Thursday, June 17, 2010

Membuka Ruang

Bukan ingin menunjuk-nunjuk. TIDAK! Tidak pernah terlintas di hati untuk menunjuk kepada sesiapa pun tentang sikap yang satu itu. Nauzubillahminzalikh..semoga kita dijauhkan dari sikap takbur dan riak.

Pernah dulu...satu waktu dulu hati ini meminta namun tidak pernah dihiraukan. Lantas permasalahan itu timbul akibat sikap sendiri yang lalai dan leka. Seorang teman baik pernah menasihati supaya mendengar permintaan hati kerana kadang kala hati ini juga mahu bersuara. Namun kelekaan dan kealpaan menghapus terus nasihat itu dari dalam memori ingatan. Lupa dan alhamdulillah Allah SWT menyedarkan.

Belajar itu penting. Sejak lahir kita sudah mula belajar. Belajar bernafas, berjalan, bercakap dan belajar tidak akan berhenti sehingga nafas yang terakhir. Setiap yang kita pelajari akan digunakan di masa akan datang, insyaAllah, dan alam ini merupakan guru yang paling berguna kerana ilmu yang berupa pengalaman itulah yang akan digunakan untuk menempuh setiap langkah masa. Belajar dari pengalaman!

Manusia yang tidak belajar dari pengalaman lampau pasti akan mengulanginya semula dan manusia yang takbur dengan ilmunya adalah manusia yang paling miskin ilmunya.

Langkah pertama penting dalam segala perkara dan langkah pertama tidak semudah mengangkat kaki lalu berjalan ke hadapan. Begitulah dan hati menjadi juri menyaksi tingkah laku kita. Langkah pertama yang dilalui ini tidak semudah yang difikirkan kerana terdengar suara-suara asing yang masih mahu menjatuhkan diri.

Bilamana ruang dibuka untuk belajar dan berubah pasti timbulnya persoalan dari mereka. Mengapa? Entahlah, tiada jawapan yang pasti kerana darah sama merah tetapi hati lain-lain bicara. Ruangan pertama adalah mencari apa yang hilang. Segalanya masih terletak di dalam hati cuma akal masih mahu menafi. Ditafsir dan cuba diselami. Langkah seterusnya, carilah ilmu itu. Di dasar helaian putih atau biarkan anak telinga menjamah setiap pertuturan yang baik. Jangan lupa mengunyah zikir-zikir seta selawat untuk Rasulullah SAW.

Jangan berhenti untuk berfikir dan bukalah ruang untuk hati berdiskusi dengan kita.

No comments:

Post a Comment