Thursday, April 9, 2009

kawan atau lawan..?

Allah tidak mencipta manusia untuk berseorangan dalam meniti kehidupan sehari-hari. Pasti dalam takdir yang sudah tertulis untuk kita ada nama lain yang tersenarai untuk kita menemuinya..untuk kita mengenalinya...untuk kita melalui suatu kehidupan bersamanya. Mereka ini biasanya kita memberi nama 'kawan' atau 'sahabat'.
Ada antara 'kawan' memberi kita suatu kenangan yang tak mungkin kita lupakan sama ada kenangan pahit atau pun manis. semuanya pasti akan kekal di ingatan selagi kita mengenali mereka yang kita gelar "kawan' ini.
Kenangan manis disimpan di dalam satu tempat khusus di dalam hati agar mudah untuk minda mengimbasnya semula kerana sampai masa imbasan kenangan ini akan membuat kita tersenyum sendiri. Kenangan pahit pula dijadikan sejarah hitam yang ingin disingkir pergi namun seringkali ia bertandang jua di kala kita ingin melupakan. Kenangan manis atau pahit..semuanya ditinggalkan oleh seorang kawan kepada kawannya.
Ada antara kita mungkin langsung tidak menyedari ada satu tempat yang tercipta khusus di dalam hati untuk mereka yang kita gelar sahabat dan kawan. Ada juga yang pastinya tidak menyedari kekadang kita tidak menyedari bahawa hubungan antara kita dengan kawan bukan sekadar perhubungan persahabatan malah lebih daripada itu tetapi bukan perhubungan cinta antara dua manusia. Hanya mereka yang terlalu rapat berdiri di sebalik kata 'sahabat' tahu makna sebenar.
Walaupun begitu masih ada yang kurang dalam kata 'sahabat' itu. Peribahasa harapkan pagar, pagar yang memakan padi dan gunting dalam lipatan boleh digunakan untuk menggambarkan sikap segelintir 'kawan' yang hanya tahu mempergunakan kita dan mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang kita cipta untuk mereka. Kita tak pernah sedari akan sikap sesetengah 'kawan'. Jadi sekarang cuba tanyakan pada diri...adakah sahabat yang berada di samping kita sekarang 'kawan' atau 'lawan'?

Thursday, April 2, 2009

lewat cerita teman

Bagaikan baru semalam mendengar cerita tentang pengalaman seorang sahabat yang baru pulang dari menemui ayahandanya di kota raya kebanggaan Malaysia, Kuala Lumpur.
Ingatkan cerita pengalaman yang dibawa pulang bersamanya ke kolej kediaman kami semuanya indah tetapi terselit satu peristiwa yang mampu membuat kita sebagai umat Islam menitiskan airmata.
Sahabat saya dan bapanya menginap di sebuah hotel di Bukit Bintang. Siang hari dapat dilihat melalui layar pandangan kesibukan masyarakat yang hidup di sebuah kota yang sedang pesat membangun. Di sini dia sendiri dapat membezakan betapa jauhnya perbezaan antara kehidupan masyarakat di sini dengan masyarakat di tempat kami, jauh di bawah bayu.
Terdetik di hatinya ketika itu untuk menjadi anak Sabah yang bakal mewarnai corak penghidupan masyarakat di tempatnya dengan teknologi agar semua dapat merasai bersama kemajuan sains dan teknologi.
Di malam hari kerlipan lampu neon pelbagai warna menarik pancainderanya. Ah, betapa indah bumi Malaysia yang dipijaknya kini. Menginjak ke tengah malam ketika sedang lena diulit mimpi, sahabat saya dikejutkan dengan suara ayah yang sedang melontarkan kata-kata yang entah kepada siapa. Menyedari yang ayahnya sedang berdiri di balkoni sambil memandang ke bawah dengan amarah yang tak berhenti. Sahabat saya mendekati dan turut sama menjengah ke bawah.
Apa yang dilihat memang suatu yang memeranjatkan bagi remaja kampung sepertinya. Di bawah sana seakan ada satu pesta sedang berlangsung. Muda-mudi sednag rancak bergembira bersama teman-teman. Tiada lagi perbatasan antara lelaki dan perempuan. Semuanya bagai dirasuk dek muzik rancak yang dimainkan lewat pemain canggih yang dibawa bersama.
Paginya ketika ingin keluar menghirup udara kota sahabat melihat ada beberapa orang remaja yang tertidur di tepi jalan. Bau masam menusuk hidung dan botol-botol yang berselerakan memenuhi lantai jalan menjadi tumpuan rakan saya.
Inikah harga sebuah pembangunan yang terpaksa dibayar oleh kita? Soalan yang paling pasti harus ditanya kepada diri sendiri...dimanakah letaknya agama ketika ini?