No comments:

Post a Comment