Sunday, January 17, 2010

A.I.A { Ayah, Ibu, Anak}


Sayang seorang ayah, kasih seorang ibu, cinta anak-anak...gabungan semua ini pasti melahirkan keluarga yang cemerlang gemilang dan terbilang. Namun, itu Cuma impian…Cuma mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan.

Kenapa? Bukankah tiada apa yang mustahil melainkan Allah berkehendakkannya menjadi begitu? Di dunia yang serba moden ini manusia semakin gemilang dengan ceritera dunia mereka yang tercipta atas nama kepentingan diri sendiri.

Jika dulu, urusan rumah tangga diletakkan sepenuhnya di atas batu jemala seorang wanita yang bergelar isteri. Segala urusan rasmi berkaitan anak-anak, penjagaan rumah dan keprihatinan terhadap keluarga adalah tanggungjawab isteri. Tapi dunia semakin moden dan menuju ke arah kemodenan. Wanita tidak lagi terperangkap dalam dunia 'rumah tangga' mereka tetapi sudah maju selangkah dan berdiri setanding dengan suami mereka.

Apakah ini suatu yang baik atau membawa kita ke arah kemunduran? Cuba renungkan dengan mata bukan dengan keegoaan. Jika ditanya hal berkaitan dengan anak-anak dengan mudah jawapan diberi,

"I ada pembantu rumah, so biarlah dia yang uruskan"

Ada juga yang memberi jawapan serupa ini,

"Anak? Oh no, I ada kerjaya so soal anak tak penting ok. Kerjaya I lebih penting"

Jadi di mana silapnya? Wanita tidak lagi dilimpahi dengan kelembutan tetapi dilumuri kekasaran sehingga ada yang menongkah arus dengan mengubah sesuatu yang azali. Beginikah akhirnya?

Lain pula halnya dengan lelaki. Bagi mereka tanggungjawab hanyalah mencari rezeki tanpa perlu mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga. Kerja…kerja..kerja…dan akhirnya keluarga menjadi elemen kedua penting dalam hidupnya. Ada yang lebih parah sehingga mengabaikan langsung tanggungjawab mereka terhadap isteri dan anak-anak. Seorang lelaki yang diberi mandat sebagai seorang suami tugasnya bukan hanya keluar bekerja mencari rezeki tetapi juga memegang amanah mendidik anak-anak dan memimpin keluarga menuju kemakmuran.



Lalu, apakah tindakan mu wahai para suami? Mengabaikan atau menjadi pemimpin keluarga yang berjaya? Jangan terlalu taksub dengan kerjaya kerana ia pasti membunuh hubungan antara kau dan keluarga.

Anak..tanggungjawabnya mudah iaitu untuk belajar dan membantu keluarga di mana mereka diperlukan. Tugas seorang anak tidak berakhir selepas meningkat dewasa, berkahwin dan punyai keluarga sendiri. Tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa berakhir sehingga nafas terakhir.

Walaupun kedua ibubapa telah tiada namun doa dari anak yang soleh tetap diperlukan. Itu tanggungjawab kita sebagai anak. Namun, bukan begini yang berlaku walaupun ini yang diharapkan oleh kita.



Paling ketara anak-anak semakin mengabaikan tanggungjawab mereka. Mentang-mentang sudah bekeluarga maka kedua ibubapa dibuang ke rumah orang-orang tua. Melawat sekali dalam setahun dengan alasan mereka sibuk dengan kerja tetapi ada pula masa hendak berfoya-foya ke luar negara. Sebab itulah wujudnya peribahasa, seorang ibu atau ayah mampu menjaga sepuluh orang anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seoang ibu atau ayah.

Konklusinya, kehidupan bekeluarga hari ini tidak sama dengan hari semalam. Tanggungjawab sebagai individu mudah saja, jadilah ayah…ibu..dan anak yang baik untuk keluarga.

No comments: