Monday, May 31, 2010

La Tahzan (Jangan Bersedih)

Pengalaman menjadikan kita lebih dewasa. Menjadi manusia kuat untuk menempuh apa jua cabaran di dalam hidup ini. Namun, sekuat mana pun kita setabah mana pun hati pasti akan tiba suatu masa kita tidak mampu untuk bangkit semula dari kekalahan dari kesedihan dan dari rasa putus asa.
Satu saat kita melalui hari-hari yang mendatang dengan secebis senyuman walau kadang kala senyuman itu hanya topeng yang kita jadikan untuk menutup setiap perasaan yang bersarang di dalam hati kecil ini. Mungkin pada masa itu kerana kita mempunyai kawan, teman dan keluarga yang sentiasa berada di samping di kala lemahnya jiwa.
Walaubagaimanapun, langit tidak selalunya terang. Awan mendung membawa titisan hujan pasti akan tumpah juga di bumi hati dan di saat itulah juga mereka yang kita inginkan yang kita harap untuk meminjamkan bahu menghilang entah ke mana.
Langit yang diselaputi awan gelap tidak selamanya memayungi perjalanan kita kerana pelangi indah menyusul di sebalik titis jernih dan biasan cahaya mentari itu. jangan bersedih kerana kita telah melalui kesedihan itu semalam dan mengingatinya tidak akan membawa sebarang faedah.
Perkara yang kita tangisi tidak akan berubah walau airmata darah kita tumpahkan sekalipun. Ianya telah menjadi suatu waktu yang telah kita lalui dan jangan pernah bersedih kerananya. Kesedihan hanya akan membawa kesedihan yang lain dan tambah menyakitkan jiwa.
Jangan bersedih kerana kesedihan hanya akan membuat air yang segar terasa pahit di kerongkong, kuntuman mawar yang indah kelihatan layu, kebun yang menghijau kelihatan seperti gurun pasir yang gersang dan kehidupan dunia terasa bagai di penjara.
Janganlah bersedih kerana Allah swt masih mengizinkan kita untuk berpijak di bumiNya, bernafas atas izinNya dan menyebut namaNya dengan lidah ini. Ingatlah, manusia seringkali melupakan Dia Yang Maha Kuasa namun Allah tidak pernah melupakan kita.

2 comments: