Tuesday, January 5, 2010

Ikhlaskah aku?


Ikhlas sungguh hati ku ikhlas…antara lirik lagu yang mengingatkan diri bahawa dalam apa jua yang kita lakukan harus wujud keikhlasan di dalam hati.
Ikhlas bermakna kita tidak perlu mengungkit tentang apa yang akan, sedang, dan telah kita lakukan kerana ia hanya akan menyebabkan kita menghasilkan pekerjaan yang kurang memuaskan.

Percaya atau tidak jika kita membuka sedikit pendengaran dan pandangan pasti akan kelihatan dan kedengaran suara-suara sumbang di kiri kanan.
Mengapa perlu mempersoalkan apa yang menjadi tanggungjawab kita?

Si pekerja merungut tentang tugas berlambak yang diserahkan kepadanya.
Si pelajar merungut tentang tugas persekolahan yang dipikulnya.
Si anak merungut tentang amanah orang tua mereka.

Hari demi hari…rungutan demi rungutan dan hasil yang diperolehi apa? Tiada apa-apa…Cuma sedikit rasa marah yang masih bersisa dan perasaan tidak puas hati terus bergolak ingin meluncur keluar dari bibir tetapi status diri menghalang.


Manusia hidup atas kebergantungan terhadap manusia lainnya. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu hidup selamanya berseorangan. Dia pasti memerlukan seseorang untuk membantunya dan bersama-samanya menunaikan tanggungjawab. Mungkin hari ini insan di sebelah memerlukan pertolongan dari kita dan esok atau pun lusa tak siapa tahu kita mungkin memerlukan khidmat mereka pula.

Sekiranya kita memberikan pertolongan dengan rasa berat hati dan tidak membantu seikhlas kita pastinya orang lain juga berbuat demikian terhadap kita pula. Ini dinamakan balasan. Apa yang kita beri pasti akan kita terima kembali (what you give you get it back).

Jika kita memberikan yang terbaik sudah tentu di masa akan datang orang lain pun memberikan hasil yang terbaik kepada kita. Sudah begitu kehendak alam.

Namun walaupun mengetahui ini masih wujud di dalam hati perasaan tidak puas hati dan rasa memberontak. Persoalan yang sering menjadi alasan kita,

"mengapa aku? Mengapa tidak dia yang melakukan pekerjaan ini? Sedari tadi asyik aku saja yang bekerja dan dia pula goyang kaki."


Cuba positifkan diri. Mungkin kerana kita saja yang mampu melakukan pekerjaan tersebut dan kita saja yang mendapat kepercayaan maka kepada kita diserahkan tugas tersebut. Allah Maha Melihat dan Dia tidak akan membiarkan hamba-hambaNya. Setiap tingkahmu mendapat perhatian dari Dia dan setiap apa yang kau lakukan pasti akan dibalas dengan balasan yang setimpal tentunya.

Selain itu janganlah kita menjadi manusia yang mengharapkan balasan di atas setiap pertolongan yang kita hulurkan. Memberi pertolongan tetapi dalam masa yang sama kita mengharap insan yang ditolong tersebut memberikan balasan di atas keprihatinan kita. Itu bukan membantu namanya tetapi 'bekerja' kerana hanya mereka yang bekerja saja mendapat imbalan sesuai dengan keringat yang ditumpahkannya.


Cuba kita renungkan bersama, jika kita berada di tempat orang yang kita bantu itu apakah perasaan kita? Di saat kita memerlukan bantuan khidmat ikhlas lain pula yang kita perolehi. Bolehkah kita bayangkan keadaan itu?

No comments:

Post a Comment