Thursday, April 22, 2010

Syukur dia mengerti

Rintik hujan turun membasahi bumi yang kian gersang dek bahang kepanasan. Mungkin kepanasan ini petanda bahawa dunia sudah tidak mampu menanggung dosa-dosa hitam manusia yang berTuhankan nafsu dan harapan semoga rintik hujan mampu membasuh pergi segala dosa yang manusia perbuat.

Hampir setiap hari dada akhbar memaparkan cerita yang sama baunya. Bermula dengan khalwat yang dianggap perkara biasa di zaman yang serba moden lalu umat Islam tidak malu segan bermaksiat di khalayak ramai. Konon mahu menunjukkan kepada dunia bahawa diri mereka sedang dilamun cinta dan darah muda ini tidak dapat menahan gelora asmara. Hasilnya tetap sama, anak luar nikah!

Bagaimana ingin membendung masalah yang kian meruncing ini sedangkan di peringkat akar umbi lagi kita sudah mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ibubapa sendiri sudah cukup untuk menjadi titik tumpuan anak-anak tetapi kalau ibubapa sendiri melakukan maksiat jadi bagaimana dengan anak-anak?

Di mana pula tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat? Sebagai kawan? Sebagai guru? Adakah dengan hanya melihat, mengeji dan membenci perkara tersebut kita mampu mengatasinya? Atau adakah dengan hanya membincangkan di meja makan isu tersebut kita mampu membendungnya?

Semalam menjamu makan malam bersama rakan. Rancak bercerita lalu terkeluar soalan tentang hubungan yang terjalin di antara dia dengan seorang lelaki. Jauh di sudut hati kecil ini terselit sedikit kekhuatiran di atas hubungan yang terjalin. Bukan sebab takut lelaki itu mempermainkan dirinya tetapi takut andai keduanya tumpas di tangan nafsu.

Berjauhan dari keluarga akan membuka banyak peluang kepada kita dan diantara peluang-peluang ini tidak semuanya berguna. Andai tersilap memilih jalan maka kita akan tersesat. Sebagai rakan apa yang mampu dilakukan hanyalah menasihati. Terpulang kepada individu tersebut sama ada hendak menerima atau membuang pergi nasihat ini.

Mula-mula takut juga hendak meluahkan apa yang terbuku di sudut hati kecil kerana bimbang pihak sana akan terasa hati dan menganggap niat baik ini sebaliknya. Tapi entah dari mana kekuatan itu tiba dan bibir ini lancar saja menutur bicara lembut.

Menanti reaksi dari dia dan syukur alhamdulillah dia mengerti malah berterima kasih kerana telah menyedarkan dia dari perkara yang dilupakan. Mungkin dia tidak menyedari kesilapan yang dilakukan kerana perasaan yang tertutup dek nafsu dan sebagai rakan yang menjadi kebergantungan di kala jauh dari keluarga hanya ini yang mampu dilakukan. Langkah seterusnya hanya dia yang mampu mengubahnya.

Nafsu begitu mudah menggembleng hati nurani kita supaya mengikut jejaknya. Harus disematkan di dalam sanubari bahawasanya nafsu itu adalah anak didik syaitan yang ditinggalkanya di dalam hati dan untuk melawannya hanya hati kita yang mampu.

No comments:

Post a Comment